Kami adalah Beg Air: Penghubungan Badan di API2

Penari Jepun Minori Nagai menceritakan pengalamannya di Asia Pasifik 2, satu program pertukaran artis yang dianjurkan oleh MyDance Alliance dan telah berlangsung pada 19-25 Oktober 2015 di Rimbun Dahan.

Esei Minori pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Dari 19 hingga 25 Okt 2015, saya telah menyertai Asia Pacific Impro 2 (API2), satu pertemuan untuk pemain improvisasi tari dan muzik, di pusat seni swasta Rimbun Dahan, Kuang. Dengan menari dan bekerjasama dengan para seniman daripada pelbagai budaya yang berbeza selama seminggu, API2 menyedari saya bahawa improvisasi tari membenarkan kami berkenalan dengan individu lain, dan improvisasi juga membolehkan kami berkomunikasi tanpa mengira pengalaman tari kami yang berbeza.

Semasa menari bersama-sama dalam jem (jam) improvisasi pertama, terdapat individu yang berasa sangat biasa dengan saya pada sesetengah masa, manakala pada masa yang lain terdapat juga individu yang berasa seperti orang asing. Bagaimana saya berhubung dan menari bersama-sama individu-individu ini? Namun, dalam persembahan akhir program ini yang bersifat informal, saya merasai satu perasaan penghubungan telah dicipta daripada pengalaman yang kami lalui bersama-sama selama seminggu, bukan sahaja di dalam sesi percubaan (lab) dan bengkel, tetapi juga dalam perbualan dan pengisian masa kami bersama-sama.

Saya mendapati API2 adalah sangat unik kerana program ini fokus kepada artis Asia. Saya bukan hanya merasai persamaan di kalangan kami, tetapi juga merasai perbezaan antara para artis Asia yang lain. Mungkin perbezaan itu disebabkan oleh faktor etnik atau bangsa; dengan erti kata lain, persekitaran yang berbeza di mana kami dibesarkan. Semasa makan malam, kita berbual mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan gaya hidup, perkahwinan, keluarga, agama, bahasa serta tari. Kesemua perkara ini menyebabkan saya berminat kepada budaya, sejarah dan kehidupan yang berbeza di Asia. Saya mendapati beberapa daripada kami berkongsi kaedah menari yang sama, atau guru tari tradisi Barat yang sama. Oleh demikian, perkongsian di kalangan pengamal seni tari Asian mengenai pembangunan kaedah-kaedah pengkaryaan yang berbeza dan tersendiri adalah sangat menarik.

Dalam sesi lab dan bengkel saya sendiri di API2, tumpuan utama saya adalah untuk mendalami dan memperluaskan idea atau tanggapan tentang badan sebagai air, atau sebagai cecair. Saya juga ingin menerokai hubungan di antara pengalaman pengendalian objek-objek padu yang benar, serta menari dengan imaginasi. Saya berasa bertuah kerana terdapat seorang artis telah menjalankan sesi lab di kolam renang Rimbun Dahan, dan kami juga menari semasa hujan di dalam taman. Oleh itu, saya boleh menghubungkaitkan banyak pengalaman sepanjang minggu itu dengan penyelidikan peribadi saya.

Dalam lab saya, saya bermula dengan memperkenalkan latihan berpasangan untuk membebaskan otot-otot melalui goyangan, goncangan dan ayunan badan, seolah-olah kami sedang menggerakkan satu beg yang penuh dengan air. Kemudian saya memperkenalkan latihan berpasangan yang bertujuan untuk membangunkan tulang belakang. Latihan-latihan somatik ini memerlukan sentuhan daripada rakan pasangan, dan secara beransur-ansur, pergerakan sentuhan ini diperkembangkan menjadi tarian duet, diiringi dengan muzik yang indah yang dimainkan oleh Ichi-go Miura.

Bengkel awam saya yang dilangsungkan pada hari Sabtu adalah bertajuk “Seperti Air di dalam Bekas”. Saya menyediakan satu beg air untuk setiap peserta, kemudian meminta mereka merasa dan menggerakkan beg itu, sambil mengingati bahawa kita manusia adalah sentiasa dipenuhi dengan air dan diselubungi dengan kulit. Selepas beberapa ketika, setiap peserta berkongsi tentang perkara-perkara kegemaran yang telah ditemui daripada proses bermain-main dengan beg air.

Seterusnya kami menerokai fizikal badan dengan rakan-rakan pasangan. Seseorang akan berbaring di atas lantai, manakala seorang lagi akan menyentuh dan menggerakkan badan yang berbaring seperti sedang bermain-main dengan beg air. Saya meminta para peserta supaya boleh menggunakan beg air mereka pada bila-bila masa dengan pelbagai cara yang diingini. Setiap peserta mempunyai idea-idea yang berbeza untuk menggunakan beg; beberapa peserta meletakkan beg di bawah badan mereka seperti katil air, ada pula peserta yang meletakkan beg ke atas badan untuk menambahkan berat badan mereka.

Untuk latihan terakhir, kami menerokai tarian solo berdasarkan pengalaman pelaksanaan tugasan-tugasan sebelum ini. Selepas eksplorasi solo selama 15-20 minit, kami berbincang bersama-sama mengenai perkembangan yang telah kami lakukan untuk tarian solo, serta imej-imej yang telah kami rangsangkan. Perbincangan terbuka ini menimbulkan banyak pemikiran baru dan kesedaran. Kemudian kami menggunakan masa selama 15-20 minit untuk eksplorasi tarian solo semula supaya peserta boleh mencuba eksplorasi solo mereka lanjutan daripada perbincangan.

Ini merupakan kali pertama saya menggunakan beg air yang benar untuk pelaksanaan bengkel. Idea menggunakan objek benar sebagai satu sumber penjanaan pergerakan badan ini datang daripada kaedah latihan Noguchi Taiso. Saya pernah menyertai bengkel kaedah Noguchi Taiso yang diajar oleh Hideo Arai di Jepun; dalam bengkel tersebut, satu perkara yang membuka minda saya adalah bagaimana beliau menggunakan pelbagai objek benar, seperti kain, beg air dan alat permainan, untuk menerangkan kualiti pergerakan. Dengan menyentuh dan memerhatikan objek-objek ini, saya menyedar bahawa saya memperolehi lebih banyak inspirasi dan sensasi, yang kemudiannya boleh diolah ke dalam bentuk imej untuk kreasi tari. Saya ingin mencuba dan berkongsi kaedah pengkaryaan ini.

Dalam bengkel saya, saya turut meluangkan lebih masa untuk perbincangan dan perkongsian tentang idea dan penemuan peserta. Kepentingan perbincangan adalah sesuatu yang saya sedari daripada program API2. Masa yang kami habiskan bersama-sama di dalam studio adalah terhad, namun terdapat banyak perkara yang kami boleh bangunkan pada masa yang akan datang melalui komunikasi secara lisan dan juga melalui tarian. Jika kami boleh mendapat idea-idea baru daripada orang lain, kami boleh memindahkan idea-idea tersebut ke tempat asal masing-masing untuk penerokaan tersendiri.

Minori Nagai merupakan seorang penari yang bertapak di Tokyo. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
minori0627@hotmail.com

Foto utama: Seorang peserta bengkel berinteraksi dengan beg-beg air. Rimbun Dahan, Kuang, 24 Oktober 2015. Foto © Elma Hache

Skip to content