Para pendidik tinggi Prof. Joseph Gonzales dan Dr. Hennie Yip menggariskan cabaran dan pelbagai kemungkinan penyelesaian dalam pengajaran tarian dalam talian pada masa krisis global.

Esei Prof. Gonzales dan Dr. Yip pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Pengenalan

Hong Kong mengalami pergolakan yang besar sejak bulan Jun 2019. Pertama, demonstrasi damai yang kemudiannya berkembang menjadi pertembungan ganas yang mengakibatkan gangguan besar-besaran; The Hong Kong Academy for Performing Arts (HKAPA) yang terletak 200 meter dari Majlis Perundangan di tengah-tengah pulau Hong Kong adalah amat dijejaskan. Kemudian pada bulan Februari 2020, virus Covid-19 menjangkiti seluruh dunia.

Satu tindak balas segera daripada institusi pengajian tinggi adalah untuk menangguhkan pengajian. Namun, ini bakal memberi kesan kepada pelajar bakal graduan, menghalang sesetengah mereka daripada menerima kontrak profesional, yang jarang berlaku walaupun pada masa-masa terbaik. Tari merupakan satu program pembelajaran yang berasaskan latihan, dan badan manusia, seperti mana-mana enjin yang terbiar, akan disia-siakan. Pelajar perlu disokong dari segi akademik dan emosi pada masa ini. Sebagai tindak balas terhadap dilema ini, HKAPA segera mengalihkan pengajaran ke bentuk segerak dan tak segerak seperti di Zoom dan Microsoft Teams. Untuk melakukan ini dengan berkesan dan untuk memastikan kualiti pembelajaran pelajar, para pengajar terpaksa membuat keputusan yang tepat dalam penyampaian dalam talian.

Latar belakang

Sifat kursus-kursus tari di institusi pengajian tinggi boleh dibahagikan kepada kursus berasaskan pergerakan dan kursus akademik. Kursus berasaskan pergerakan merangkumi kelas teknik, latihan solo dan ensembel, latihan dan penyelidikan pergerakan serta penerokaan koreografi. Kursus akademik memberikan pengetahuan kontekstual untuk menjalankan penyelidikan, melakukan pembentangan, dan menulis kertas cadangan, yang sering disampaikan melalui kuliah konvensional dengan komponen latihan.

Memandangkan kebanyakan latihan tari adalah berkaitan dengan masa, ruang dan tenaga, bagaimanakah guru-guru boleh menyesuaikan diri dalam penyampaian kelas di ruang yang terbatas dan merentasi dunia maya? Apakah kandungan yang mungkin dapat disampaikan dan bagaimana penyampaiannya? Pandemik ini telah jelas mendedahkan bahawa masih terdapat ramai yang bergelut untuk mencapai akses Internet walaupun terdapat rangkaian hubungan global. Oleh itu, apakah isu-isu pariti dan kesamarataan yang timbul dan bagaimana ia ditangani?

Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian

Friesen (2009) menyatakan bahawa “pembelajaran campuran menunjukkan pelbagai kemungkinan yang boleh dipamerkan melalui gabungan Internet dan media digital dengan bentuk kelas mapan yang memerlukan kehadiran fizikal oleh guru dan pelajar.” Pasukan sokongan pengajaran dan pembelajaran di HKAPA merancangkan satu kursus pembangunan pembelajaran campuran yang profesional untuk meneroka cara ini dengan para pengajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman. Ia terdiri daripada satu siri sesi perjumpaan bersemuka, dan dilengkapi dengan pelbagai aktiviti dalam talian, pengajian persendirian yang bebas dan disokong oleh bimbingan peribadi selama lapan minggu. Fokus campuran aktif ini adalah untuk merancangkan aktiviti-aktiviti relevan dan berkaitan yang menggalakkan para pengajar untuk menerapkan pengalaman mereka, seterusnya merenung dan menilai pengetahuan mereka ke dalam amalan pengajaran mereka sendiri. Selain itu, rangkaian aktiviti tersebut menggunakan CANVAS, satu sistem pengurusan pembelajaran (learning management system, LMS) daripada institusi yang membantu para pengajar memahami bagaimana fungsi dan alat yang berbeza dapat dirancang untuk pelbagai tujuan.  

