Bagaimana Mengalihkan Kedudukan Badan Anda untuk Terus Hidup

Semasa dalam proses pengkaryaan, pencipta tari Australia Ashley Dyer mencerminkan percubaan-percubaan menghasilkan SK!N, sebuah produksi yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia, tanpa mengorbankan integriti, kerumitan dan suara-suara daripada manusia yang berada di dalam isu tersebut.

Artikel ini telah ditulis pada bulan Julai 2015 dan diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris. Persembahan pratonton SK!N diadakan pada 30 Ogos 2015 di George Town Festival di Pulau Pinang, dan persembahan perdananya dilangsungkan pada 9 Ogos 2016 di Art Printing Works di Kuala Lumpur.

 

Seorang gadis Rohingya yang hampir dewasa duduk di hadapan kami di dalam ruang penginapan sementaranya, sambil mengisahkan kerinduannya terhadap tanah air yang dia terpaksa melarikan diri. Dia bersikap dingin dan tidak berminat, sambil mengedarkan potret-potret gambar ahli-ahli keluarganya di kalangan kami. Imej-imej gambar yang bercerai-berai, telah disuntingkan ke dalam bentuk grafik seakan syurga Konica yang berwarna-warni, imej-imej ini adalah satu-satunya objek yang dia pegang sepanjang perjalanannya yang dahsyat dari Myanmar ke Malaysia. Secara mudah, dia tidak memiliki sebarang kewarganegaraan. Melarikan diri dari penganiayaan pada umur 16 tahun, dia menjadi mangsa penyeludupan manusia. Mereka memenjarakannya selama sembilan bulan. Dia dirogol berulang kali. Dia dihamilkan. Dia diketepikan. Kini dia telah dibebaskan, namun masih dianggap sebagai pendatang asing yang “haram” di Malaysia. Walaupun dia memiliki kad UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees), dia masih menghadapi kemungkinan yang besar untuk ditahan atau diusir. Di Malaysia, dia tidak mempunyai hak undang-undang yang sah sebagai seorang pelarian dan pencari suaka. Dia hidup di dalam kekeliruan dan ketakutan yang berterusan.

Duduk di atas lantai, dia menawarkan kami potongan-potongan tembikai dan tin-tin minuman Red Bull yang sejuk. Saya canggung bertanya soalan-soalan yang pendek dan mudah mengenai perasaan, pemikiran dan sikapnya. Bahasa Inggeris diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu,  dan Bahasa Melayu kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Burma. Dengan adanya perubahan perkataan di sini, atau perubahan perkataan di sana, penterjemahan mendatangkan kesan-kesan sihir yang sukar membezakan siapa yang sebenarnya menjawab soalan, malah apa soalan pada asalnya.

Saya tiba di Malaysia pada Mei tahun ini, hanya beberapa minggu sebelum penemuan kawasan perkuburan beramai-ramai yang berhampiran sempadan Thai; sebelum penyeludup manusia telah meninggalkan lebih kurang 8000 pelarian, serta pencari suaka dan pelarian ekonomi terkandas di laut, dibiarkan mati, di kawasan luar pantai Malaysia. Saya tiba di Malaysia dengan persoalan bagaimana seni dan persembahan mungkin boleh menyumbang kepada masalah yang berterusan dan lama ini, yang kini semakin bertambah teruk sehingga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Dari segi sejarah, kisah-kisah derita seperti ini telah disebarkan dengan luas lazimnya melalui produksi teater, dokumentari filem, penerbitan penulisan fiksyen dan bukan fiksyen; atau menggunakan perantaraan  yang mementingkan kaedah penceritaan. Saya hadir ke sini untuk menghasilkan satu karya tari. Apakah kemungkinan satu badan yang menari boleh bersuara tentang perkara-perkara ini? Bagaimanakah satu badan yang menari dapat mengelakkan diri daripada pengurangan idea yang kompleks demi menggambarkan representasi yang klise? Apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan melalui perantaraan tari?

Kira-kira 12 bulan dahulu, artis Malaysia TerryandtheCuz menjemput saya dengan idea yang berani untuk menghasilkan satu persembanan tari/instalasi di dalam satu kontena perkapalan demi menawarkan golongan penonton satu pengalaman yang hampir sama dengan mangsa-mangsa yang diperdagangkan. Kami sedang berada di dalam proses penghasilan karya tersebut; satu karya yang mengutamakan sifat-sifat intuitif lebih daripada intelektual, serta cuba mendapatkan tindak balas perasaan empati yang nyata terhadap situasi yang kejam tersebut; satu hasil karya yang tidak memudahkan isu-isu yang sukar, tetapi sebaliknya menawarkan perspektif alternatif.

