Pengarah artistik Synergy Dance Theatre, Christopher Liew membawa kita melangkah ke satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan melalui persembahan drama tari bersejarah kumpulan tersebut, Lagenda Kinabalu, daripada permulaan sehingga ke pementasannya yang terbaru ini serta di sebaliknya.

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Cina.

 

Saya selalu tertanya-tanya kenapa koreografer sering memperolehi inspirasi daripada kawasan kediaman mereka. Saya telah menjerumuskan diri ke dalam penghasilan Lagenda Kinabalu selama 4 tahun. Pada mulanya, hasil karya ini bertajuk Lagenda Gunung Kinabalu pada kali pertama ia dipersembahkan pada tahun 2010, dan kemudian ia digelar sebagai Lagenda Kinabalu apabila dipersembah-semula pada tahun 2014. Drama tari tersebut adalah berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di Sabah semasa Perang Dunia II (PD II) dan ia berkaitan dengan kehilangan kemanusiaan semasa perang dan kepentingan keamanan.

Pada tahun 2008, setelah menyedari akan keunikan budaya di Malaysia Timur adalah setanding dengan kebudayaan Malaysia Barat , saya sedar bahawa inilah masa untuk membangkitkan kedudukan budaya Sabah. Ini juga mendorongi saya untuk memikirkan sumbangan saya sebagai seorang artis, dan saya menyimpulkan bahawa pembangunan budaya hanya boleh direalisasikan seiring dengan pembangunan masyarakat.

Dengan pemikiran tersebut, saya mula menelaah bahan yang berkaitan dengan Borneo, (satu pulau besar di mana Sabah terletak) dan terserempak akan sebuah legenda lama mengenai Gunung Kinabalu (sebuah gunung yang tersohor di Sabah). Saya mula mengumpul dokumen-dokumen bertulis untuk idea-idea visual dan mula melakarkan sebuah drama tari. Salah sebuah buku yang ditulis oleh Chin Dong Ho mengenai gerakan Gerila Kinabalu, yang telah berjuang menentang tentera Jepun di Borneo Utara. Dengan membacanya, saya terus pasti bahawa saya telah terkena pada sesuatu. Saya mula menyiasat tentang perkara yang paling menakutkan semasa perang tersebut dan mengambil keputusan untuk mengisahkan cerita-cerita yang berkaitan melalui tarian.

Sebagai seorang artis, menghasilkan satu kreasi yang mencerminkan keadaan sebenar PD II adalah penting sekali. Namun, PD II telah berlaku hampir tujuh puluh tahun dahulu. Sejarah berkaitan yang melalui lisan, video dan naratif kisah telah kehilangan secara perlahan-lahan. Kami berusaha mencari buku-buku sejarah yang berkaitan tetapi dapatan maklumat adalah terhad sekali.

Kami memutuskan untuk fokus pada buku Chin dan bertekad untuk berjumpa dengan beliau untuk memperolehi maklumat yang lebih lanjut tentang perang tersebut. Akhirnya kami bersua pada 13 Julai 2010.

ItuIah malam mereka menyerahkan diri. Langit ketika itu biru; anda tahu kan, jenis langit biru pada malam Ogos, yang tak berawan? Malam yang sunyi, kerana semua ayam, anjing and binatang ternakan telah dibunuh. Tiba-tiba, terdapat bunyi kapal terbang; kami menyangka bahawa tentera akan mengebom sekali lagi lalu kami berlari dan bersembunyi dengan segera. Tetapi kapal terbang tersebut hanya terbang terus dan apabila kami keluar, langit dipenuhi dengan kertas putih berterbangan ke tanah. (Chin, 2010)

Kata-kata beliau memberi saya satu pandangan terhadap perang tersebut – Ia pernah berlaku sebelum ini di muka bumi yang sama, dan kami kini berada di sini setelah tujuh dekad kemudian. “…langit biru pada malam Ogos, yang tak berawan” – gambaran yang indah sekali. Adakah saya ditakdirkan untuk berkongsi cerita ini dengan generasi yang akan datang? Saya merasai beban tanggungjawab untuk melakukan demikian.

Kertas putih yang disebut oleh Chin, berterbangan turun dari pesawat, sebenarnya merupakan notis mengenai penyerahan diri daripada pihak tentera Jepun. Perbincangan kami amat terperinci hinggakan kepada saiz kertas itu dan semuanya adalah begitu nyata. Saya kemudian dapat tahu tentang inspirasi di sebalik keinginan Chin untuk menulis bukunya – beliau telah berjumpa dengan “Keluarga Sandakan” semasa belajar di Australia. Keluarga Sandakan terdiri daripada saudara-mara atau keturunan tawanan perang (prisoners of war, POW) yang pernah menyertai Sandakan Death Marches (satu siri perarakan -paksa dari Sandakan ke Ranau yang mengorbankan lebih daripada 2,000 banduan Bersekutu). Ini telah mendorong saya menghadiri Hari Peringatan Sandakan.

