Memori atau Mimpi: Mencipta Sebuah Tari Site-specific

Bersama dua orang penari yang kurang berpengalaman dalam bidang tarian kontemporari, koreografer Nurulakmal Abdul Wahid cuba menghidupkan suasana dari zaman kanak-kanak.

 

“She Simply Disappears” merupakan sebuah karya tari kontemporari yang berkonsepkan site-specific. Karya selama 10 minit ini telah dipersembahkan di Rimbun Dahan bagi program Dancing in Place 2015 pada 31 Januari hingga 1 Februari 2015. Karya ini mengisahkan tentang dua orang adik-beradik atau berkemungkinan rakan karib yang sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Mereka sentiasa bermain, makan, bergembira dan bersuka ria bersama. Semasa mencipta tari ini, saya sebagai koreografer telah mendapatkan ilham daripada tulisan seorang penulis, Barbara Alpert, mengenai hubungan di antara adik-beradik:

Beliau adalah cermin anda, bersinar kembali pada anda dengan sebuah dunia kemungkinan. Dia adalah saksi anda yang melihat anda pada detik yang paling beruk dan yang terbaik, dan tetap menyayangi anda juga. Beliau adalah rakan anda dalam kegiatan jenayah, teman tengah malam anda, seseorang yang tahu apabila anda tersenyum, walaupun dalam keadaan gelap.

Dalam karya ini, kita dapat lihat perubahan suasana dan emosi seperti gembira, suka ria, sedih, konflik dan keseorangan. Kadangkala, akan terjadi pergaduhan atau perpisahan disebabkan oleh kehilangan atau kematian. Emosi sebegini pernah dialami oleh setiap individu. Memori atau mimpi yang diserapkan dalam karya ini boleh dikatakan 60 peratus daripada saya sendiri dan 40 peratus lagi diadaptasi dan diinterpretasi oleh penari-penari saya.

Dalam karya ini, saya ingin menceritakan tentang hubungan dua orang kakak saya yang pada mulanya sangat rapat dan tiada siapa boleh memisahkan mereka. Tetapi, setelah wujudnya kehadiran orang lain dalam kehidupan mereka, dan dengan adanya hasil hasutan, timbul keraguan dan konflik yang lalu menyebabkan perhubungan itu retak. Perhubungan antara mereka masih terjalin tetapi sekarang terselit dengan keraguan dan masih lagi regang.

Saya telah memilih kawasan bawah rumah tradisional Melayu yang terletak di Rimbun Dahan yang diberi nama Rumah Uda Manap untuk menghasilkan koreografi karya ini. Ruang ini mengingatkan saya kepada rumah peninggalan datuk saya di kampung. Struktur dan bentuk Rumah Uda Manap sama seperti rumah pusaka di mana di situlah tempat kedua-dua kakak saya bermain.

Tiada Pengalaman dalam Tari Kontemporari

Penari-penari di dalam karya ini, Siti Noorliyanti Binti Ramli (Yanti) dan Nor Hidayah Binti Hayon (Yaya), merupakan pelajar tahun satu dan dua bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kedua-dua mereka juga merupakan penari tarian tradisional dan tidak pernah didedahkan dengan tari kontemporari.

Yanti, seorang pelajar tahun dua, semester empat, pernah mempelajari gerak asas teknik tari balet dan tari kontemporari. Kelebihan Yanti terletak pada kelenturan dan kekuatan fizikalnya. Yanti agak lambat dalam penerimaan dan penghafalan gerak tetapi dia berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Yaya pula, seorang pelajar tahun satu, semester dua, mempelajari gerak asas tari dan teknik balet. Pada mulanya, saya agak risau tentang pemilihan Yaya, kerana kemampuan dan persediaan tubuhnya belum cukup dari segi kecergasan fizikal dan kelenturan. Tetapi, setelah mengenali Yaya dengan lebih dekat, dia seorang yang gigih dan mempunyai keyakinan dan semangat untuk mempelajari sesuatu.

Selain itu, saya juga risau dengan kesefahaman antara Yanti dan Yaya kerana mereka dari kelompok yang berbeza. Tetapi dari hari ketiga semasa proses improvisasi dan eksplorasi, kerisauan tersebut tidak difikirkan lagi. Kedua-dua mereka memberi kerjasama yang sangat baik. Mereka juga menganggap proses ini sebagai peluang pembelajaran tambahan untuk memperbaiki kemampuan dan kekuatan mereka dalam teknik tari kontemporari. Hari demi hari, kedua-dua mereka memberi perkembangan yang sangat baik dan mendapat kesefahaman dan sensitiviti antara satu sama lain.

