Penari bebas, Lim Pei Ern, menghuraikan pengalamannya sebagai seorang peserta bagi Sasikirana KoreoLAB dan Dance Camp di Bandung.

Karangan ini merupakan laporan daripada Pei Ern sebagai penerima program Geran Kecil MyDance Alliance.

Laporan beliau pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Sasikirana KoreoLAB dan Dance Camp menyediakan satu program dalam bentuk ruang untuk dialog, perbincangan, bengkel, penyelidikan, residensi, kolaborasi, persembahan dan aktiviti-aktiviti lain. Program ini diadakan di Taman Patung NuArt, Bandung, Indonesia, di mana latihan tari adalah tertumpu kepada pengkaryaan pengkhususan tapak. Untuk acara yang berlaku pada Ogos 2016, enam koreografer dan 25 penari telah dipilih sebagai peserta. Mereka datangnya dari 16 bandar di Indonesia dan rantau Asia Tenggara, dari lima negara yang berbeza. Saya terpilih sebagai seorang penari.

Para artis daripada pelbagai disiplin, tanpa mengambil kira sama ada mereka berpengalaman dalam tari atau tidak, datang bersama di kawasan terpencil ini supaya boleh berkomunikasi dan berinteraksi secara rapat. 25 orang penari itu dipecahkan kepada enam koreografer, yang dibimbing oleh mentor antarabangsa dan tempatan: Arco Renz dari Belgium, Fathurrahman bin Said dari Singapura, serta Hartati dan Eko Suprianto dari Indonesia.

Setiap pagi, kami bermula dengan sesi latihan atau kelas yang dikendali oleh salah seorang daripada empat mentor. Arco memberi tumpuan kepada kesedaran tubuh; beliau yang mahir dalam penggunaan pernafasan menjelaskan bagaimana tenaga boleh disalur dan diangkut dari dalaman tubuh ke semua bahagian badan. Beliau mencurahkan pemerhatian yang banyak untuk membimbing kami walaupun melalui tugas yang mudah. Fathurrahman membawa kami ke tapak yang berlainan untuk penerokaan pergerakan. Melangkah ke ruang dan alam persekitaran yang baru memang menyegarkan minda dan badan kami. Masa perkongsian bersama Hartati adalah sangat santai. Beliau memperkenalkan pelbagai kemungkinan pergerakan untuk kerja berpasangan. Akhir sekali, Eko mengarahkan latihan senaman yang paling intensif untuk kami, seperti latihan kardio dan pengukuhan kuasa. Latihannya adalah seperti senaman di gim; beliau mengarahkan kami berlari, melompat-katak ke atas bukit, dan melakukan tekan tubi. Tiada mentor menyediakan latihan teknik tari kontemporari seperti biasanya dibekalkan di dalam institusi pengajian tinggi.

Pada sebelah petang, enam koreografer bekerja dengan penari mereka sendiri di tapak terpilih masing-masing. Pada waktu malam, kami memaparkan apa yang telah kami usahakan kepada mentor-mentor kami. Kami mengakhiri hari dengan refleksi, dialog, komunikasi, perkongsian fikiran dan pendapat. Rutin ini berterusan. Pada hari kesembilan, orang ramai dijemput ke tapak tersebut. 

Saya diletakkan ke dalam kumpulan yang bekerjasama dengan seorang koreografer dari Bali bernama Dek Geh. Setiap koreografer bekerja secara rapat dengan empat mentor, yang membimbingkan proses pengkaryaan kreatif melalui pemberian komen. Setiap koreografer perlu membentangkan hasil karya solo masing-masing kepada mentor sebelum memulakan pengkaryaan mereka dengan penari. Para penari sering menjalankan eksperimen melalui tugasan yang diarahkan oleh koreografer. Kami dijangka menerima tugasan dan melaksanakannya mengikut cara kami sendiri. Tapak kumpulan saya adalah satu cerun yang diiringi dengan pokok-pokok dan rumput di sepanjangnya. Cuaca adalah sesuatu perkara yang perlu dipertimbangkan bagi persembahan pengkhususan tapak di kawasan terbuka.