• • •

Pada 14 Ogos 2010, Lapangan Terbang Sandakan adalah sesak dipenuhi orang asing yang hadir untuk upacara peringatan. Hari sebelum ketibaan saya, saya mengadakan sesi latihan untuk babak-babak “The Separation” atau pengasingan, dan “Double Tenth Incident” atau peristiwa 10 Oktober (yang merujuk kepada kejadian pemberontakan berbilang kaum, yang diketuai oleh Gerila Kinabalu untuk menentang penjajahan Jepun). Saya berasa koreografi bagi babak-babak ini terlalu kemas – ia memerlukan lebih intensiti, ditambahkan pula dengan banyak penceritaan tetapi dalam masa yang singkat.

Dalam upacara itu, saya bercakap dengan Bunny Glover (POW yang masih hidup), Chin Thet Shiong (seorang bekas tentera), dan Joanna Funk (anak perempuan kepada salah seorang POW). Saya meletakkan bunga di tugu peringatan itu, tetapi saya sendiri tidak yakin dengan gerak tangan saya. Taman peringatan tersebut hanya mempunyai empat tapak yang ketara dan penting. Bagai halilintar, saya terfikir bahawa ia boleh mencontohi Tembok Berlin yang telah dibaikpulih dan menjadikannya satu tapak bersejarah untuk orang ramai. Saya kemudian melawat ke tapak peringatan PD II yang lain di Sandakan dan telah menjumpai sebuah kawasan perkuburan Jepun yang terletak betul-betul di hadapan – tanah perkuburan Cina, dengan adanya sebuah tugu yang memerincikan pelaksanaan hukuman mati beramai-ramai, termasuk seorang peminpin Cina, oleh tentera Jepun. Disebabkan perjalanan ini, saya terfikirkan bibit-bibit idea kesudahan untuk drama tari saya.

• • •

Terdapat masa yang lain, saya telah membantu sekumpulan warga emas untuk menghasilkan sebuah karya koreografi demi penyertaan pertandingan tari mereka, dan saya dapat berkenalan dengan seorang nenek yang berusia 97 tahun, yang tinggal di Kota Kinabalu dan terselamat daripada PD II. Saya ingin berjumpa dengannya untuk mendapat idea yang lebih jelas berkenaan perang tersebut, walaupun telah saya perolehi banyak dapatan penyelidikan.

Selepas persembahan Lagenda Gunung Kinabalu pada 19 Mei 2011, saya bertemu dengan Voon dan kagum akan keadaan kesihatan beliau yang masih baik. Voon hanya boleh bercakap dengan bahasa dialek Hakka. Oleh kerana saya tidak fasih dengan bahasa tersebut (walaupun saya sendiri seorang Hakka), saya meminta bantuan daripada salah seorang pelajar saya untuk menterjemahkan perbualan kami. Peristiwa ini membuat saya terfikir tentang betapa seriusnya kehilangan bahasa ibunda kami secara beransur-ansur.

Voon memberitahu kami bahawa beliau bersembunyi di dalam kawasan pedalaman yang tidak dibom semasa perang. Beliau berkata jika anda mempunyai “Good Civilian Pass” atau Pas Warga Baik, tentera Jepun tidak akan mencederakan anda. Kekurangan makanan merupakan masalah yang serius –hanya terdapat ubi kentang sebagai makanan. Apabila saya bertanya kepadanya mengenai kisah Albert Kwok (seorang pemimpin gerila semasa PD II), Voon menjawab bahawa beliau tidak ada di Kota Kinabalu pada ketika itu, maka beliau tidak tahu apa-apa tentangnya. Beliau hanya ingat apabila pihak Jepun menyerahkan diri, semua tentera Jepun telah dihantar pulang. “Selagi anda memiliki ‘Pas Warga Baik’, tentera Jepun tidak akan mencederakan anda,” adalah salah satu daripada beberapa kenangan Voon yang berkaitan dengan perang. Tetapi apabila kita bertanya tentang orang-orang yang telah ditawan oleh tentera Jepun, beliau menyebut beberapa nama dan berbisik, “Ada yang pergi tetapi tidak pernah kembali “. Mendengar cerita itu, saya mula bersyukur terhadap apa yang kita miliki hari ini.

