Tetapi saya telah melakukannya: Pembelajaran daripada koreografi Jack Kek But You Didn’t

Joelle Jacinto belajar untuk mempercayai pasangannya dalam satu hubungan guru-pelajar yang di luar jangkaan kerana peranan masing-masing telah diterbalikkan demi mempersembahkan hasil karya Jack Kek, But You Didn’t.

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Kami bertemu daripada mata ke mata, tangannya menggenggam teguh di atas lengan saya, tangan saya mengapit di atas kedua-dua bahunya. Saya mesti kelihatan ketakutan. Beliau berkata dengan sangat yakin, “Percayailah saya.”

Kemudian beliau memusingkan saya sekali lagi, kaki saya terbang ke arah belakang seperti alat permainan tunggangan di taman hiburan. Saya melengkungkan belakang saya untuk menjauhkan kaki daripada lantai, sementara menahan kedua-dua tangan pada badannya. Apabila beliau tarik saya ke posisi berdiri, kami tidak meneruskan langkah seterusnya. Ini bermaksud terdapat masalah dalam pelaksanaan pergerakan ini. Saya bertanya kepadanya, “Lebih baik?” Beliau mengeluarkan senyuman malu-malu dan berkata, “Mungkinkah cikgu lebih mempercayai saya?”

Chan Kean Yew menari bersama saya dalam kreasi tari Jack Kek yang bertajuk But You Didn’t, untuk persembahan UMa Dance Company, satu kumpulan tari kontemporari di bawah pernaungan Universiti Malaya. Barisan pemain asal duet yang indah ini ialah Chan dan Bai Jin, seorang pelajar tahun kedua yang juga dikenali sebagai Fiona oleh ramai rakan tempatan. Fiona terpaksa pulang ke kampungnya, negara China, untuk menjalani latihan industrinya. Beliau tidak dapat mengulangi persembahan tersebut – yang merupakan sebahagian daripada UMa Dance Showcase 2014 – untuk acara Persidangan Antarabangsa untuk Pendidikan Tari atau International Conference on Dance Education (ICONDE) pada Ogos 2014. Maka, saya terlibat ke dalamnya. Kreasi duet tersebut merupakan salah satu repertoir asli yang menarik perhatian pada bulan Mei 2014, dan sememangnya adalah sayang sekali sekiranya ia dikeluarkan daripada senarai persembahan ICONDE.

Pada mulanya, saya tidak mahu terlibat dalam persembahan duet tersebut. But You Didn’t merupakan sebuah kreasi yang berdasarkan satu puisi yang dikarang oleh Merill Glass, yang berkaitan dengan kematian lelaki kesayangannya. Semasa karya ini dikreasikan, saya telah kehilangan individu tercinta diri saya yang telah menjalinkan hubungan selama sepuluh tahun. Menarikan karya tersebut terlalu mendekati diri saya. Sebenarnya, dalam tarian tersebut, isu kematian sememangnya tidak memainkan peranan yang penting, melainkan anda dimaklumkan dengan jelas bahawa, “Hei, watak Chan telah mati dalam karya ini.” Dengan mengabaikan konteks koreografi itu, repertoir tersebut tetap merupakan satu duet yang hebat dan aneh, serta mencerminkan satu percintaan berpasangan. Tetapi apabila saya mengetahui apa yang dimaksudkan oleh koreografer, saya melihat kreasi ini dengan kanta yang berbeza, khususnya bahagian-bahagian yang seakan-akan Chan tidak wujud secara fizikal, dan Fiona tidak memandang terhadapnya kerana Fiona tidak dapat melihatnya.

Kerana Chan telah pun mati.

Terdapat satu sebab lagi kenapa watak Chan semata-mata hanya wujud sebagai hantu atau memori adalah susah dikenalpasti. Ini kerana terdapat teknik gerak angkat-mengangkat yang kompleks berlaku di sepanjang kreasi ini. Fiona tidak boleh memandang terhadap Chan semasa kebanyakan gerak berpasangan dilakukan, maka masa pelaksanaan haruslah tepat sekali. Selain itu, kepercayaan di antara satu sama lain perlu berada di tahap yang tertinggi. Saya sedar tentang isu kepercayaan tersebut apabila saya mengambil keputusan untuk mengetepikan perasaan peribadi saya dan menganggap repertoir ini adalah sesuatu yang perlu dibelajar dan dipersembahkan seperti tari-tari yang lain. Saya turut berjanji kepada Chan bahawa kedua-dua kami sekurang-kurangnya harus cuba berusaha untuk mempersembahkan repertoir ini semula, yang akhirnya kami berjaya melakukan.

Ketika itu, Jack sedang sibuk bersedia untuk melawat ke Berlin demi menonton festival tari antarabangsa Tanz im August di sana. Kami tidak ingin mengganggunya dalam hal persembahan ulangan ini dan latihan raptai yang berkaitan. Maka, saya belajar tarian itu daripada rakaman video persembahan pertama repertoir tersebut yang dilangsungkan pada Mei 2014, dan Chan mengajar saya bagaimana menyambungkan daripada langkah ke langkah seterusnya. Beliau bukan sahaja mengajar saya mengenai teknik pelaksanaan gerak, tetapi lebih khusus kepada bagaimana Jack mahu pergerakan disempurnakan. “Tak, Cikgu, Cikgu perlu tunggu saya untuk mengangkatkan kaki kamu.” “Tak, Cik, Cik perlu lakukan ini dengan lebih cepat.” “Tak, Cikgu, jangan tarik diri sendiri ke atas seperti seorang ballerina, bahagian dada harus dikuncupkan lagi. Latih sekali lagi.”

