Meneroka Inti Pati untuk Menjadi Seorang Lelaki

Wet Room merupakan sebuah koreografi karya penuh yang dihasilkan oleh Kenny Shim, dan dipersembahkan sempena Woman-On-Man-On-Men, satu produksi tari yang merangkumi dua hasil karya penuh di KLPAC dari 16 hingga 19 Januari 2020.

Woman-On-Man-On-Men dihasilkan oleh saya dan Suhaili Micheline. Kami telah berharap bahawa produksi ini boleh menawarkan asas unsur dan gaya yang senang diakses oleh golongan penonton baharu yang ingin mengenali persembahan teater tari. 

Suhaili dan saya berkongsi barisan penari yang sama. Ia adalah penting untuk menekankan latar belakang setiap penari, dari teater fizikal hingga tari kontemporari. Keadaan ini membuka banyak kemungkinan di mana pertukaran idea antara koreografer dan penari adalah bersifat peribadi dan fizikal, dan ini menambahkan rasa yang luar biasa untuk meningkatkan kualiti karya. Sejak dari awal, saya sedar bahawa penyatuan aliran di kalangan penari merupakan kunci kejayaan dalam mengasimilasikan mereka, di samping menyinarkan ciri-ciri keperibadian setiap penari. Kata-kata inspirasi seperti “mencerminkan”, “menuliskan” atau melakonkan “air” mula wujud, dan kata-kata ini memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan para penari dengan idea pengkaryaan.

“Apa maknanya bagi anda untuk mencari masa bersendirian?”
“Apakah yang anda lakukan semasa masa bersendirian?”
“Bagaimana rasanya jika waktu peribadi anda diganggu oleh orang lain?”
“Nyatakan perbezaannya ketika waktu sunyi anda ditemani oleh seseorang yang anda rasa menarik.”

Walaupun komitmen terhadap ekspresi idea dan pemikiran melalui perkataan adalah diperlukan, para penari harus menyampaikannya melalui pergerakan. Para penari berusaha untuk “menulis” pengalaman dan pemikiran mereka melalui interaksi badan dan komunikasi bukan lisan. Interaksi dan hubungan fizikal terbentuk daripada tugasan-tugasan yang diarahkan, dan ia terpapar pada pergerakan yang dipenuhi dengan semangat serta perasaan “jaga” yang meningkat. Elemen “air” kemudian diperkenalkan untuk menggabungkan bahagian-bahagian yang berbeza secara metaforikal dan fizikal. Oleh kerana air biasanya dikaitkan dengan penyembuhan, meditasi, pengaliran, pemikiran, inspirasi, dan merangkumi elemen cerminan yang kuat, ia menjadi penerokaan fizikal teras untuk bahan pergerakan yang terus menjadi tujahan utama bagi tarian tersebut. Kaedah ini melancarkan tenunan interaksi antara penari, pengubahsuaian daripada kedudukan-kedudukan yang sedia terbentuk kepada bahan improvisasi, serta sinkronisasi pergerakan.        

Babak senario ditetapkan di dalam satu “bilik persalinan”. Idea awal untuk Wet Room adalah berpusatkan badan maskulin di dalam persekitaran yang terkurung, di mana badan maskulin terpaksa dipamerkan di dalam ruang yang berkongsi sama, lalu melakarkan selok-belok yang menarik dan aneh di kalangan badan dalam ruang, dan seterusnya membentukkan pelbagai hubungan di antara satu sama lain. Keadaan ini mengakibatkan penerokaan “ego” di dalam badan maskulin. Daya penarik dan rasa ingin tahu untuk memahami “badan lain” menyebabkan interaksi menjadi yang lembut dan halus. Bilik persalinan cepat menjadi metafora yang jelas – satu tempat untuk refleksi sendiri dan penerokaan keinginan dalaman.

Terdapat sesuatu mengenai lagu elektronik yang boleh menggali jiwa minda, mungkin disebabkan oleh pengulangan rentak berdebar yang berterusan. Dengan menggunakan lima lagu elektronik daripada Jon Hopkins, muzik dan pergerakan disatukan dalam satu kontras yang bersinergi, seterusnya menambahkan satu lagi lapisan naratif. Sebagai sebahagian daripada proses tersebut, muzik yang terpilih tidak digunakan untuk menjanakan bahan pergerakan – para penari melaksanakan tugasan-tugasan mereka semasa latihan dalam keadaan senyap. Ini adalah untuk membantu setiap penari mengekalkan asas sensasi fizikal mereka yang tersendiri serta setia terhadap pemikiran mereka.

Pereka tatacahaya Mohd Fairuz bin Mohd Ariff banyak mendapat inspirasi daripada pergerakan dan muzik. Sebilangan besar hasil perekaannya kelihatan seperti pertunjukan fesyen, dengan lampu strob yang putih berkilauan dan lapisan warna air. Terdapat saat-saat apabila pancaran cahaya yang kuat menerangkan para penari, secara metaforikal, ia seperti mempamerkan mereka sedang mandi sambil merenung pemikiran dan ingatan mereka. Ruang persembahan tari itu dikelilingi oleh empat jalur cahaya putih yang tipis untuk membentukkan satu kotak empat segi. Kotak ini menyediakan satu ruang persembahan tari yang jelas kerana para penari tidak pernah meninggalkan pentas itu sepanjang persembahan karya ini. Ruang tertutup dan intim ini menyebabkan voyerisme menjadi elemen yang penting, seterusnya mencerminkan pengalaman seseorang di dalam bilik persalinan. Daya tarikan, dan mungkin juga rasa meluat terhadap tubuh manusia, jelas dilihat melalui persepsi pandangan setiap watak ke atas satu sama lain.

Pergerakan yang direalisasikan adalah penuh dengan perasaan ingin tahu, kelembutan, dan kehalusan, yang jarang ditunjukkan oleh tubuh maskulin. Untuk meningkatkan lagi ciri-ciri kewanitaan di dalam tubuh, para penari masing-masing memakai baju crop top dengan seluar sama sendat berwarna hijau tentera. Pendampingan antara baju dan seluar sama sendat ini boleh menyebabkan berlakunya satu pemisahan daripada keadaan “sekarang”, dan membawa penonton melangkau ke masa depan. Perkara ini disengajakan, dengan niat untuk mengubah persepsi masyarakat sekarang tentang kejantanan pada kaum lelaki. Kebendaliran air menyokong konsep perubahan yang berterusan, termasuk pergeseran antara maskuliniti dan kewanitaan dalam seseorang sendiri.

Dengan berlatarkan bilik persalinan lelaki, Wet Room meneroka inti pati untuk menjadi seorang lelaki, di mana keinginan semula jadi boleh menjanakan pelbagai hubungan yang erat. Karya ini juga memaparkan manifestasi ego lelaki secara fizikal yang “dilucutkan” apabila tubuh memperolehi kesunyian di tempat-tempat yang tenang, seterusnya membenarkan setiap watak mengekspresikan kepekaan, kekuatan, kelajuan, kelembutan dan kehalusan.

Kenny Shim merupakan seorang koreografer, pengajar dan penggiat seni tari.  Lebih

Anda boleh mengikutinya di Instagram di @ken.ssc.

Foto utama: [Kiri ke kanan] Tristen ZiJuin, Lu Wit Chin, Joshua Gui, Ng Yann Chwen, Pengiran Khairul Qayyum Ag Omar, Steve Goh dalam Wet Room di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, January 2020. © Ariff Aris

Skip to content