American Dance Festival: Satu Pengenalan Am

Penari/koreografer Lee Choy Wan merumuskan pengalamannya di American Dance Festival Henan Summit 2014 di China.

Karangan ini merupakan laporan daripada Choy Wan sebagai penerima program Geran Kecil MyDance Alliance. Pada asalnya ia ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh beliau.

 

Pada bulan Ogos 2014, saya telah mewakili Malaysia dalam menyertai American Dance Festival (ADF) yang dianjurkan bersama dengan Universiti Henan Normal di Henan, China sebanyak tiga kali. Sejak dari tahun 2011, festival ini telah diselenggara dan dipimpin oleh Hou Ying, bekas penari dengan Guangdong Modern Dance Company dan Shen Wei Dance Arts. Hampir seramai 130 pelajar telah mendaftar untuk program pesta ini, dan terdapat enam peserta merupakan penerima biasiswa antarabangsa dan koreografer dari Malaysia, India, Taiwan dan Hong Kong.

Kami telah ditawarkan pelbagai kelas pilihan, seperti teknik tari moden, penggunaan suara dan gerak isyarat, penggunaan teks dalam persembahan, karya khusus untuk sesuatu tapak [site-specific] dan improvisasi. Ahli fakulti ADF terdiri daripada Rafael Lopez-Barrantes, Maria Bauman, Rodger Belman, dan Curt Haworth, serta diiringi oleh pemuzik ADF John Hanks dan Claudia Howard-Queen. Kami dibenarkan menghadiri 3-4 kelas setiap hari, dan saya memilih kelas teknik tari moden, penggunaan suara dan gerak isyarat, dan penggunaan teks dalam persembahan. Sepanjang pesta dua minggu itu, saya menyerap sejumlah maklumat yang luar biasa. Kelas suara dan isyarat serta teks dalam persembahan yang diajar oleh Rafael Lopez-Barrantes meninggalkan kesan yang sangat mendalam bagi saya, sehingga saya segera memasukkan bahan-bahan tersebut ke dalam koreografi baru saya.

Pada hari terakhir pesta itu, para peserta menyampaikan pameran mini daripada apa yang telah kami belajar. Selepas menunjukkan kebolehan tarian kami dan karya manipulasi suara yang menakjubkan, hari meluap dengan persembahan site-specific tidak rasmi karya Rodger Belman di taman yang berhampiran. Pada waktu malam, kami disajikan dengan persembahan tari daripada enam orang koreografer antarabangsa dan juga sepuluh buah karya daripada pelajar tari. Saya telah mempersembahkan koreografi solo baru saya yang berjudul The Next Door.

Untuk majlis penutup pesta itu, kami telah dijemput ke sebuah jamuan yang berlangsung di salah satu studio dan dihidangkan dengan banyak makanan dan minuman. Saya berterima kasih kerana berpeluang meluangkan masa bersama pengajar tari dan rakan-rakan yang luar biasa. Kami semua berkongsi bersama detik-detik yang gembira, dan berasa amat bersyukur kerana memiliki pengalaman yang luar biasa semasa festival tersebut dilangsungkan, dan kini saya pulang ke Malaysia dengan poket yang penuh dengan kenangan.

 

Lee Choy Wan ialah seorang penari / koreografer dan ahli daripada Kwang Tung Dance Company. Lebih

Untuk menghubungi penulis:

 

 

Foto utama: Shi Hao Wen [bawah] di Henan Normal University Park, Xinxiang, 22 Ogos, 2014. Photo © Lee Choy Wan