Koreografer muda Raymond Liew mendedahkan bagaimana pengalamannya menangani kehidupan setelah menimpa kemalangan yang dahsyat, telah mempengaruhi hasil kreasi beliau The Edge dan Cut the Clouds, yang dipersembahkan sempena D’Motion International Dance Festival, DPAC, pada Disember 2014.    

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Bilqis: Beritahu saya tentang kemalangan anda.

Raymond: Pada Julai 2013, saya pulang ke Malaysia [dari Folkwang University of the Arts, Jerman] dan menikmati satu percutian yang sempurna. Saya berjumpa dengan rakan-rakan, mengaturkan persembahan, dan telah melancong ke Pulau Tioman yang berhampiran dengan kampung saya, Mersing. Pada 1 Ogos 2013, apabila rakan-rakan dan saya sedang mendayung kanu kembali ke pantai penginapan kami, sebuah bot laju dipandu pantas menuju ke arah kami, tanpa menyedari arah tujunya. Kami menjerit dan melambaikan dayung, namun mereka tidak dapat mendengar kami disebabkan bunyi enjin yang terlalu kuat. Bot laju itu melanggar dan menghancurkan kanu saya, dan kemudian kami tercampak ke dalam air. Nasib baik penumpang-penumpang bot laju itu sedar apa yang telah berlaku, mereka berhenti dan mengeluarkan kami daripada air – jika tidak, saya tidak akan hidup. Selama lapan jam telah diambil untuk memindahkan saya ke hospital di Johor Bahru. Doktor mengatakan bahawa terdapat tiga luka kerat di bahagian otot punggung kiri saya, yang mungkin dicederakan oleh kipas bot laju itu.

Saya bernasib baik kerana memiliki insurans pelajar dari Folkwang, dan telah pun saya membeli insurans tambahan, untuk mendapatkan rawatan akupunktur untuk kecederaan lutut saya yang sedia ada. Insurans tersebut meliputi semua kos perubatan saya di hospital, dan saya rasa anda tidak perlu membayar perbelanjaan tambahan jika anda berada di hospital lebih dari 28 hari di Jerman. Pihak hospital di Johor Bahru mengatakan saya perlu mengambil masa selama enam bulan untuk berjalan semula. Pada ketika itu, saya berfikir bahawa saya tidak dapat menari lagi. Itu adalah titik terendah dalam kehidupan saya. Kemudian, saya dipindahkan ke sebuah hospital di Singapura, dan mereka mengatakan bahawa saya dapat berjalan semula dalam satu bulan, yang agak terlalu optimis, namun saya mampu berdiri setelah tiga minggu.

Tetapi ia adalah proses yang panjang. Saya melalui lebih kurang 15 pembedahan, sama ada besar atau kecil. Selama lebih kurang sembilan bulan, saya dipakaikan beg kolostomi kerana saya tidak dapat duduk di atas mangkuk tandas. Saya terpaksa belajar menari bersamanya, dan memastikan ia tidak terkeluar semasa dalam kelas. Saya menjalani pemindahan kulit daripada kaki saya, dan juga pemindahan otot daripada belakang untuk punggung saya. Saluran darah daripada kaki yang berlainan turut diambil dan dimasukkan ke dalam punggung untuk menampung pembangunan otot-otot baru. Selama lima bulan, saya masuk dan keluar dari hospital dan pusat-pusat pemulihan.

Saya kini kelihatan baik sepenuhnya. Kadang-kadang saya terlupa saya pernah mengalami kecederaan tersebut – kecuali parut yang ada, anda tidak akan tahupun. Saya tidak mengalami trauma mental. Ini mungkin kerana saya keras kepala. Oleh kerana peristiwa ini berlaku pada tempoh cuti musim panas, saya mampu berurusan dengan pihak universiti supaya tidak perlu melanjutkan pengajian ijazah sarjana. Saya bernasib baik kerana semua itu berjalan dengan lancar dan mudah, dengan mengambil kira reputasi saya sebagai seorang pelajar yang baik, dan telah banyak menyumbang kepada tugasan-tugasan yang tidak mendapat kredit.

Bilqis: Adakah pemulihan itu seperti satu bentuk penyelidikan fizikal?