• • •

Tahun 2010 merupakan tahun keenam Synergy Dance Theatre (SDT) bergiat menghasilkan produksi tari, dan ketika itu, kami telah mengumpulkan sebilangan penari terlatih serta berkebolehan teknik. Saya mengambil keputusan untuk memilih penari dari sekolah-sekolah melalui uji bakat demi memenuhi bilangan barisan pemain yang ramai untuk pementasan Lagenda Gunung Kinabalu. Kebanyakan penari tidak tahu akan cerita yang berkaitan, tetapi mereka dapat merasa kehormatan kerana menjadi sebahagian daripada produksi ini.

Muzik telah disunting atau dirakam pada tempoh awal latihan raptai untuk mempercepatkan proses koreografi.Disebabkan babak peperangan memainkan peranan yang penting dalam persembahan tersebut, saya memerlukan muzik yang lebih bertenaga untuk berseiringan dengan tema tersebut, dan saya mendapati bahawa penggunaan muzik soundtrack permainan video adalah sempurna sekali. Selain itu, soundtrack daripada dokumentari Home  (Yann Arthus-Betrand, 2009) turut sesuai untuk beberapa babak.

Idea asal Lagenda Gunung Kinabalu adalah untuk menayangkan rekaan multimedia ke atas lantai untuk menghasilkan suasana kebakaran api, dan memaparkan imej-imej dahsyat yang berkaitan dengan peperangan. Untuk mencapai kesan teatrikal tersebut, saya mula mencari perisian komputer yang sesuai. Saya turut melawat ke Kudat untuk mengambil imej-imej gambar anak-anak sungai dan batu-batu yang akan dipergunakan sebagai sebahagian daripada penayangan projektor. Kolaborasi dengan syarikat produksi multimedia yang profesional teramat penting untuk merealisasikan konsep saya. Namun akhirnya, limitasi daripada faktor ketinggian panggung dan aspek teknikal yang lain telah menyebabkan kegagalan penggunaan penayangan projektor. Walaupun dengan menggunakan pengunjuran ultra-wide-angle, ia masih tidak dapat meliputi seluruh ruang pentas dan akan membelanjakan kos sebanyak RM20,000. Perkara yang mustahil. Saya amat bersyukur kerana pihak syarikat itu telah mengambil masa untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan bersama pihak kami walaupun telah mengetahui bahawa kedua-dua pihak kami tidak dapat bekerjasama. Tetapi ia agak mengecewakan kerana tiada korporat swasta sudi menyokong kami dari segi kewangan. Walau bagaimanapun, melalui penyelidikan secara atas talian, saya menjumpai cara-cara yang menghubungkan pelbagai skrin bersama-sama – yang biasa digunapakai dalam industri permainan video – boleh menyelesaikan masalah. Setelah mengatasi beberapa halangan, akhirnya saya dapat memperolehi dua skrin yang diperlukan dari Taiwan.

Cabaran seterusnya adalah untuk menyelaraskan tayangan-tayangan projektor secara berasingan di kawasan pentas upstage dan downstage – apa-apa masalah pun boleh terjadi apabila kedua-dua pengunjuran itu digabungkan. Masa yang digunakan untuk menghasilkan animasi turut berganda, dan melibatkan pelaksanaan yang susah sekali, kerana latihan raptai dan pelancaran produksi multimedia harus berlaku secara serentak. Kami telah mencuba penayangan projektor pada hari sebelum persembahan dan mengenal pasti terdapat kesilapan pada nisbah pengunjuran. Kami telah melakukan beberapa perubahan tetapi masih menyediakan Pelan B sekiranya semua ini tidak berhasil. Syukurlah, pada pukul 18.55 (iaitu 35 minit sebeum persembahan bermula!), masalah-masalah telah diselesaikan dan persembahan malam itu dilancarkan dengan jayanya. Mencipta seni adalah seperti berjalan di atas satu titian tali – dengan pemikiran yang positif dan fokus, anda boleh menyeberanginya dengan selamat.

• • •

Apabila saya membuat keputusan untuk mementaskan semula Lagenda Kinabalu pada tahun 2014, saya mengenepikan pancaran multimedia supaya penonton boleh lebih fokus kepada penceritaan dan ekspresi emosi. Naratif cerita turut dipulaskan, dan dramanya kini dibentangkan seperti berikut: Kreasi tari dua puluh minit yang pertama memaparkan keindahan flora dan fauna di Borneo, serta kehidupan insan-insan yang jujur di dalamnya secara harmoni. Apa yang berlaku seterusya adalah kisah tentang seorang gadis kecil, yang memainkan watak utama, mempunyai kebolehan ajaib mendengar suara-suara alam. Kreasi ini diteruskan dengan peristiwa pencorobohan ke atas Sabah pada tahun 1942. Kezaliman yang berlaku semasa Perang Duna II adalah memori yang menyakitkan. Lakonan semula kisah sebenar peristiwa bayi-bayi dibuang ke dalam sungai untuk mengelakkan perhatian daripada pihak tentera Jepun dan Sandakan Death Marches telah banyak membangkitkan emosi penonton. Malah, seorang warga asing yang telah lama bermastautin di Sabah terkejut untuk mengetahui tentang kesusahan itu, kerana Sabah sentiasa kelihatan begitu tenang kepadanya.

