Menatap ke dalam “The Dialogue”

Diinspirasi oleh satu karya tari, sebuah puisi dan sebuah lagu, pensyarah tari Leng Poh Gee menguraikan pertuturan bahasa verbal dan bahasa isyarat ke dalam bentuk gerak, peralatan dan kostum.

 

Saya berasa bersyukur dan cemas apabila menerima jemputan daripada Dr Premalatha Thiagarajan, Ketua Jabatan Tari Universiti Malaya, dijadikan sebagai salah seorang koreografer di UMa1Ensembel tari kontemporari yang dinaungi oleh Jabatan Tari, Universiti Malaya Dance Showcase 2018. Dengan mempertimbangkan keadaan penjagaan bayi saya yang baru lahir dan lokasi kediaman saya yang tinggal jauh di luar bandar, saya meminta supaya hanya boleh menghasilkan satu kreasi solo selama empat minit dan bukan sebuah koreografi kumpulan yang berlangsung minimum tujuh minit. Dr Premalatha yang murah hati telah membenarkan saya bekerjasama dengan Yap Chiw Yi, salah seorang penari yang diingini di kalangan pelajar tari. Pada masa yang sama, Chiw Yi juga terlibat dalam persembahan karya duet Wong Jyh Shyong, dan merupakan seorang pelajar akhir tahun yang sedang sibuk menghasilkan produksi koreografi pengijazahannya. Kami memiliki kurang daripada sepuluh sesi latihan sebelum persembahan, dengan 1.5 hingga 2 jam bagi setiap sesi.

Semasa mencari-cari inspirasi untuk kreasi tersebut, saya teringat sebuah kreasi duet, But You Didn’t, hasil karya daripada Jack Kek yang telah dipersembahkan pada UMa Dance Showcase yang lepas. Duet tersebut menerokai bagaimana sepasang suami isteri berkomunikasi antara satu sama lain dengan penari lelaki memainkan peranan suami yang telah meninggal dunia. Saya kagum dengan beberapa babak, seperti para penari berlari dengan bersungguh-sungguh tetapi masih terperangkap di tempat yang sama; bagaimana penari perempuan itu meluncur daripada bahu penari lelaki dan kemudian ditahan oleh penari lelaki; bagaimana penari perempuan diangkat, dibawa dan diterbalikkan oleh lelaki, tanpa atau dengan pandangan yang minimum – kedua-duanya tidak patut memandang sesama sendiri kerana penari lelaki merupakan satu roh. Kreasi tersebut melakukan lawak jenaka di sana sini, namun masih menghasilkan perasaan dan keadaan perkabungan.

Duet ini berdasarkan puisi ‘But You Didn’t’ yang dihasilkan oleh Merrill Glass, di mana pengarang mengenang kembali bahawa kekasihnya tidak pernah tegur atau marah ke atas kekurangannya. Namun, pengarang tidak dapat lagi berkesempatan untuk meluahkan penghargaan kepada beliau kerana beliau tidak pernah kembali dari Vietnam. Puisi itu mempunyai beberapa tafsiran yang mendalam – ia membantu pengarang melepaskan kesedihan dan kerinduan; ia berbentuk sejenis pengucapan penghargaan; atau ia memperingatkan kita bahawa kita harus meluahkan kasih sayang kepada orang yang kita sayangi sementara kita masih boleh.

Saya sentiasa ingin menggambarkan satu komunikasi imaginasi di antara individu yang hidup dan roh yang telah meninggal dunia. Diinspirasikan oleh kreasi duet Jack dan puisi Merrill, saya mula merangkakan “The Dialogue”, dimotivasikan oleh beberapa soalan utama: Bagaimana imej seorang balu dan roh boleh muncul pada masa yang sama? Bagaimanakah persembahan solo boleh menggambarkan satu perbualan ritual dengan menggunakan elemen teater yang berbeza?

Saya memilih sebuah lagu popular Cina yang dinyanyikan oleh Eason Chan dan Faye Wong, Yin Wei Ai Qing (Kerana Cinta), untuk membangkitkan suasana romantik melalui bisikan antara sepasang kekasih. Yin Wei Ai Qing sebagai sebuah lagu popular, terdiri daripada struktur rangkap verse – korus yang berulangan, serta diisi dengan lirik yang senang diingati. Lirik sentiasa memainkan peranan penting dalam kreasi tari kontemporari saya. Lirik lagu ini tidak menggunakan istilah bombastik untuk memaparkan kesayangan sepasang kekasih secara berlebihan. Namun, ia menggambarkan kasih sayang secara sederhana yang biasanya diamalkan di dalam masyarakat kita, seperti yang diulang-ulangkan, “Sesekali saya boleh terlupa bahawa saya masih mencintai anda.”