Dalam peringkat pertama pembangunan  projek ini, kami bekerja rapat dengan beberapa NGO tempatan yang membantu kami untuk mendapatkan akses kepada pendatang-pendatang yang diperdagangkan semasa perjalanan mereka ke Malaysia. Pendatang-pendatang ini datang dari Kemboja, Bangladesh, Myanmar, Filipina dan Indonesia. Kami berjumpa dengan pendatang-pendatang dari kedua-dua zon yang dikenali sebagai zon hijau dan zon oren (bukan dari zon merah) yang pernah, atau masih, dalam genggaman sebagai buruh paksa dan hamba. Kami bertanya pelbagai soalan. Kami mendengar dengan teliti. Kami mencatat nota.

Kami meminta butiran fakta. Dari manakah kamu datang? Adakah anda berpindah melalui laluan laut, udara atau darat? Berapa harganya? Kami bertanya tentang pemikiran peribadi atau perasaan mereka. Apakah yang anda rindu? Apakah pegangan anda? Apakah itu kemanusiaan? Kami meminta mereka untuk mengisahkan ritual harian biasa mereka yang dijalankan semasa perjalanan, semasa dipenjarakan atau dalam tahanan. Kami meminta mereka supaya menunjukkan kepada kami secara fizikal bagaimana mereka mengalihkan kedudukan badan mereka untuk makan, tidur dan terus hidup. Kami turut meminta mereka memberi balas dalam bentuk yang bersifat kepuisian; kami turut meminta mereka cuba menghasilkan pergerakan-pergerakan isyarat yang boleh mengekspresikan pengalaman, perasaan dan sikap mereka terhadap penyeludupan manusia, hak-hak asasi dan maruah manusia.

Kami mengusahakan pencarian ini dengan perasaan yang penuh dengan ketidakpastian tentang bagaimana dan kandungan apa yang mungkin terbaik untuk dipersembahkan. Selalunya produksi sebegini mendatangkan impak emosi dan tekanan terhadap mangsa, kerana para pemain/penari, mempersembahkan kisah mereka dalam bentuk yang melibatkan pelbagai tahap ciri-ciri kepuisian dan abstraksi di hadapan penonton. Namun, kewajaran pementasan produksi ini masih diragui, memandangkan keadaan berbahaya dan masih berterusan yang dialami ramai individu yang telah kami hadapi. Keraguan ini menimbulkan pelbagai persoalan yang penting untuk pengkaryaan produksi tersebut. Sebagai warga kelas pertengahan di Australia dan Malaysia, apakah cerita yang kami berhak atau berautoriti untuk mengisahkan?

Melalui kritikan kendiri, bagi kami, pengkaryaan ini seumpama bagaimana kami, sebagai artis dan penonton, menjauhkan diri daripada tanggungjawab untuk sejagat manusia, seperti penyeludupan manusia. Produksi ini diharapkan akan menimbulkan persoalan tentang had belas kasihan kita untuk orang lain. Ini merupakan cerita yang boleh kita sebarkan. Inilah satu cerita yang patut kita kisahkan dan kita memiliki agensi untuk menyebarkannya. Dalam peringkat kedua proses pengkaryaan, kami berniat untuk menggunakan mereka yang terlibat sebagai pakar penasihat untuk persembahan. Mereka dijemput hadir ke latihan raptai kami untuk memberi komen, membolehkan penjanaan material, dan menawarkan pandangan dari semua aspek sepanjang perkembangan pengkaryaan.

Kini, saya sedang berkarya di dalam sebuah studio tari yang dikelilingi dengan persekitaran yang indah yang ditaja oleh Rimbun Dahan. Saya sedang bekerjasama dengan tiga bakat tari warga Malaysia yang paling menarik dan menggalakkan – Suhaili Micheline, JS Wong, dan Lee Ren Xin. Mereka dipilih berdasarkan kebolehan mereka sebagai penari dan pencipta. Kami telah cuba untuk mewujudkan satu konteks di mana tanggungjawab pengkaryaan kreasi tari itu dikongsi bersama. Produksi ini tiada satu koreografer.