Terdapat banyak kisah menarik yang berinspirasi mengenai Perang Dunia II – cerita individu-individu yang gagah perkasa seperti Albert Kwok, yang mengetuai Gerila Kinabalu menentang Tentera Imperial Jepun. Kebanyakan mereka telah dihukum mati di Petagas di mana kini adalah sebuah taman peringatan bagi orang awam menunaikan penghormatan mereka. Kisah “Ring Lady” atau wanita bercincin juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada para penonton. Ia adalah satu kisah yang berkaitan dengan seorang wanita peribumi yang telah membantu pihak Perikatan Bersekutu. Sebagai balasan untuk kebaikan beliau, tentera telah meninggalkan cincin-cincin mereka kepada beliau sebagai tanda penghargaan, dan menyebabkan beliau mendapat gelaran itu. Untuk pementasan yang terbaru, saya memotong babak Hari Merdeka, digantikan dan diakhiri dengan Hari Peringatan Sandakan, dengan menggambarkan seorang Bobohizan (bomoh Kadazan-Dusun) menenangkan roh-roh.

Ramai penonton berkongsi pemikiran mereka selepas persembahan kami. Mereka berpuas hati terhadap persembahan kami tetapi turut sangat beremosi pada masa yang sama. Sebagai contoh, pada tahun 2010, William Choo telah berkongsi bahawa beliau telah mengalami satu perjalanan yang bersejarah – badan penari telah digunakan untuk mengisahkan cerita-cerita yang telah lama dilupai, dan emosi ini menjadi kenangan abadi. Loo Sze Khee berkata bahawa dia dapat mengesan misi usaha SDT, yang bukan semata-mata untuk tari sahaja. “Kekalkan maruah,” adalah apa yang beliau katakan kepada kami pada tahun 2014. Manakala Moonya, dari Zimbabwe, kagum dengan ciri-ciri kepelbagaian Synergy Dance Studio (unit yang menekankan pengajaran tari di bawah naungan SDT), setelah menghadiri ke tiga persembahan yang berbeza oleh Studio dari bulan April hingga ke bulan Jun 2014.

Setelah produksi terakhir kami, saya telah mengagihkan satu tugas tambahan kepada diri sendiri – berkongsi kreasi tari ini dengan lebih lanjut. Walaupun produksi Lagenda Kinabalu dipentaskan setiap tahun, tetapi jumlah penonton masih adalah terhad; maka saya telah memutuskan untuk mengadakan satu penggambaran dokumentari kreasi Lagenda Kinabalu pada tahun 2015. 11 Jun 2014 menandakan tarikh pasukan produksi, yang terdiri daripada Lonny Pang, Horace Yuan, Skyler Liew, Yun Han dan saya sendiri, mula bekerja secara kolektif. Sambutan bagi trailer untuk filem tersebut adalah menggalakkan kerana ia telah dikongsi secara meluas di media sosial. Saya kini menaruh harapan dan visi yang lebih besar untuk dokumentari tersebut.

Saya bukan seorang yang ortodoks; saya memilih untuk menjadi diri saya. Persoalan bahawa “Siapakah yang berhak untuk mengambil nyawa seseorang?” akan kekal selama-lamanya dalam fikiran saya. Saya telah membaca Kill the Prisoners! daripada Don Wall dan Rehearsal for War daripada Ban Kah Choon dan Yap Hong Kuan. Terdapat banyak buku lagi saya ingin membaca dan saya perlu mencari identiti diri saya di atas tanah bumi ini. Kesimpulannya, Lagenda Kinabalu tidak memihak kepada mana-mana pihak, tetapi menunjukkan kehilangan kemanusiaan dan nilai-nilai cinta sejati dan keberanian semasa peperangan. 

 

Christopher Liew Vui Ngee merupakan pengasas dan pengarah artistik bagi Borneo Dance Theatre (BDT) dan Synergy Dance Theatre (SDT). Lebih

Untuk menghubungi penulis:
;
mysynergydance.com

 

 

Foto utama: Tan Sook Kuan [kiri] dan Chin Pei Wen dalam Legenda Kinabalu, Auditorium Sabah Theological Seminary, Kota Kinabalu, 15 June, 2014. Foto © Wayne Liew

Skip to content