Untuk kursus-kursus praktikal, esei ini dibahaskan berdasarkan pengalaman beberapa pengajar daripada Fakulti Tari HKAPA – Malgorzata Dzierzon, artis residensi semasa; Irene Lo, pensyarah sambilan merangkap pelajar pascasiswazah; dan Jake Ngo, pensyarah Sains Tari. Dzierzon ditugaskan untuk menghasilkan satu karya baharu dan mengajar kelas teknik balet. Ngo tertumpu kepada pelaziman dan pengukuhan badan sementara Lo fokus kepada Yoga dan balet. Para pensyarah ini menghadapi masalah-masalah teknikal pada peringkat awal dari segi suara dan kejelasan, namun ia dapat diselesaikan dengan cepat oleh sokongan IT melalui penempatan mikrofon dan kamera yang sesuai untuk menangkap dan merakamkan kelas dengan kecekapan yang lebih tinggi. Kedua-dua Ngo dan Lo menyesuaikan kandungan kursus mereka ke platform dalam talian dengan mudah kerana latihan teknik mereka tidak memerlukan banyak ruang – kebolehcekapan teras melalui barre lantai dan latihan tengah (centre practice) dengan pergerakan bukan lokomotor asas termasuk peregangan dan pengukuhan. Dzierzon bermula dengan berkongsi idea awal koreografi dan penyelidikannya. Beliau mengarahkan para pelajar untuk membangunkan respons peribadi mereka terhadap pelbagai tugasan. Ini telah dilengkapi dengan rakaman video, bacaan latar dan bahan tontonan, penyelidikan pergerakannya sendiri, pembentangan karyanya melalui New Movement Collective, mendengar audio siar (podcast) dan mengunjungi pautan-pautan di CANVAS. Kaedah ini adalah ekstensif dan memerlukan komitmen daripada pelajar. Beliau juga mengarahkan tugasan kepada mereka untuk berkarya dengan alatan buatan sendiri serta melibatkan mereka dalam perbincangan.

Reka bentuk kursus adalah berdasarkan model pembelajaran VAK di mana “untuk tujuan memproses maklumat baharu atau mempelajari kemahiran baharu dengan lebih baik, seseorang itu harus mendengarnya, melihatnya atau mencubanya” (Arshavskiy, 2013). Kebanyakan pelajar bertindak balas terhadap salah satu gabungan ketiga-tiga pendekatan ini bergantung kepada sifat kursus. Secara amnya, para pengajar ingin melakukan bilangan kerja yang sama melalui Internet seperti di dalam pengajaran langsung. Walau bagaimanapun, pembelajaran akademik harus dirangka semula dan dibahagikan kepada maklumat yang bersaiz kecil. Ini adalah mengikuti prinsip kemampuan memori manusia pada “tujuh, tambah atau tolak dua” item (Miller, 1956). Kuiz mingguan juga merupakan satu amalan yang baik kerana Arshavskiy (2013) menyatakan bahawa “kuiz memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan pengetahuan mereka dan mengingatkan kembali maklumat daripada pelajaran.”

Zoom adalah ramah pengguna. Selain daripada penyampaian biasa kuliah, fungsi Share Screen membolehkan bahan pengajaran dilihat oleh semua. Para peserta juga boleh dijadikan hos bersama supaya mereka boleh berkongsi karya mereka. Soalan dan komen boleh ditaipkan dalam fungsi Chat. Selanjutnya, para peserta boleh disusunkan ke dalam Breakout Rooms, satu ciri yang disediakan kepada pemegang akaun Zoom berlesen. Saiz bilik-bilik ini adalah fleksibel, dan peserta boleh diarahkan ke setiap bilik sama ada secara rawak atau manual. Pengajar/hos mempunyai kebebasan untuk “mengunjungi” mana-mana bilik pada bila-bila masa. Pada masa yang sama, pengajar berasaskan praktis menggalakkan pelajar untuk memuat naik video latihan mereka ke LMS untuk memperoleh maklum balas. Satu ciri yang terdapat di CANVAS ialah Discussions – pelajar boleh menyiarkan soalan atau maklumat yang relevan daripada kuliah, dan memberi respons secara langsung serta memberi komen mengenai idea-idea rakan sekelas mereka. Ini membolehkan mereka menilai pemikiran rakan sebaya mereka dan memperluas pengalaman mereka.