Penghasilan kreasi tari bermula dengan percubaan untuk mewujudkan satu siri tata-gerak yang berlainan atau asas prinsip untuk tarian kami. Kami kurang fokus kepada penjanaan perbendaharaan gerak yang konkrit, tetapi lebih berminat untuk membangunkan kaedah-kaedah yang terbaik untuk menjanakan material. Kami melakukan semua ini dengan idea yang mendalam tetapi mudah berlandaskan kesedaran kami, iaitu proses yang digunakan untuk menghasilkan karya dijadikan hasil karya. Setiap lakaran berus untuk draf lukisan boleh dilihat dalam hasil akhir. Tugasan-tugasan yang kami laksanakan untuk pengkaryaan boleh dikesan dalam hasil akhir. Proses-proses yang lain menjanakan material yang lain.

Kami bekerja dengan menggunakan konsep-konsep mudah yang boleh diterjemahkan ke dalam pergerakan badan; seperti penghijrahan yang paksa dan yang terkawal. Kami memberi tumpuan kepada cerita-cerita dari sudut pandang orang pertama mereka yang terlibat langsung. Kami memperolehi puisi, imej dan emosi yang berkaitan daripada penceritaan mereka dan cuba mewujudkan strategi-strategi dan bahan material tari yang boleh membangkitkan perasaan yang sama di kalangan penonton. Setiap penari mengarahkan aktiviti sesi, mencuba taktik, dan masing-masing memberikan kritikan satu sama lain serta memperluaskan pilihan-pilihan di kalangan kami.

Dalam beberapa minggu yang lepas, kami telah menggunakan beberapa strategi yang kami bangunkan untuk menghasilkan perbendaharaan gerak dan struktur yang khusus. Dalam jangka masa yang terdekat, kami akan menggabungkan material-material ini sepanjang 15 minit sebagai persembahan pratonton berbentuk separa lengkap sempena George Town Festival pada akhir bulan Ogos. Kemudian pada tahun depan, pengkaryaan tersebut akan terus diperkembangkan menjadi karya lengkap yang lebih panjang.

Pada dasarnya, proses kami bukan satu representasi, tetapi sebaliknya satu penterjemahan. Seperti artikel ini yang anda baca sekarang, perkataan-perkataan Bahasa Inggeris saya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Dengan proses perubahan perkataan, makna-makna baru telah dijanakan dan dinyatakan, disebabkan faktor perbezaan yang tidak ketara dan mendalam dari segi penggunaan dan penghubungan bahasa. Penterjemahan itu tiada betul atau salah, tiada baik atau teruk. Sesuatu yang baru telah didedahkan, dan di dalam keganasan ekoran daripada proses pengkaryaan ini, ada perkara yang telah disembunyikan atau dilupakan. Kami berharap bahawa perlakuan penterjemahan kami daripada penyeludupan manusia ke dalam bentuk tari, melalui karya ini, ia boleh mencapai sesuatu di luar kemungkinan kebolehan perkataan, dan perkara-perkara yang pastinya telah disembunyikan atau hilang boleh bersuara semula dengan perasan yang puas hati dan sesuai dalam medium yang lain.

Seni hanya mampu berpengaruh dengan kadar had yang tertentu. Seperti jawapan gadis Rohingya yang disebut tadi apabila ditanyakan tentang apa itu kemanusiaan, “Jika manusia mampu membantu, mereka harus membantu.”

Dalam satu bilik kecil, di sebuah rumah kecil, di suatu lokasi yang tidak diketahui di kawasan utara Malaysia, seorang gadis muda yang cantik, Sally berselang-selang dan berulang kali mengingatkan panduan kami, bahawa apa yang diperlukan oleh suaminya yang baru berkahwin adalah sedikit perlindungan yang ditawarkan oleh kad UNHCR. Dalam pada itu, seorang bayi yang berumur empat bulan telah mencuri perhatian kami, dengan menunjukkan penguasaan barunya untuk menggolekkan badannya dari belakang ke hadapan.

Ashley Dyer merupakan seorang pencipta persembahan, fasilitator bengkel dan produser. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
ash4dust@hotmail.com

Foto utama: Suhaili Micheline [hitam], Ashley Dyer [oren] and Lee Ren Xin [hijau] dalam latihan untuk SK!N di Rimbun Dahan, Kuang, 23 Julai 2015. Foto © Joyce Tay