Improvisasi, Eksplorasi dan Koreografi: Dari Studio ke Tapak Persembahan

Sebelum memulakan latihan pada hari pertama, saya telah menceritakan isi kandungan yang akan diserapkan dalam karya ini kepada Yanti dan Yaya. Saya mahu mereka betul-betul memahami apa yang saya hendak sampaikan melalui karya ini. Proses koreografi bagi karya ini bermula di dalam studio. Pada mulanya agak gentar dan risau kerana kedua-dua orang penari ini tiada pengalaman dalam tari kontemporari. Tetapi proses pada minggu pertama sangat baik kerana kedua-dua mereka memberi kerjasama dan niat ingin belajar.

Dalam minggu pertama dan kedua, saya hanya memberi gerak dan melakukan proses eksplorasi. Proses untuk menghasilkan pergerakan solo bagi setiap penari agak sukar kerana kadangkala apa yang saya beri tidak dilakukan atau diinterpretasikan dengan baik. Oleh sebab itu, terdapat banyak pengulangan motif gerak dalam koreografi ini. Pada minggu seterusnya, saya memulakan proses improvisasi dengan menggunakan prop seperti kerusi dan meja. Saya memberi tugas kepada penari selama 15 minit untuk cuba melakukan eksplorasi tubuh bersama dengan prop. Selepas itu, saya telah menyusun semula dan menambah gerak-gerak yang telah diperoleh tadi. Sewaktu berlatih di studio, jelas kelihatan bahawa penari agak selesa dan tidak menghadapi masalah terutamanya untuk melakukan rutin floorwork. Namun, saya mengesyaki akan timbulnya kesukaran dan mereka akan menghadapi masalah penyesuaian diri apabila mula berlatih di Rumah Uda Manap.

Pada minggu keempat, kami bertolak ke Rimbun Dahan dan mula berlatih selama empat hari di sana. Hari pertama di Rumah Uda Manap, saya memulakan latihan dengan hasil susunan koreografi yang telah dibuat di dalam studio. Beberapa motif gerak dan hasil improvisasi tidak sesuai dan perlu diubah. Saya meneruskan proses improvisasi dan eksplorasi di ruang tersebut dan telah mendapat pelbagai idea dengan menggunakan beberapa batang tiang atau palang yang terdapat di situ. Hasil proses improvisasi yang dihasilkan telah disusun semula dan dikemaskan.

Sebelum memulakan proses improvisasi dan eksplorasi gerak, saya memecahkan ruang tersebut kepada tiga bahagian. Setiap bahagian tersebut mempunyai satu memori atau mimpi yang ingin disampaikan, dipengaruhi oleh keluasan atau kepadatan ruang tersebut. Pada masa yang sama, saya juga memikirkan di manakah kedudukan yang sesuai untuk para penonton melihat setiap bahagian tersebut. Saya merasakan para penonton harus beralih dari satu kedudukan ke kedudukan yang lain untuk mendapat pemandangan yang jelas dan mesej yang cuba disampaikan dalam karya ini. Tetapi semasa persembahan yang dihasilkan, nampaknya para penonton lebih suka duduk di satu tempat sahaja, dan perlu dipujuk oleh bentara persembahan untuk menukar sudut pandangan mereka.

Pengalaman bermalam di Rumah Uda Manap telah mengeratkan dan merapatkan lagi perhubungan antara Yanti dan Yaya. Kesefahaman di antara mereka berkembang dan telah berjaya diserapkan dalam karya tersebut. Tetapi, daripada segi fizikal, mereka telah mengalami masalah kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran terutama lantai simen yang agak kasar, yang menyebabkan banyak kecederaan atau luka-luka kecil setiap kali mereka berlatih. Tetapi mereka tidak berputus asa dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi memperbaiki permasalahan ini. Saya telah memberi nasihat kepada mereka supaya memerhati, memahami dan menghormati alam persekitaran kawasan persembahan. Demikianlah keadaan bertambah baik daripada satu hari ke hari seterusnya.

Baju Kurung Tanpa Kain?

