Fairul Zahid menjejaki pemulaan kerjayanya dalam seni tari, dan mengisahkan kembali cabaran-cabaran yang dihadapinya demi memenangi kepercayaan dan penerimaan daripada ibunya, sambil membina laluannya pada masa yang sama.    

Karangan ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Dunia tari bukan pilihan pertama saya. Saya bermula daripada kegiatan sukan; acara pecut 100 meter dan 200 meter adalah kegemaran saya. Namun saya sedar bahawa saya tidak mempunyai bina badan yang sesuai dan bakat kesukanan yang semula jadi. Apabila saya mengambil keputusan untuk meninggalkan sekolah sukan dan melibatkan diri dalam bidang lain, ibu saya bertanya bidang apakah yang akan saya ceburi. Jawapan saya mudah: Biarlah masa yang menentukan. Selepas beberapa bulan, saya tertarik dengan satu aktiviti yang mungkin kurang popular di kalangan remaja lelaki: tari. Cara para penari bergerak seiring dengan muzik menggegarkan hati saya, dan terus membawa diri saya terjerumus ke dalam bidang tersebut.

Saya bermula dengan tari tradisi Melayu iaitu zapin, dan terlibat secara senyap tanpa pengetahuan ibu bapa saya. Tiada ibu bapa yang teringin mendengar anak mereka digelar “lembut” di kalangan rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Namun bermain zapin menyebabkan saya gembira, dan amat menikmati keberadaan diri saya, terutamanya apabila berjumpa dengan rakan baru. Selepas beberapa bulan sebagai pemain zapin, ibu saya mula curiga terhadap tingkah laku saya yang sering pulang lewat, berpeluh, badan berbau dan kaki yang kotor. Beliau mula menjejak ke mana saya pergi dan akhirnya keterlibatan saya dalam tari terbongkar. Sebaik sahaja saya tiba di rumah, saya ditarik ke bilik saya dan dirotan olehnya. Saya dimarahi dan diberitahu bahawa kegiatan tersebut tidak akan mendatangkan sebarang faedah dalam kehidupan. Dalam tangisan terisak-isak, saya menjawab, “Berilah Adik peluang untuk buktikan pada Mama bahawa Adik boleh berjaya dan buat Mama bangga,” tetapi beliau menjawab, “Tak mungkin!”

Untuk seketika, saya tidak menghadiri kelas tarian untuk mengelakkan diri daripada dirotan. Rakan-rakan saya mula bertanya tentang ketidakhadiran saya untuk latihan, dan saya terpaksa berbohong bahawa saya “ingin rehat buat seketika”. Beberapa minggu kemudian, apabila keadaan menjadi tenang, saya mula menghadiri kelas tarian lagi tanpa pengetahuan ibu saya. Saya telah menyertai pelbagai pertandingan dan melawat ke merata-rata untuk penambahbaikan diri dalam seni tari.

Keinginan saya untuk menari terus meningkat. Pada usia sekitar 17 tahun, saya mula mencari-cari tempat lain yang boleh mengembangkan bakat tersembunyi diri saya. Saya berjumpa dengan seorang penggiat seni budaya dari Yayasan Warisan Johor yang bernama Hamidah. Beliau merupakan seorang yang tegas dan sentiasa kelihatan garang. Beliau ingin mencapai kesempurnaan dalam segala pergerakan secara konsisten. Namun, satu soalan terbentuk di fikiran saya: “Apakah itu kesempurnaan?” Tiada seorang insan yang sempurna di bumi ini, kerana kita bukan Nabi atau Tuhan. Akhirnya, keingin-tahuan dan keghairahan telah mendorong saya bertanya kepada Puan Hamidah, dan beliau menjawab, “Kesempurnaan tak wujud secara semula jadi, tapi Fairul boleh berusaha mendekati kesempurnaan supaya Fairul boleh berjalan seiring dengannya).”

Selama bertahun-tahun saya bermain zapin dan kemudian terlibat dengan tarian-tarian yang lain seperti asyik, layang mas, inang, joget dan sebagainya. Saya sentiasa ingin belajar tarian dengan) lebih mendalam; Saya berasa seperti saya telah gagal jika saya tidak berpuas hati secara fizikal. Saya agak terkenal dengan sikap pemberontakan saya semasa di sekolah, dengan mempertikaikan hujah-hujah para guru dan mempersoalkan setiap arahan. Cikgu Azhar, salah seorang guru muzik di sekolah bertanya kepada saya, “Adakah Fairul akan menari selama-lamanya? Dan sudahkah Fairul bersedia untuk menerima kesukaran hidup sebagai penari?” Saya menjawab bahawa di sebalik kesukaran pasti ada kesenangannya, dan tiada apa di bumi ini adalah susah jika kita berusaha gigih.

Tanpa saya sedari, ibu saya sebenarnya tahu saya masih menari. Pada suatu malam, saya pulang ke rumah seperti biasa dan terjumpa sebuah bungkusan yang besar di sebelah pintu rumah. Saya membuka bungkusan tersebut dan mendapati bahawa semua pakaian saya berada di dalamnya. Saya mengetuk pintu sambil memanggil secara lembut, “Mama… Mama… Buka pintu… Adik sudah pulang…” Beliau menjawab dengan suara yang kuat, “Kamu keluar dari rumah ini dan jangan balik selagi kamu rasa bahawa tari boleh menyara hidup kamu.” Kanak-kanak siapakah yang tidak akan berasa amat sedih jika dihalau keluar dari rumah oleh ibunya sendiri? Saya terus mengetuk pintu dan merayu kepada ibu saya supaya jangan bertindak sebegitu. Namun beliau tidak mengendahkan saya. Saya terpaksa tidur di tempat lain. Pada keesokan harinya, saya menghubungi ayah dan beliau membuka pintu sambil memesan saya masuk ke rumah dengan serta-merta sebelum diketahui oleh ibu.