Raymond: Pemulihan tersebut lebih berkaitan dengan pembelajaran bagaimana menghargai badan anda. Mampu berjalan, atau memegang berus gigi pun adalah sesuatu yang amat menggembirakan diri saya. Menyentuh lantai tanpa memakai sarung kaki – adalah satu sensasi perhubungan di antara kulit dan bumi. Kali pertama saya mampu mandi sendiri selepas beberapa bulan, kali pertama saya dapat duduk semula, dan berjalan keluar dari hospital untuk merasai sinaran matahari. Pengalaman ini telah banyak mengubahkan saya, dan saya rasa pengalaman ini turut banyak mengubah keluarga saya. Anda tahu bahawa orang Asia tidak mudah cium antara satu sama lain. Namun dalam pada ini, abang saya kali pertama mencium saya, di dahi.

Bilqis: Justeru persembahan karya graduan ijazah sarjana anda, The Edge, merupakan satu respons terhadap kemalangan anda. Adakah Cut the Clouds dikreasikan untuk bertentang dengannya?

Raymond: Sebenarnya kedua-dua hasil karya tersebut berkaitan dengan kemalangan saya. The Edge telah dikreasikan dalam tempoh pemulihan, semasa saya masih kerap masuk dan keluar hospital. Ia adalah tempoh masa yang amat menyedihkan – saya mengalami kesakitan dan penderitaan yang amat sangat. Semasa saya menghasilkan kreasi ini, saya tidak dapat menunjukkan pergerakan, dan saya terpaksa belajar untuk menjelaskannya. Ini merupakan kali pertama saya berusaha secara intensif sekali sebagai seorang koreografer.

Saya mengambil imej-imej yang saya jumpai semasa berada di hospital, sebagai sumber inspirasi, terutamanya karya I’ll Be Back oleh Jee Young Lee (satu gambar foto yang sengaja dipentaskan oleh artis Korea tersebut di mana kelihatan satu lengan sedang mencapai ke atas untuk medekati seutas tali gantung berjumbai di tengah-tengah lautan yang berpusar dengan kipas-kipas kertas biru). Ia mengingatkan saya pada saat saya berada di dalam air semasa kemalangan itu. Apabila mereka mengheret saya keluar Dari laut, saya perlu menggunakan kekuatan diri sepenuhnya untuk memegang kuat pada tangan mereka; jika saya tidak memiliki kemampuan otot penari, saya tidak mampu berbuat demikian.

Saya memulakan kreasi ini dengan menggunakan rambut manusia, kerana rambut adalah salah satu bahagian badan kita yang tidak merasa sakit. Para penari perempuan memberitahu saya, apabila rambut bertabur di seluruh muka anda, anda tidak boleh melihat! Saya berfikir, tidak, anda harus mampu melihat. Namun, apabila saya meletakkan rambut mereka ke atas muka diri saya, barulah saya sedar apa yang dimaksudkan oleh mereka. Perasaan seperti berada di belakang tabir yang diperbuat daripada rambut – begitu gelap sekali, dan pemerhatian anda terhadap situasi diri sendiri adalah begitu tegang sekali, dan ia mengubah cara pergerakan tubuh badan anda, serta bagaimana anda bertindak balas. Manakala dengan para penari lelaki, saya bermula dengan frasa-frasa gerak yang menggunakan tangan – kerana pergerakan lengan adalah satu-satunya pergerakan yang saya mampu lakukan. Salah seorang penari menggambarkan kewujudan setan dalaman saya – tidak kira betapa saya cuba berfikiran positif, namun selalu terdapat satu setan kecil dari dalaman yang penuh dengan fikiran negatif, dan kadang-kadang ia seolah-olah menjerit dengan kuat.

Saya juga telah mengambil serangkap frasa kata daripada sebuah lagu Cina lama: “Saya memetik sehelai daun, dan saya meninggalkan daun ini untuk mewakili saya bersama bandar ini.” Penari saya, Chi Ching-Yu, mewakili daun tersebut. Malah perwakilan ini menyebabkan beliau mengalami mimpi ngeri di mana dia berdiri di pinggiran sesuatu, dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam hasil karya tersebut, terdapat satu bahagian di mana semua penari berdiri dalam satu barisan, dan kemudian mereka keluar satu per satu. Pada ketika itu, dia selalu berasa, “Inilah masa saya. Ia akan tiba… tidak lama lagi. Tidak lama lagi.”

Hasil karya ini bukan hanya mengenai cerita saya – ia juga merupakan kisah kelima-lima kami. Kami semua menghadapi sesuatu yang berbeza semasa menghasilkan karya tersebut – hanya pengalaman saya lebih ngeri. Tetapi anda boleh melihat semua emosi kita dalam kreasi tersebut.