Saya berfikir gerak isyarat memainkan peranan yang sangat penting dalam ritual berkomunikasi dengan dunia roh. Oleh itu, saya memilih bahasa isyarat sebagai sumber inspirasi untuk memulakan penerokaan pergerakan. Dalam kreasi ini, saya meneroka sebutan aksara Cina. Banyak aksara Cina berkongsi sebutan yang sama dengan nada yang sama. Sebagai contoh, aksara Cina 以 “yi”, yang bermaksud dengan itu atau oleh itu, berkongsi sebutan yang sama dengan 已, yang bermaksud sudah selesai atau berhenti; dan juga 椅, yang bermaksud kerusi atau tempat duduk. Untuk membayangkan sebutan “yi”, bahasa isyarat untuk makna dengan itu, sudah atau kerusi boleh dipilih dan digantikan sewenang-wenangnya, berdasarkan pengaliran susunan pergerakan. Kami mempunyai pelbagai pilihan gerak untuk satu sebutan, dan proses pemilihan gerak adalah seronok untuk dimain-mainkan, walaupun kita sedang menghasilkan perbendaharaan gerak yang abstrak.   

Selain daripada sebutan, saya juga menggunakan pendekatan kata kerja. Sebagai contoh, 人 “ren” (manusia) digambarkan dengan ibu jari menunjuk ke atas, seperti isyarat ‘like’, dalam bahasa isyarat Taiwan. Apabila tapak tangan melingkar di belakang ibu jari, ini membawa maksud isyarat爱 ‘ai’ (cinta) sebagai kata kerja atau 爱情 ‘ai qing’ (cinta) sebagai kata nama. Selain itu, “ren” (manusia) juga diwakili dalam tarian oleh kedua-dua jari telunjuk dan jari tengah ‘berjalan’ di lengan yang lain untuk menggambarkan lirik “manusia datang dan pergi” (rujuk foto utama). Sesetengah perekaan gerak isyarat di dalam tarian menunjukkan makna yang terus terang daripada aksara atau perkataan, yang bukan berdasarkan keputusan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, 躲避 ‘duo bi’ (menyembunyikan) dipamerkan dengan muka menghadap ke bawah dengan penguncupan badan dan ditutupi dengan lengan sendiri; 模样 ‘mu yang’ (rupa/muka) dipaparkan dengan jari penunjuk mengelilingi muka; 成长 ‘cheng zhang’ (pertumbuhan/pembangunan) digambarkan dengan tangan menguncup dan mengembang secara berulang-ulangan dari lantai bergerak ke arah atas.

Pada tahap awal, saya meminta Chiw Yi menghafal dan menyanyikan lagu itu. Kemudian kami bersama-sama mula memberi reaksi, meneroka dan bermain-main dengan sebutan, imej dan makna aksara atau perkataan tulisan Cina. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan lagu Yin Wei Ai Qing pada sesi latihan ketiga setalah menetapkan konsep koreografi. Namun, saya amat bimbang kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyempurnakan kreasi tersebut. Kami bersetuju untuk bekerjasama secara jarak jauh melalui penghantaran video. Saya meminta beliau untuk menghantar rakaman video kepada melalui YouTube atau WhatsApp setiap kali dia mengadakan sesi latihan sendiri. Saya terkagum, kerana beliau telah menghantar sekurang-kurangnya 25 video latihan sendiri dalam tempoh enam minggu. Melalui komunikasi talian, kami bersama-sama menghaluskan pelaksanaan teknik tari, membangunkan pelbagai gerak isyarat dan pola laluan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Chiw Yi yang sentiasa cuba menyelesaikan tugasan penerokaan eksperimental yang saya arahkan melalui komen dan cadangan lisan. Salah satu cabaran pengkaryaan jarak jauh melalui perkongsian video adalah masalah ralat teknikal yang menyebabkan pelaksanaan pergerakan tidak dapat diselaraskan dengan lirik/muzik. Ini merupakan satu masalah bagi saya yang amat mementingkan ketepatan di antara masa gerak dan lirik.