Saya merasakan saya tidak datang ke Bandung untuk menjadi seorang penari yang pasif, maka saya semakin menjadi aktif, dan mencadangkan pelbagai permainan untuk pemecahan ais. Saya mencadangkan permainan kejar-mengejar sementara menyedari halangan-halangan yang dihadapi semasa dikejar atau mengejar, dan juga menyedari jenis pergerakan yang mendatangkan hasil, bagaimana dan laluan mana yang lebih mudah untuk dijalani, serta cabaran-cabaran lain yang kami hadapi. Sebahagian daripada syarat permainan ini telah saya belajar daripada kelas komposisi sebelum ini, di Lasalle College of the Arts di Singapura.

Setiap artis mempunyai kaedah mereka yang tersendiri dalam pengkaryaan dan latihan. Koreografer saya menggunakan penceritaan sebagai asas untuk pengkaryaan, yang mengingatkan saya tentang filem-filem Bollywood. Bagi saya, saya tidak suka menyekatkan diri sendiri terhadap apa-apa perkara, tetapi membiarkan perasaan ingin tahu saya sepenuhnya untuk eksplorasi yang lebih baik. Saya memanjat pokok, merangkak dan meluncur ke bawah cerun, menggunakan pokok-pokok untuk menghentikan momentum saya, dan saya mendapati bahawa segala ini merupakan bahan yang berguna untuk penyusunan semula bersama selepas itu. Ini juga membantu semasa penstrukturan hasil karya. Saya terasa sedikit kecewa bahawa, dalam pengkaryaan ini, tiada elemen yang berkaitan dengan tari tradisional, atau niat ingin mengontemporarikan tari Bali yang diwariskan oleh koreografer; semuanya adalah berhubung kaitan dengan tapak, ruang, badan, respons dengan set parameter yang diberikan serta seni bina dan reka bentuk tapak tersebut. Pada peringkat akhir pengkaryaan, koreografer memutuskan untuk mengetengahkan idea kegigihan, yang ingin sampai ke puncak cerun walaupun mengalami kejatuhan dan luncuran. Akhir, permainan saya berhasil.

Saya tertarik untuk menyertai program ini disebabkan kepelbagaian peserta, baik dari segi artistik dan asal negara. Untuk peserta masa depan, saya ingin menyarankan bahawa Kem Tari Sasikirana sememangnya menyediakan satu platform yang paling sesuai untuk pelajar-pelajar siswazah atau pasca siswazah dalam bidang seni persembahan, yang ingin menjadi koreografer muda. Sebagai seorang koreografer, anda diberi peluang untuk bekerja dengan erat bersama-sama dengan mentor-mentor yang terlibat, sedangkan sebagai seorang penari anda hanya berpeluang bekerja dengan seorang koreografer sahaja.

Untuk memaksimumkan pengalaman anda di sana, saya mencadangkan supaya anda menyediakan bengkel aktiviti anda sendiri yang boleh dijadikan pertukaran di kalangan rakan sebaya anda, dengan menggunakan waktu di antara sesi. Semasa berada di sana, saya diperkenalkan kepada seorang koreografer yang menyertai acara tersebut, iaitu Aco Ridwan dari Makassar. Kami tetap berhubung setelah acara itu selesai dengan berkongsi idea melalui e-mel, dan dua tahun kemudian kami berkumpul semula untuk bekerjasama mencipta karya “Nyanyian Bumi”. Jadi acara Sasikirana terbukti berguna untuk bertemu dengan pengamal lain di rantau ini.

 

 

Lim Pei Ern merupakan seorang penari bebas antarabangsa. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
pei_3rn@hotmail.com; pei3rn.com

 

 

Foto utama: Para penari di Taman Patung NuArt, Bandung, Ogos 2016.

 

Skip to content