Penari Norbaizura Abdul Ghani berkongsi pengalamannya penghasilan kreasi kontemporari Heart Piece, bersama-sama koreografer Mohammad Naim Syahrazad.

 

Menari dan bekerjasama bersama koreografer muda, Mohammad Naim Syahrazad (Naim) dalam menghasilkan “Heart Piece” bukan pengalaman kolaborasi yang pertama di antara kedua kami – pernah saya melibatkan diri dalam hasil karyanya Season dan Line. Pada awal tahun 2013, saya diajak sekali oleh beliau untuk mempersembahkan hasil karyanya sempena persembahan projek Dance Escalator 2013 yang dianjurkan oleh MyDance Alliance pada 24–26 Mei 2013, dan Naim merupakan salah seorang daripada tujuh koreografer muda yang terpilih. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju. Idea dan tema koreografi beliau kali ini adalah agak berbeza daripada sebelumnya dan hanya melibatkan tiga orang penari wanita yang perlu berucap dan memanipulasikan  kerusi  ketika persembahan. Lanjutan daripada Dance Escalator, karya ini turut dipilih untuk diperkembangkan daripada lapan minit sehingga ke dua puluh minit dan dipentaskan sempena acara The Mezzanine: Level 2 of Dance Escalator Project yang berlangsung pada 20–22 Disember 2013 di The Actors Studio @KuAsh. Karya “Heart Piece” (versi pendek yang berdurasi selama 8 minit) kemudiannya dipentaskan semula pada tahun 2014 sempena Tari ‘14 di ASWARA dan versi panjang selama 20 minit dipentaskan sempena Reborn 2015 di Black Box, ASWARA pada 28–29 Mac 2015.

Dalam proses pertama menghasilkan koreografi,  barisan penari yang terdiri daripada saya, Rabiatul Adawiah Abdul Wahid (Ruby) dan Rizianah John (Rizi) diperkenalkan dengan sebuah puisi,  “Heart Piece” yang dikarang oleh Heiner Müller. Puisi tersebut mempunyai dua watak, One dan Two. Saya diberi watak Two manakala Ruby memainkan watak One dan Rizi pula merupakan bayangan yang simbolik kepada suara hati kedua-dua One dan Two. Penghayatan puisi yang mendalam ini adalah untuk membolehkan kami sebagai penari menjiwai keberadaan situasi yang berkaitan koreografi tersebut. Selepas itu, koreografer mula merekakan pergerakan dan mengarahkan eksplorasi gerak bersama-sama penari satu per satu dan kami melakukan duet bersama Naim secara berganti-ganti. Naim merekakan bentuk gerak berdasarkan kemampuan penari. Ini mempamerkan sikap bertolak ansur di kalangan kami yang berniat untuk menyempurnakan koreografi tersebut secara lancar dan bukan dipaksa-paksa. Pada mulanya agak susah untuk mengikuti gaya yang ditunjukkan oleh Naim. Namun melalui latihan pengukuhan dan eksplorasi secara berulangan, kami mampu memenuhi permintaannya. Selain daripada itu, kami juga diberikan tugas untuk membuat eksplorasi gerak sendiri berpandukan teks yang diberikan. Oleh kerana setiap daripada kami memegang peranan watak tertentu yang termaktub dalam puisi tersebut, percubaan demi percubaan dalam pengolahan pergerakan telah dijanakan berdasarkan permainan watak masing-masing.

Selepas beberapa sesi  latihan tanpa menggunakan muzik, dan kami hanya bergerak dengan rangka masa yang ditetapkan oleh Naim berdasarkan keselesaan dan perasaan seiras di antara kami sesama sendiri, Naim mula memasukkan teks-teks pendek yang dipetik daripada puisi untuk diucapkan oleh saya dan Ruby. Kami menggunakan perenggan yang pertama sahaja untuk penghujahan dengan lontaran suara yang kuat dan pertunjukan emosi yang seiring dengan petikan  puisi. Proses ini adalah mencabarkan kerana ia memerlukan pengungkapan vokal yang lantang dan cara penuturan ayat yang lembut dan sopan tetapi masih dapat menunjukkan ekspresi emosi yang ketara. Watak saya, Two, perlu memainkan emosi yang sedih, kecewa dan kemarahan yang terpendam dalam hati disebabkan masalah dan pergolakan yang berlaku di antara saya dan watak One.