Saya membahagikan koreografi ini kepada dua segmen, yang dipisahkan oleh perangkai lagu. Pada segmen pertama, penari memakai kostum pakaian seragam anggota tentera. Beliau mula berdoa, meletakkan sejambak bunga di atas lantai, kemudian meminta izin untuk menjalani satu ritual. Beliau mempersembahkan gerak-gerak isyarat yang telah diadaptasikan dan berpadanan dengan pengungkapan lirik. Pergerakan pada segmen pertama ini adalah berorientasikan ke arah ruang peribadinya. Pengkhususan gender telah dilakukan melalui manipulasi arah – penari menghadap ke arah kanan pentas apabila wanita bernyanyi, dan menghadap ke kiri pentas apabila lelaki bernyanyi.

Ketika perangkai lagu, penari mempersembahkan pusingan-pusingan chaînés2Pusingan cepat menjelajah ke kawasan pentas yang lain sambil mengubah dirinya daripada penampilan tentera menjadi seorang wanita yang berpakaian skirt panjang, satu transisi simbolik yang menunjukkan integrasi semula dirinya ke dunia realiti dari dunia roh. Beliau kembali ke duniawi dengan identiti sebenarnya setelah berdialog, melepaskan rindu dan mendapat galakan daripada roh kekasihnya. Dalam segmen kedua ini, beliau bergerak secara ekspresif semasa wanita bernyanyi, dan berhenti atau bergerak secara minimum apabila lelaki menyanyi. Teknik tari seperti jeté3Pergerakan satu kaki yang naik dan kemudian kembali ke kaki sokongan, battement4Lompatan besar bermula daripada satu kaki, dan mendarat dengan kaki yang lain dan pergerakan lantai telah dimanipulasikan. Pada akhir kreasi tersebut, penari memungut kembali bunga-bunga dan berlari ke arah siklorama. Dia memegang bunga dan melepaskan tangannya secara perlahan-lahan. Bunga itu digantung di udara untuk seketika, sebelum ia ditiup oleh penari dan terbang ke langit – satu saat terakhir yang mengingatkannya bahawa beliau akan sentiasa diberkati oleh mendiang kekasihnya.

Aksi-aksi helah ilusi seperti pakaian kostum yang cepat berubah, serta penggantungan dan penerbangan bunga adalah sangat baharu kepada saya, tetapi telah berhasil dalam mengejutkan penonton. Manipulasi helah ini memerlukan pelaburan sejumlah masa dan wang untuk penyelidikan, serta pembelian bahan material. Pelbagai percubaan mekanisme yang berbeza telah dikaji dan diuji secara berulang-ulang. Kaedah manipulasi masih diperbaiki pada sesi-sesi raptai terakhir. Tan Shioa Por, isteri saya, merupakan pereka kostum yang menghasil, menguji dan menghaluskan manipulasi pakaian cepat berubah. Chew Yee Hsuen, Ng Wen Shin dan Moch Jack Zhong menjayakan kesan ilusi penggantungan dan penerbangan bunga, yang memerlukan kerja penyelarasan yang sangat berhati-hati.

Saya menerima banyak maklum balas positif daripada penonton. Ada yang merasakan bahawa kreasi itu adalah mengharukan; ada yang berpendapat bahawa gabungan antara helah ilusi dan tari solo itu mendatangkan kesan yang baik; ada yang mencadangkan bahawa saya sepatutnya menggunakan bunga mawar untuk menggantikan bunga peony; dan ada yang mencabarkan saya supaya menggunakan banyak lagi helah. Saya berasa bersyukur untuk menerima komen-komen yang bernas dan membantu dalam pembangunan kemahiran dan perspektif koreografi saya.

Secara peribadi, “The Dialogue” memulihkan sesuatu dalam diri saya yang telah lama hilang. Saya berasa sangat seronok kerana berpeluang bekerjasama dengan isteri saya pada lewat malam selepas kami mendodoikan anak-anak kami tidur. Beliau melakukan rekaan dan jahitan kostum, sementara saya mengusahakan mekanisme helah bunga. Kami bekerja, berbincang, berdebat dan bergosip pada masa yang sama. Kedua-dua kami telah lama tidak bekerjasama seperti ini untuk satu produksi yang sama pada tengah malam, sejak kami mempunyai anak. Sepanjang proses ini, saya menyedar dan menyesal bahawa “Sesekali saya boleh terlupa bahawa saya masih mencintai anda.”

 

 

Leng Poh Gee merupakan pensyarah tari di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Lebih

Untuk menghubungi penulis:

 

 

Foto utama: Yap Chiw Yi dalam pakaian seragam tentera, menggerakkan lirik lagu “manusia datang dan pergi”, di Experimental Theatre, Universiti Malaya, 3 Mei 2018. © Jacky Yap Chun Kee

 

Skip to content