Chan memanggil saya “Cikgu” kerana beliau ialah pelajar saya, atau sekurang-kurangnya, beliau ialah bekas pelajar saya pada semester terakhirnya sebelum tamat pengajian. Seseorang pelajar yang lain mungkin telah menolak dengan keras untuk menari bersama saya, seorang pensyarah mereka yang juga berwarga asing yang pernah berkhidmat sebagai pemain solo bagi kumpulan ballet profesional. Tetapi Chan, sebagai pelajar terbaik saya, seorang pengejar pencapaian tinggi yang yakin terhadap semua perkara yang beliau lakukan, telah bersikap cekap dan sistematik semasa keseluruhannya. Sebenarnya, beliau juga individu yang mengingatkan saya tentang masa latihan raptai kami melalui Whatsapp.

Selain melalui satu pengalaman yang membuka mata, pembalikan peranan antara guru dan pelajar adalah sangat lucu. Perkara tersebut menyedarkan saya beberapa perkara mengenai tari diri saya, termasuk ketidakupayaan saya untuk melepaskan kawalan ke atas badan sendiri, dan keengganan saya untuk membenarkan orang lain mengambil kawalan.

Demi mencapai motif gerak pertama persembahan duet tersebut – di mana saya berbaring dalam keadaan malas, hampir selari dengan lantai, dan bersandar pada lutut Chan, manakala Chan, dengan lengan yang memanjangkan, memegang saya di bahagian leher – saya perlu bersandarkan bahagian belakang atas saya pada dadanya dan meluncurkan belakang saya dengan mengikut garis pepenjuru sehingga saya terjatuh. Kemudian beliau akan menahan saya, yang sentiasa beliau lakukan. Namun, beliau tidak pernah puas hati dengan cara bagaimana saya lakukannya.

“Cik, saya perlu rasa semua berat badan kamu di dada saya semasa kamu meluncur ke bawah,” beliau berkata demikian berulang-ulang kali. “Jangan bimbang, saya akan menangkap kamu. Anda perlu percaya kepada saya.” Akhirnya, saya terpaksa mengakui perasaan tidak sanggup saya kerana tidak mengambil kawalan pada bila-bila masa. Saya sentiasa bersemangat berdikari, sama ada di atas atau di luar pentas, dan saya benci terhadap situasi yang saya tidak boleh menyelesaikan masalah. Beliau sebenarnya bersetuju bahawa ini merupakan satu personaliti keangkuhan saya yang boleh membawa padah. Beliau ketawa, dan meminta saya menarikan semula.

Terima kasih kepada ketabahan Chan, saya boleh mempersembahkan repertoir ini dengan baik; begitu baik sekali sehingga seorang penonton yang tidak pernah menonton persembahan pertama, menyangkakan bahawa kreasi ini dikoreograf khas untuk saya, dengan mencungkilkan kebolehan teknik dan emosi saya ke tahap yang maksimum. Penonton tersebut menganggapkan bahawa watak perempuan repertoir ini direkakan berdasarkan saya, seseorang yang aneh dan ingin berdominasi seperti saya yang benar dalam dunia realiti. Sudah tentu, itu hanya satu kebetulan yang menggembirakan.

Terdapat satu ungkapan dalam puisi yang dijadikan landasan tarian ini, iaitu, “Saya fikir anda akan tinggalkan saya. Tetapi anda tidak.” Inilah ungkapan yang mencerminkan bagaimana perasaan saya dalam mempelajari dan menarikan tari ini. Dalam kerjaya tari saya, saya sedar bahawa saya mengawal sesetengah kepercayaan, saya lebih mempercayai diri sendiri demi menyakinkan diri saya mampu melakukan perkara-perkara tertentu. Namun, terdapat juga kepercayaan di dalam pengkaryaan, serta kepercayaan kepada insan yang anda menari bersama-sama. Bukan saya tidak mempercayai Chan; sekurang-kurangnya dalam fikiran minda saya tahu beliau cukup kuat untuk mengangkat saya. Namun, badan saya tetap takut, dan perlu diatasi melalui sesi-sesi latihan yang berulangan untuk memahami kekuatan dan ritma Chan. Chan berupaya untuk “mendapatkan” saya melalui satu cara gaya menari yang di luar norma kebiasaan saya, sehingga saya berasa ia telah menjadi sifat semula jadi diri kedua saya apabila tirai panggung dinaikkan. Akhirnya, saya mempelajari untuk mempercayai sepenuhnya.

 

Joelle Jacinto mengajar koreografi dan teknik di Universiti Malaya. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
; runthrumagazine.wordpress

 

Joelle Jacinto dan Chan Kean Yew yang mempersembahkan hasil karya Jack Kek, But You Didn’t, di Panggung Eksperimental, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia, 14 Ogos 2014. Foto © Latiman Keman

Skip to content