Perbincangan

Antara cabaran yang paling asas dalam pengajaran dalam talian adalah penyambungan Internet. Walaupun di bandar-bandar dunia pertama yang progresif, terdapat juga kawasan-kawasan di mana liputan rangkaian adalah lemah. Walaupun Veveona Mosibin, seorang pelajar di Universiti Malaysia Sabah, mendapat perhatian kerana berkemah semalaman di atas pokok untuk menyelesaikan tugasannya, para pelajar tidak boleh diharapkan untuk melakukan perkara sebegitu atau duduk berjam-jam di kafé untuk menghadiri kelas! Mengekalkan keaktifan kamera dan mikrofon selama berjam-jam pada setiap hari bukan sahaja menimbulkan masalah kewangan, tetapi juga menyebabkan keletihan dalam talian. Untuk memudahkan keadaan ini, HKAPA adalah antara beberapa universiti yang menawarkan subsidi kepada para pelajar yang layak dalam memperoleh rancangan data Internet. Para pengajar juga telah berfleksibel terhadap tarikh akhir di samping memastikan sejauh mungkin bahawa standard dikekalkan, dan hasil pembelajaran kursus dipenuhi. Tambahan lagi, maklumat kandungan kursus yang disimpan di LMS boleh diperoleh semula mengikut keselesaan pelajar.

Menonton urutan pergerakan dan mendengarkan arahan melalui skrin telefon bimbit yang kecil, atau paling baik melalui komputer riba, adalah susah untuk memperhatikan perinciannya. Berjalan ulang alik ke dan dari kamera dalam satu sesi tidak menunjukkan prinsip pengajaran dan pembelajaran yang baik dan ia adalah meletihkan. Di HKAPA, teknologi canggih seperti Panopto, satu sistem rakaman pergerakan kamera dari pelbagai sudut di dalam satu studio membolehkan pengajar membuat penggambaran dan penyuntingan video dengan ketepatan yang lebih tinggi. Skrin televisyen yang luas dipasang supaya pengajar mempunyai gambaran yang lebih jelas ke atas pelajar-pelajarnya. Membangunkan koreografi adalah sangat mencabar kepada Dzierzon, yang bekerja dengan barisan penari yang tidak pernah jumpa sebelumnya. Menetapkan tugasan secara sabar memerlukan perhatian yang amat fokus daripada kedua-dua pengajar dan pelajar, secara berperingkat, beliau dapat mengembangkan pemahamannya tentang siapa pelajarnya dan kemampuan mereka.

Perkara-perkara kesamarataan, pariti dan privasi mestilah menjadi sebahagian daripada format pengajaran dan pembelajaran. Para pengajar perlu memastikan bahawa persaingan adalah setara dan mereka yang berasal daripada hidup lebih mewah tidak boleh dipentingkan semata-mata kerana mendapat akses yang lebih lancar dari segi teknologi. Institusi dan pengajar juga tidak boleh mengharapkan bahawa semua pelajar sudi membenarkan kamera memasuki rumah dan ruang peribadi mereka. Walaupun Zoom menyediakan latar belakang maya, imej akan dicacatkan jika anda bergerak ke sana dan ke sini. Untuk mengelakkan ini, pengajar perlu membenarkan pelajar mematikan kamera, walaupun ini menimbulkan masalah yang mewujudkan kotak hitam yang kosong, serta mengurangkan respons atau penglibatan. Pelajar perlu yakin bahawa tiada penilaian (judgment) akan dilakukan, dan ruang pembelajaran adalah ruang yang selamat. Pelajar boleh memaklumkan pada awal kelas bahawa mungkin akan adanya gangguan. Tambahan pula, pengukuhan semula dan penghargaan para pelajar merupakan komponen asas dalam psikologi pengajaran.

Kesimpulan

Tahun 2020 telah memperjelaskan bahawa program tari di pengajian tinggi harus mula memasukkan modul dalam talian ke dalam kurikulum mereka sejak dari awal dan bukan sebagai satu pemikiran tambahan. Setiap ahli fakulti baharu harus dilatih mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam talian semasa orientasi kursus reka bentuk mereka. Selain menjadi mahir dalam cara-cara tambahan dalam komunikasi, kemahiran teknikal dan etika dalam talian, para pelajar mesti mengambil bahagian sepenuhnya dalam pembelajaran mereka. Pelajar harus didorong untuk menjadi pelajar yang bertanggungjawab dan berautonomi, yang merupakan kemahiran penting dalam sepanjang hayat terutamanya untuk kerjaya yang sebaik mana pun tidak stabil. Mereka perlu dibimbing untuk membangunkan amalan peribadi dan ketekalan harian yang dapat menabahkan hati mereka sepanjang masa.