Dalam karya ini, kostum yang dipilih ialah hanya memakai baju kurung tanpa menggunakan kain sarung. Pemilihan kostum dipengaruhi oleh ruang yang dipilih dan juga diinspirasikan daripada memori saya pada zaman kanak-kanak hingga remaja. Pada zaman itu, kebanyakan anak-anak gadis Melayu yang tinggal di kampung akan pergi mengaji selepas pulang sekolah ataupun selepas solat Asar. Semasa pergi mengaji, mereka akan memakai satu set baju kurung, tetapi, setelah balik daripada mengaji, mereka akan membuka kain sarung baju tersebut, dan terus pergi bermain di bawah rumah. Inilah yang dilakukan oleh kakak-kakak saya sendiri.

Setelah memilih kostum ini, saya tidak memikirkan kesan-kesan negatif kerana saya beranggapan tarian ini merupakan sebuah persembahan yang berdasarkan pengalaman. Saya juga dapat merasakan segelintir penonton mempunyai pengalaman yang sama. Saya meminta bantuan nenek saudara untuk menjahit kostum tersebut. Semasa proses penghantaran, beliau bertanyakan, “Kenapa empat meter sahaja? Kenapa buat baju kurung tanpa kain? Haih, tak elok, lah, macam nih! Seksi, lah….” Saya tersenyum dan terpaksa memberi penjelasan yang kukuh dan memberi informasi dan kefahaman tentang apakah itu tari kontemporari. Selepas mendengar penjelasan, beliau faham dan mahu menjahit baju tersebut.

Setelah siapnya baju tersebut, saya bersama kedua-dua penari saya agak terkejut dengan hasil rekaan dan jahitan beliau. Beliau telah mereka baju kurung tersebut berkonsepkan kontemporari di mana jahitan pada leher lebih kecil berbanding dengan saiz asal baju kurung sebenar. Selain itu, beliau besarkan lagi bahagian bawah baju tersebut dengan alasannya senang nanti angkat dan buka kedua-dua belah kaki, sambil berkata, “Kan kamu cakap kontemporari? Nenek buatlah konsep kontemporari!”

Peluang dan Pengalaman Berkarya

Saya berasa bertuah kerana diberi peluang dan dijemput oleh Rimbun Dahan untuk menghasilkan karya dalam program Dancing in Place 2015. Saya berasa bangga dengan pencapaian kedua-dua penari yang telah menjayakan karya ini. Pada masa yang sama, saya juga dapat mengenali dan bergaul dengan koreografer-koreografer luar dan dalam negara.

Akhirnya, ramai penonton memberi sambutan yang positif kepada karya ini, dan segelintir daripada mereka terkejut dengan prestasi kedua-dua penari ini yang dikatakan tiada pengalaman dalam tari kontemporari. Joelle Jacinto, seorang penulis tari dan juga seorang penari di dalam program Dancing in Place tersebut, berkata di dalam artikel beliau, “Tepukan diberi kepada koreografi bijak daripada Nurul, yang menonjolkan kekuatan penarinya yang sangat muda.”

Dalam proses penghasilan karya ini, saya telah mendapat ilmu serta menambah pengalaman saya untuk menghasilkan karya kontemporari terutama bagi koreografi jenis site-specific. Tari “She Simply Disappears” ini memang tidak mungkin wujud dengan suasana yang sama di tempat persembahan yang lain. Seperti yang diperhatikan oleh Joelle Jacinto, “Walaupun ia mungkin mudah untuk membekalkan sebuah kerusi dan sebuah meja untuk kedua-dua adik-beradik menari di sekelilingnya – walaupun pesona seorang kakak yang lenyap-lenyap itu tidak wujud sebenarnya, dan hanya merupakan khayalan seorang anak gadis untuk seorang rakan sepermainan, semasa beliau menyapu di bawah rumah – tarikan tarian tersebut akan hilang dan mungkin tidak boleh direplikasi di lokasi yang lain.”

 

Nurulakmal Abdul Wahid merupakan seorang pengajar tari di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
norulle.mora@gmail.com

 


Foto utama:
Nor Hidayah [kiri] dan Siti Noorliyanti  dalam “She Simply Disappears”, Dancing in Place 2015, Rimbun Dahan, Kuang, 31 Januari, 2015. Foto © Marvin M Kho

 

Skip to content