“Remains of Loneliness”: Satu Refleksi Kendiri terhadap Amalan Koreografi

Pengamal tari Tan Bee Hung cuba merakamkan inti pati kesunyian dalam video.

Ketika menatal tanpa tujuan pada satu hari yang malas, saya terjumpa satu video YouTube yang menggigilkan. Video itu adalah sebuah dokumentari daripada RT Documentary yang bertajuk “Dying Alone: Kodokushi, Japan’s epidemic of isolation through the eyes of a ‘lonely death’ cleaner”, atau diterjemah sebagai “Mati Bersendirian: Kodokushi, wabak pengasingan Jepun melalui mata seorang pekerja yang membersihkan kediaman mangsa ‘kematian sepi’”. Banyak imej yang jelas daripada video itu masih meninggalkan kesan di dalam kepala saya sehingga ke hari ini. Oleh itu, apabila saya diminta untuk mencadangkan satu penghasilan karya untuk kursus Choreolab dalam program Ijazah Sarjana Tari di Universiti Malaya pada awal tahun ini, saya mengambil keputusan untuk menerokai tema kesepian ini. ‘

Idea awal karya ini adalah melibatkan dua penari dan mempersembahkannya sebagai satu karya khusus tapak. Namun idea tersebut terbatal ekoran daripada pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) pada pertengahan Mac. Disebabkan ketidakpastian yang kini saya hadapi, saya memutuskan untuk menari secara diri sendiri. Sebelum meneruskan pengkaryaan, saya menghadamkan sebanyak mungkin hasil sastera mengenai topik ini. Proses ini adalah penting kerana ia membantu saya melihat tema tersebut dari pelbagai sudut, di mana kesepian bukan hanya satu reaksi kognitif tetapi juga satu hasil sampingan daripada hegemoni sistemik dan obsesi pihak berkuasa terhadap pertumbuhan ekonomi. Karya ini kemudian dikhususkan kepada penggambaran seseorang yang semakin dikepong oleh kesepian ekoran daripada struktur sosial, sehingga membentuk tajuk karya.

Selain daripada kaedah pengembangan motif gerak dan penerokaan alat koreografi yang lazim, ia juga ditetapkan supaya hasil karya tari dipersembahkan secara dalam talian dan dirakamkan di rumah, disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang menghalangkan sebarang bentuk persembahan secara langsung, sekurang-kurangnya sehingga ke bulan Jun. Banyak pemikiran telah diberikan kepada kaedah perakaman tarian saya. Saya sedar bahawa terdapat banyak cara untuk menjelaskan kesepian, namun saya memilih untuk melihatnya seolah-olah terperangkap di dalam ruang kecil yang bersepah-sepah. Semasa permulaan pengkaryaan, sudut rakaman video tidak menjadi keutamaan saya; tujuannya adalah untuk merakamkan karya dari satu sudut rakaman sahaja. Walau bagaimanapun, setelah banyak percubaan, saya mendapati bahawa sudut rakaman harus dipertimbangkan semula untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Untuk mencari pelbagai kemungkinan bahan yang boleh saya gunakan dalam pengkaryaan, saya bermula dengan mengarahkan beberapa tugas dan peraturan dalam penyelidikan pergerakan. Saya membenarkan diri saya bereaksi terhadap ruang – satu ruang yang saya sangat biasa, tetapi kini juga menjadi asing kepada saya, kerana saya sering tertanya-tanya jika ruang di rumah saya ini kini telah berubah menjadi “ruang persembahan”. Mengetahui bahawa video itu akan ditonton oleh penonton juga menyebabkan saya berasa cemas, kerana mungkin terdapat sesetengah ruang di rumah yang saya tidak berminat untuk berkongsi. Perasaan kekecewaan timbul sepanjang masa dalam mencari sudut rakaman yang “betul”, di mana saya masih tidak dapat menangkap sesuatu yang memuaskan setelah bertungkus lumus naik dan turun, serta memindah perabot ke sana dan ke sini. Tiada orang di sana untuk menolong saya menekan butang rakaman atau main, tiada orang di sana untuk membincangkan bagaimana menyelesaikan sesuatu dengan lebih cekap, tiada orang di sana untuk menghalangkan saya daripada membuat keputusan yang meragukan. Walau bagaimanapun, kekecewaan ini sebenarnya menjanakan sesuatu yang saya rasa perlu untuk karya tersebut – rasa kesepian yang kemudiannya boleh mendorongkan rasa ketidakupayaan.

Selain daripada improvisasi yang telah memangkinkan penghasilan saya, manipulasi ke atas pergerakan harian adalah nadi saya dalam penghasilan karya tari. Untuk mensimulasikan pencarian perhubungan antara manusia, saya bermula dengan isyarat tangan melambai, yang kemudian diolahkan menjadi satu siri pergerakan lengan. Salah satu tugas yang paling mencabar dalam pengkaryaan ini adalah menginterpretasikan kesepian. Walaupun kesepian adalah satu emosi manusia yang universal, ia sememangnya kompleks dan unik bagi setiap individu. Saya membawa imej-imej yang saya ingat daripada dokumentari itu seboleh-bolehnya untuk mengingatkan diri saya akan ketakutan atau kemusnahan yang boleh menyebabkan seseorang itu berputus asa untuk berkomunikasi, atau masih bertahan menaruh harapan kepada penyelamatan tetapi tiada yang mendengar. Sesetengah pergerakan diulangi, dengan motif lengan dan torso dilemparkan ke ruang – kadang-kadang menjangkau, kadang-kadang menguncup – seterusnya membentukkan generalisasi saya terhadap kesan kesepian.

Video saya akhirnya menjadi satu kolaj daripada pelbagai segmen tari tersebut. Kaedah ini dilakukan untuk memaparkan lintasan kembali fikiran seseorang. Penayangan semula kolaj dengan pelbagai sudut rakaman juga bertujuan untuk mewujudkan satu pengalaman renungan daripada luar jasab badan. Video tersebut diiringi dengan white noise dan muzik. Muzik memainkan peranan yang sangat penting – bukan sahaja untuk peralihan adegan – tetapi juga mempelbagaikan lapisan makna dalam video dengan nuansa ketidaktentuan. Banyak perubahan telah dilakukan di dalam kedua-dua cara rakaman video dan persembahan koreografi, terutamanya ekoran daripada perbincangan mingguan dengan pensyarah dan rakan sebaya saya. Namun, saya menegaskan pelaksanaan ke atas satu bahagian yang seharusnya diam sepenuhnya untuk seketika. Walaupun itu mungkin klise, tetapi ia adalah bersesuaian dengan rasa kesepian yang saya carikan.

Karya ini pada mulanya merupakan satu percubaan untuk meneliti kesepian secara umum. Namun, proses koreografi yang bersendirian sepi di rumah ini turut membantu saya menangkap kekecewaan yang disebabkan oleh situasi Covid.

Tan Bee Hung merupakan seorang penggiat seni tari tempatan.  Lebih

Untuk menghubungi penulis:
bhung1128@gmail.com

Foto utama: Gambar pegun daripada “Remains of Loneliness” (2020). © Tan Bee Hung

Skip to content