Program yang berkaitan dengan pengkaryaan di peringkat pengajian tinggi harus memasukkan cara-cara koreografi baharu sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka. Karya-karya inovatif baharu yang memperlihatkan standard kebijaksanaan yang tinggi seperti Swan Lake oleh Corey Baker dari UK telah dihasilkan pada masa krisis ini. Oleh itu, institusi harus mempergunakan hubungan, rangkaian dan rakan kongsi mereka untuk memulakan kolaborasi secara konsisten, yang pasti akan membuka pelbagai pintu bagi pelajar, graduan dan fakulti. Persembahan tari dalam talian juga telah membangunkan khalayak penonton baharu – mereka akan kekal berada di sini, maka kecelikan digital adalah sangat penting bagi golongan graduan pada abad ke-21.

Tari merupakan satu pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang sangat peribadi dan fizikal. Pembelajaran elektronik atau E-learning tidak dapat dan tidak mungkin menggantikan proses-proses perjumpaan bersemuka, tetapi ia dapat meningkatkan pengalaman. Ini memerlukan anjakan paradigma dalam mempersiapkan masa depan. Ia juga membuka minda bagaimana dan di manakah seni, tari, pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku.

Joseph Gonzales merupakan profesor di The Hong Kong Academy for Performing Arts.  Lebih

Untuk menghubungi penulis:
senitari@gmail.com; josephgonzales.da@hkapa.edu

Dr. Hennie Yip merupakan bekas timbalan ketua Innovation Hub di The Hong Kong Academy for Performing Arts.  Lebih

Untuk menghubungi penulis:
hennie.yip@googlemail.com

Foto utama: Malgorzata Dzierzon, Mei 2020, The Hong Kong Academy for Performing Arts, Hong Kong. © Malgorzata Dzierzon

Rujukan:

Arshavskiy, M. (2017). Instructional Design for ELearning: Essential guide for designing successful elearning courses. Tempat penerbitan tidak dikenal pasti: Your eLearning World.

Baran, E., & Correia, A.-P. (2014). “A Professional Development Framework for Online Teaching.” TechTrends: Linking Research & Practice to Improve Learning, 58(5), 95–101. https://doi.org/10.1007/s11528-014-0791-0

Bates, A. W. (2015). Teaching in a Digital Age: Guidelines for Designing Teaching and Learning (Edisi 2015). Tony Bates Associates Ltd.

Beetham, H., & Sharpe, R. (2007). Rethinking Pedagogy for a Digital Age: Designing and Delivering E-learning. Routledge.

Bonk, C.J. & Graham, C.R. (2006). The Handbook of Blended Learning: Global Perspectives, Local Designs. San Francisco: Jossey‐Bass/Pfeiffer. ms. 5.

Cooper, T., & Scriven, R. (2016). “Communities of inquiry in curriculum approach to online learning: Strengths and limitations in context.” Australasian Journal of Educational Technology. https://doi.org/10.14742/ajet.3026

Czerniewicz, L., Trotter, H. & Haupt, G. “Online teaching in response to student protests and campus shutdowns: academics’ perspectives.” International Journal of Educational Technology in Higher Education 16, 43 (2019). https://doi.org/10.1186/s41239-019-0170-1

Evans, J. C., Yip, H., Chan, K., Armatas, C., & Tse, A. (2020). “Blended learning in higher education: Professional development in a Hong Kong university.” Higher Education Research & Development, 39(4), 643–656. https://doi.org/10.1080/07294360.2019.1685943

Friesen, N. (2009). Re-Thinking E-Learning Research: Foundations, Methods, and Practices. New York: Peter Lang.

Garrison, D. R., & Vaughan, D. N. (2008). Blended Learning in Higher Education: Framework, Principles, and Guidelines (Edisi 1). Jossey-Bass.

Jones, E., & Ryan, M. E. (2014). “The Dancer as Reflective Practitioner.” In M. E. Ryan (Ed.), Teaching Reflective Learning in Higher Education: A Systematic Approach Using Pedagogic Patterns (Edisi 2015, ms. 51). Springer.

Vaughan, N. D., Cleveland-Innes, M., & Garrison, D. R. (2013). Teaching in Blended Learning Environments: Creating and Sustaining Communities of Inquiry. AU Press.

Skip to content