Satu lagi proses yang paling mencabarkan adalah percubaan memperalatkan kerusi sambil menari. Terdapat beberapa gerak seperti baling-membaling dengan kerusi di antara penari yang memerlukan ketangkasan, fokus dan kawalan tenaga yang sangat teliti supaya tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Kami menerokai pelbagai kemungkinan dalam melakukan balingan kerusi berdasarkan arahan yang diberikan oleh Naim, seperti  membaling kerusi dengan jarak dekat, sederhana dan jauh, serta mengikut rentak aksi dan reaksi balingan yang berbeza dengan perlahan, sederhana dan laju. Kepercayaan dan kerjasama sesama ketiga-tiga kami sendiri adalah penting sekali dalam proses ini.

1

Proses terakhir adalah kraf pergabungan setiap bahagian yang sudah siap dihasilkan untuk dijadikan sebuah koreografi yang lengkap. Lagu If I Give My Heart To You oleh Doris Day dimasukkan pada permulaan koreografi, dan kemudiannya tiada lagu atau muzik dimainkan, tetapi persembahan diiringkan dengan bunyi pernafasan, pengungkapan petikan daripada puisi secara vokal, bunyi hentakan dan seretan yang dihasilkan daripada manipulasi kerusi dan gerak badan. Karya tersebut diakhiri dengan lagu Last Song oleh Meredith Monk.      

Kostum yang direkakan untuk setiap acara persembahan adalah berbeza. Dalam  projek Dance Escalator 2013, kostum adalah bertemakan hitam dan putih manakala kostum ditukar kepada warna kelabu, hitam dan putih untuk Tari ‘14 dan Reborn 2015. Pemilihan warna kostum ini dibuat berdasarkan perlambangan dan maksud yang terdapat pada setiap warna  seperti warna putih mencerminkan kesucian manakala warna hitam dan kelabu melambangkan kegelapan dan kesengsaraan dalam sesuatu peristiwa atau perhubungan. Pertunjukan emosi yang ketara seperti perasaan kekecewaan, sedih dan konflik jiwa melalui ekspresi muka dan gerak badan turut memainkan peranan penting dalam karya ini.  Selain daripada itu ianya juga boleh berubah mengikut interpretasi penonton yang melihat  karya ini.

Kesimpulannya, proses untuk menghasilkan karya “Heart Piece” adalah agak susah untuk saya lalui kerana bukan sahaja teknik menari dan perlakuan gerakan diutamakan, malah penggunaan vokal, pameran emosi  daripada lubuk dalaman  dan bukan berpura-pura, serta kecekapan dalam manipulasi kerusi turut diketengahkan. Meskipun begitu, pengalaman sepanjang proses menghasilkan karya ini adalah sangat menarik. Penerokaan idea koreografi Naim melalui eksplorasi gerak berdasarkan kemampuan penari tetapi masih mencabarkan dari segi pelaksanaan telah menghasilkan pelbagai pergerakan yang kelihatan pelik tetapi menarik. Idea-idea yang lahir daripada pemikirannya kadang-kadang di luar jangkaan saya. Dengan memerhati cara Ruby dan Rizi bergerak dengan teknik dan kawalan tenaga yang kemas dan teratur, saya terharu dan diinspirasikan. Pengalaman yang berharga turut menggalakkan saya supaya tidak berhenti menempuhi ilmu dan inspirasi untuk pengkaryaan yang lebih bermakna kepada diri sendiri pada masa akan datang!

 

Norbaizura Abdul Ghani merupakan pensyarah di Fakulti Tari, ASWARA. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
byepai_86@yahoo.com

 

Skip to content