International Young Choreographer Project 2017

Penari utama ASK Dance Company Fauzi Amirudin menceritakan pengalaman penghasilan karya pendek beliau dengan kerjasama penari tempatan di Kaohsiung, Taiwan.

 

International Young Choreographer Project (IYCP) yang dianjurkan oleh World Dance Alliance Asia Pacific (WDAAP) telah berlangsung pada 1-23 Julai 2017 di Kaohsiung, Taiwan. Projek dua tahun sekali ini merupakan sebuah bengkel koreografi yang mengumpulkan beberapa koreografer antarabangsa yang terpilih oleh organisasi WDA di negara masing-masing. Seramai lapan koreografer telah terpilih untuk IYCP 2017 di Tsoying Senior High School yang diketuai oleh Su-Ling Chou. Mereka terdiri daripada Yeajean Choi (Korea Selatan/USA), Hsin-I Huang (Taiwan), Jan Mollmer (Jerman), Lin-Yi Chien (Taiwan), Scott Ewen (Australia), Tien-Chiang Ku (Taiwan), Tamaki Mizuno (Japan) dan saya dari Malaysia.

Aktiviti pertama IYCP adalah sesi uji bakat terbuka yang membolehkan kami memilih penari. Ini merupakan pengalaman yang menarik kerana koreografer berpeluang untuk menyaksikan gaya penari yang tidak dikenali. Terdapat 42 peserta dan setiap koreografer diberikan masa 20 minit untuk melakukan demonstrasi gaya pergerakan sendiri.

Saya banyak melibatkan gerakan floor work, iaitu pergerakan paras rendah yang berdekatan dengan lantai, dan bertenaga. Selepas selesai sesi uji bakat, kami berbincang bersama pengarah persembahan untuk pemilihan penari. Perbincangan tersebut mengambil masa yang agak lama kerana terdapat pemilihan penari yang bertindih, dan setiap penari hanya dibenarkan untuk bekerja dengan dua koreografer sahaja. Saya memilih dua penari lelaki dan tiga penari perempuan.

Butiran karya saya adalah seperti berikut:

Tajuk: All In

Sinopsis: Life is full of choices, each leads you to its own obstacles. Nothing is easy, but no regrets. The choreography has been constructed with images, shapes, design and chance as the primary tools of exploration.

Muzik: Man with The Movie Camera (The Cinematic Orchestra)

Saya sebenarnya telah mula menerokai idea koreografi ini dengan solo, dan ia telah dipersembahkan sempena Dancebox 2017 di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac). Ia diperkembangkan dengan menggunakan konsep paras rendah, berdekatan dengan lantai, berat, graviti dan jatuh. Latihan bermula dengan sesi improvisasi supaya boleh mengenal pasti tahap kespontanan penari. Improvisasi ini lebih kepada , pembentukan imej, paras, ruang, dan tenaga. Ini dikembangkan dengan memberi arahan spesifik kepada penari berkait dengan tubuh atau anggota badan. Selepas ini, proses komposisi pendek dimulakan. Saya juga teruskan dengan idea fall and drop dengan tujuan menghasilkan pergerakan yang kelihatan tidak terancang, serta memerlukan kekuatan dan kawalan badan yang tersusun. Saya mengajar teknik pengawalan badan untuk jatuh dengan cara yang selamat serta kelihatan lebih dramatik.

Kebanyakan masa dihabiskan untuk mengingat, membuat eksplorasi serta mencuba koreografi dengan pelbagai lagu yang berbeza untuk variasi rasa dan penghayatan. Setiap hujung minggu, hasil koreografi setiap koreografer dipersembahkan kepada pihak IYCP untuk menunjukkan perkembangan masing-masing dan mendapatkan maklum balas.

Saya menyesuaikan eksplorasi gerak dengan muzik yang dipilih serta memberi tumpuan kepada pergerakan individu, dan keunikan dan kekuatan dalam melakukannya. Saya memberi tugasan yang harus disiapkan pada waktu yang dipersetujui. Penari diberi ruang dan kebebasan untuk menukar, menetap serta membuat eksplorasi terhadap frasa yang ditetapkan, untuk menunjukkan daya kreativiti penari masing-masing serta cara interaksi mereka di dalam satu kumpulan.

Saya mengaplikasi latihan TACTICS yang saya pelajari daripada Janis Claxton, sempena Southeast Asian Choreolab 2014 di Rimbun Dahan dalam pengkaryaan seksyen trio dan berpasangan. Ia menggunakan bahu, siku, lutut, pinggul dan pemindahan berat badan. Proses ini mengambil masa yang lama kerana melibatkan sentuhan fizikal dan juga reaksi dramatik ketika menarikannya.

Malangnya, pada minggu kedua, salah seorang penari mengalami kecederaan dan saya mengambil keputusan untuk tidak melibatkannya ke dalam koreografi. Seterusnya saya menumpu perhatian kepada pelaksanaan pergerakan, postur, gesture serta emosi secara terperinci. Saya amat bersemangat kerana melihat para penari cuba bersungguh-sungguh untuk memahami dan menghafal gerak. Selain itu, saya juga berusaha membuat sesuatu yang segar dan baharu untuk menarik minat penari dan pada masa yang sama, mudah difahami.

Seorang lagi penari tercedera dan ini membawa cabaran yang lebih besar. Sebagai seorang koreografer, saya harus cepat berikhtiar untuk melakukan pengubahsuaian karya dan menganalisis sebab-sebab kecederaan. Kesimpulannya, ia mungkin berpunca daripada keletihan dan kehilangan fokus penari kerana telah menjalani latihan intensif yang lama bersama koreografer lain.

Proses pengkaryaan diteruskan dengan pelbagai tugasan dengan bertujuan menggabungkan gerak saya dan penari. Saya ingin melihat sejauh mana penari memahami apa yang cuba disampaikan dan sejauh mana nilai estetika pergerakan tersebut dapat diperhaluskan. Di dalam bahagian solo, saya membuat eksplorasi supaya ianya lebih mantap dan segar serta menumpukan perhatian kepada karakter pergerakan, yang memanipulasikan reaksi penari apabila dilanggar, ditolak atau disepak oleh orang lain. Ini dilakukan melalui latihan action and reaction. Pada masa yang sama, penata lampu dan unit teknikal turut hadir supaya mendapat gambaran dan mencipta rekaan cahaya yang efektif untuk setiap koreografi.

Proses ini agak mencabar dan wujudnya perasaan ketidakselesaan di kalangan penari kerana pergerakan yang ekstrem. Selain daripada itu, salah satu masalah besar adalah isu komunikasi. Secara umumnya, penari Taiwan kurang fasih dalam bahasa Inggeris. Namun sebahagian masalah tersebut boleh diatasi melalui bahasa isyarat. Masa latihan hanya tiga jam sehari tidak mendatangkan masalah yang kritikal kerana saya tidak menggunakan bilangan penari yang ramai. Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program ini serta merealisasikan kreasi saya. Saya berterima kasih atas bantuan daripada pelbagai pihak termasuk MyDance Alliance, ASK Dance Company serta Yayasan Sime Darby.

 

 

Fauzi Amirudin merupakan seorang penari utama di ASK Dance Company (ADC). Lebih

Untuk menghubungi penulis:
fauziamirudin@gmail.com

 

 

Foto utama: Yu Ting Chiu dalam “All In”, Kaohsiung, 21 Ogos 2017. © 劉人豪 Liu Ren Hao

 

Skip to content