Apabila saya memutuskan untuk menghasilkan Cut the Clouds, saya tahu ia akan dipersembahkan bersama The Edge, maka saya tidak mahu kedua-duanya berunsurkan berat dan gelap – walaupun saya biasanya seorang koreografer yang gelap! Memandang keluar daripada tingkap di hospital, saya membayangkan bahawa langit biru sebagai badan saya dan awan sebagai parut. Saya mendengar lagu “Cut the World” oleh Antony dan Johnsons, namun saya rasa idea dunia ini terlalu besar kepada saya, maka saya memilih tajuk Cut the Clouds. Ini adalah kali pertama saya mempunyai tajuk koreografi terdahulu. Biasanya saya berkarya mula daripada pergerakan yang diperkembangkan bersama dengan barisan penari, kemudian berusaha mencari tema, dan akhirnya menetapkan tajuk – proses tersebut telah diterbalikkan. Saya mempunyai idea yang berkaitan dengan pelangi, dan saya ingin mencerminkan warna-warna ini ke dalam pakaian kostum. Dalam pada itu, [komposer Ng Chor] Guan turut mengatakan bahawa awan itu bukan hanya sekadar benda yang putih dan gebu – terdapat juga awan yang gelap – dan begitu juga dengan [artis multimedia] Koo Chia Meng yang memperkenalkan awan gelapnya yang boleh anda tonton di dalam persembahan multimedia.

Bilqis: Bagaimana anda bekerjasama dengan komposer Ng Chor Guan dan artis multimedia Koo Chia Meng semasa menghasilkan Cut the Clouds?

Raymond: Kami hanya mempunyai waktu kerjasama yang singkat untuk kreasi Cut the Clouds, saya memberitahu Chor Guan dan Chia Meng bahawa saya mahu fokus kepada pergerakan badan, dengan iringan muzik dan pancaran multimedia yang hanya memainkan peranan sokongan. Pada mulanya kami berkomunikasi melalui Skype, yang amat sukar disebabkan oleh perbezaan zon masa – tempoh waktu yang hanya boleh kami bersama-sama adalah pada awal pagi atau larut malam untuk saya. Kami bermula dengan pertukaran pengalaman dan latar belakang masing-masing. Saya pernah bekerjasama dengan Guan dalam kreasi The Edge, tetapi ini adalah kali pertama saya berkarya dengan penglibatan multimedia.

Chor Guan, Chia Meng dan saya bekerja secara selari. Banyak percubaan dan kesilapan telah dilakukan dari segi penyusunan ketiga-tiga elemen – gerak, muzik dan videografi – ke dalam bentuk penyelarasan yang lebih bersepadu.

Hasil karya muzik daripada Chor Guan menimbulkan kerumitan kerana karya ciptaannya seolah-olah bersesuaian dengan setiap babak, tetapi apabila semuanya diletakkan bersama-sama, ia tidak kena dan tidak lengkap, dinamik karya tidak terhasil. Saya juga terpaksa mempertimbangkan bagaimana suasana muzik itu mempengaruhi para penari, dan bagaimana penari boleh menyesuaikan diri mereka. Maka kami telah melakukan pelbagai percubaan dengan versi muzik yang berbeza sehingga mencapai satu penyelesaian yang baik.

Saya menghuraikan dengan ayat kepada Chia Meng untuk “melihat” kesan visual, tetapi apabila beliau tiba dan menonton koreografi saya, beliau memutuskan untuk mengubahkan rekaan pancaran multimedia sepenuhnya, disebabkan rekaannya yang terlampau berlebihan. Kini rekaannya lebih halus, dan telah mewujudkan suasana yang menyokong kreasi tersebut, dan bukan menghasilkan “acara multimedia”. Saya memberikan Chia Meng kebebasan yang cukup banyak – saya banyak mempercayainya. Beliau merupakan individu yang mencadangkan bahawa penggambaran video tersebut harus membawa para penonton ke alam awan, dan membawa mereka kembali semula ke realiti secara perlahan-lahan pada akhirnya.

 

Raymond Liew merupakan koreografer yang kini berpengkalan di Essen, Jerman.

Untuk menghubungi Raymond Liew:

 

Bilqis Hijjas menulis, menghasil, mempersembahkan dan mengajar tentang tari kontemporari di Malaysia. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
; kldancewatch.wordpress.com

 

 

Foto utama: [Dari kiri ke kanan] Rachel Chew Zi Xin, Hoi Cheng Sim [depan, membongkok], Kyson Teo Khai Shen, Luiza Braz Batista, Ching-Yu Chi, Hanaa Tan dan Tan Bee Hung yang mempersembahkan Cut the Clouds, Black Box, Damansara Performing Arts Centre, Petaling Jaya, 20 Disember, 2014. Foto © James Quah