Sekali lagi, saya terpaksa berehat seketika daripada latihan tarian selama beberapa minggu untuk menenteramkan keadaan. Namun, secara tiba-tiba, saya pula dimaklumkan oleh seorang guru mengenai sebuah universiti yang berfokus dalam pengajian bidang seni. Saya sangat teruja dan bertanya tentang lokasinya. Beliau menjawab bahawa institusi yang dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan, atau ASWARA) ini berada di Kuala Lumpur. Saya terus mencari-cari informasi yang berkaitan melalui Internet dan terus menghantar permohonan kemasukan saya. Beberapa minggu kemudian, saya dipanggil untuk temu duga dengan pensyarah ASWARA, Puan Hajijah Yaakob.

Kemudian saya berjaya diterima memasuki ASWARA, namun saya masih tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya takut memberitahu ibu saya, dan saya tidak mempunyai wang jika saya melarikan diri. Saya mengukuhkan diri dan menyuarakan hasrat saya kepada ibu. Sekali lagi saya dimarahi dan dihalau keluar dari rumah. Saya berkeras untuk meneruskan perjuangan ini dan bertekad untuk membuktikan bahawa saya boleh melakukannya dengan baik. Dengan hati yang berat, saya meminta restu daripada kedua-dua ibu bapa saya sebelum bertolak. Ibu saya enggan memberikan rahmatnya, tetapi ayah telah menyedari cita-cita saya. Secara senyap, beliau memberikan saya RM100 untuk memulakan kehidupan saya sebagai penari.

Saya gembira sekali apabila melangkah ke ASWARA, seolah-olah saya baru dilahirkan sebagai seorang bayi. Saya menghadiri satu kelas demi satu kelas tari: tari kontemporari, ballet, tari Melayu, tari India, tari Cina dan juga tari-tari dari Sabah dan Sarawak. Banyak peluang yang lain muncul di luar lingkungan ASWARA, namun saya sering menolakkannya kerana keutamaan masih diberi kepada pelajaran saya. Tetapi akhirnya terdapat satu peluang yang saya benar-benar teruja: So You Think You Can Dance (SYTYCD) Malaysia Musim Kedua. Saya bukan seorang pelajar yang berkaliber tinggi di ASWARA. Saya degil, suka ponteng kelas dan terlibat dalam pergaduhan. Dengan sikap-sikap buruk itu, saya telah dilarang oleh pihak universiti untuk menyertai SYTYCD. Namun, kedegilan saya tetap mendorong saya terus berjuang dalam pertandingan ini dan saya berjaya memasuki tangga 20 teratas. Dalam pertandingan tersebut, saya memerlukan undi daripada para penonton, tetapi siapakah yang mahu melakukan demikian? Saya mengambil keputusan untuk menghubungi ibu bapa dan saudara-mara saya untuk hadir dan menonton pertandingan itu secara langsung. Saya tidak yakin bahawa ibu saya akan hadir tetapi saya pasti bahawa bapa dan adik saya, serta sesetengah saudara-mara akan hadir.

Acara pertandingan tersebut dimulakan secara besar-besaran, dengan cahaya lampu yang bersinar, serta sorakan dan jeritan yang kuat daripada penonton. Semua ini menyebabkan saya gementar dan teruja. Apabila saya melangkah ke pentas, sesuatu yang ajaib berlaku. Saya melihat seorang wanita yang berusia empat puluhan berdiri bersama panji-panji yang tertulis “FAI”. Beliau mempunyai rambut kerinting serta berbaju dan berseluar hitam. Beliau adalah ibu saya. Air mata saya menitis ke tanah sebelum saya mulakan rutin tarian saya. Itu adalah kali pertama ibu saya hadir untuk menonton persembahan saya. Apabila rancangan tersebut tamat, saya tidak dibenarkan keluar ke ruang penonton tetapi saya degil dan terus keluar untuk mencari ibu. Cepat seperti kilat, saya ternampak rambut kerintingnya dan berlari serta-merta kepadanya, lalu memelukkannya tanpa perasaan malu di kalangan orang ramai. Air mata saya menitis sekali lagi, tetapi kali ini ke atas bahu ibu kesayangan, dan beliau berkata kepada saya, “Mama bangga dengan Adik.”

Saya meneruskan hidup saya sebagai seorang penari dan seorang pelajar di ASWARA, dan kini di Universiti New York. Saya amat suka tari kontemporari dan telah mula menguasainya dengan teliti di bawah bimbingan guru-guru saya. Hidup sebagai seorang penari mempunyai waktu-waktu yang baik dan buruk secara bergiliran, tetapi tenaga positif berkuasa yang saya perolehi daripada ramai orang telah membentuk siapa diri saya yang sebenarnya hari ini, termasuklah sokongan akhirnya daripada ibu saya, Maskiah Jahari. Sentiasa berada di dalam kenangan kasih sayang, al-Fatihah.

 

Fairul Zahid merupakan seorang calon MFA dalam bidang tari di Tisch School of the Arts, New York University. Lebih

Untuk menghubungi penulis:

 


Photo utama:
Fairul Zahid [atas] dalam persembahan Full House yang dikoreograf oleh Fauzi Amirudin, Damansara Performing Arts Centre, 28 Jun 2013. Foto © James Quah

Skip to content