Metamorphosis International Residency 2018

Pada musim panas tahun 2018 di Portugal, penari SueKi Yi mengalami paradigma latihan yang telah mengubahkan cara pemikirannya mengenai tari secara radikal.

Karangan ini merupakan laporan daripada SueKi sebagai penerima program Geran Kecil MyDance Alliance.

Laporan beliau pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Lima minggu boleh kelihatan seperti masa yang lama ataupun sekelip mata sahaja. Lima minggu adalah masa yang cukup bagi seseorang untuk membiasakan dirinya dengan latihan fizikal yang berbeza sekali, mula berasa selesa dengan budaya dan cara kehidupan di satu kota yang asing, dan mengenali barisan penari lain dengan cukup baik seperti anda sudah lama kenal mereka dan pasti akan merindui mereka apabila anda berpisah. Saya mengalami perasaan ini di Lisbon, Portugal, sempena Metamorphosis International Residency 2018 bersama Iratxe Ansa dan Igor Bacovich.

Saya memohon residensi seniman tersebut dengan impulsif dan saya sangat gembira apabila diterima. Saya tahu bahawa perjalanan itu adalah sangat sukar, kerana saya pernah menghadiri bengkel mereka selama dua hari pada bulan April 2018. Pengalaman dua hari itu merupakan pembuka mata saya; saya menyedari bahawa betapa saya telah mengambil jalan mudah dalam keupayaan tari saya, dan masih banyak lagi yang perlu saya kerjakan. Sesuatu yang mudah seperti “lengan anda sedang keluar daripada belakang anda” mungkin anda faham dalam minda, tetapi belum tentunya dalam badan – pemahaman yang benar memerlukan lebih banyak masa.

Terdapat lebih kurang 25 penari-peserta dari 15 buah negara yang berlainan, yang berlangsung dari 6 Ogos hingga 1 September 2018. Sebagai persiapan residensi ini, kami telah menjalani latihan fizikal, urutan pergerakan dan improvisasi selama enam hari seminggu, dari jam 12 tengah hari hingga 4:30 petang sejak 29 Julai Tempoh residensi yang sebenar selama empat minggu seterusnya mempunyai waktu bekerja selama enam hari seminggu, dari jam 12 tengah hari hingga ke 6:30 petang, di mana kami menjalani latihan dan sesi koreografi secara beransur-ansur. Sebahagian besar masa raptai kami digunakan untuk menyempurnakan hasil karya tari penuh yang bakal dipersembahkan pada hari terakhir residensi, di Teatro Fundação Oriente, Museu do Oriente. Akhirnya, kami menghasilkan empat karya: karya berkumpulan yang bertajuk Viagem, para penari dibahagikan kepada dua kumpulan dan masing-masing mempersembahkan sama ada Under/Exposed atau Delirio, dan persembahan duet Second Skin oleh Iratxe dan Igor. Viagem terdiri daripada urutan-urutan pergerakan yang kami latih sepanjang tempoh residensi dan saya terlibat dalam persembahan Delirio, di mana saya diminta untuk menghasilkan sebuah solo untuk salah satu bahagian. Dalam Delirio, kami bekerjasama dengan María Berasarte, seorang artis vokal Basque antarabangsa terkemuka yang suaranya begitu berkumandang sehingga semua orang terkagum dan berhenti seketika daripada pergerakan pada kali pertama beliau hadir ke latihan kami. Beliau mempersembahkan empat lagu di atas pentas, sementara berinteraksi dan bergerak bersama-sama para penari.

Kami mengadakan projek dan persembahan sampingan sepanjang empat minggu. Kami melakukan kolaborasi dengan satu muzium, iaitu Museu Berardo. Dalam minggu pertama, kami telah mengunjungi muzium tersebut yang mempunyai banyak koleksi karya daripada pelbagai zaman dan gerakan seni, di mana karya-karya dipamerkan di ruang “bilik-bilik” secara bersebelahan. Iratxe dan Igor mengarahkan kami supaya setiap penari menduduki di bilik yang tertentu; saya diarahkan berada di bilik Surrealisme. Terdapat banyak karya agung di dalam bilik itu tetapi saya tertarik kepada Le Chavelier de Glace dan Triomphe du Doute yang dihasilkan oleh Victor Brauner, Le Couple oleh Óscar Domínguez, serta La Recontre oleh Jacques Hérold kerana saya berasa bahawa keempat-empat karya itu mempersoalkan idea mengenai dualiti— sama ada menunjukkan dua sisi seseorang individu, atau dua individu yang merupakan sebahagian daripada satu. Kami kemudian diberi masa selama seminggu untuk memutuskan manakah karya seni yang diangkat sebagai inspirasi pengkaryaan solo sendiri setelah menyelidik latar belakang artis dan pendekatan artistik mereka, serta perincian bagi setiap karya seni. Kami seterusnya perlu mengemukakan satu sinopsis pendek mengenai apa yang akan kami terokai. Solo saya adalah berdasarkan kepada karya Le Chevalier de Glace, “Orang yang paling sukar untuk ditangani ialah diri sendiri. Dengan mengenali badan eterik kita, bolehkah kita memahami badan fizikal kita dengan lebih jelas?” Pada 18 dan 25 Ogos 2018, kami telah mempersembahkan solo kami di bilik masing-masing yang mengambil masa satu hingga dua minit setiap satunya, dengan ulangan 20 minit satu pusingan, supaya pengunjung muzium dijadikan penonton kami yang tidak tersangka. Kami juga mempersembahkan petikan-petikan daripada persembahan akhir kami di satu ruang yang terbuka dalam muzium.

Kami juga melakukan persembahan improvisasi di atas tingkat bumbung Reservatório da Mãe d’Água dengan iringan muzik oleh DJ Yen Sung yang berpusat di Lisbon. Bangunan itu adalah “kompleks takungan air abad ke-18 yang berhias, dengan adanya air pancut yang menandakan kedatangan air Lisbon”, dan ia disambungkan kepada sebuah akueduk. Di dalam bangunan itu, terdapat satu platform terapung di tengah-tengah takungan air yang seolah-olah tidak terduga dalamnya, di mana Iratxe, Igor dan Maria melakukan persembahan setelah bahagian improvisasi kami. Untuk menambah gambaran yang mempesonakan, pelbagai karya seni logam dan kain tulle yang dihasilkan oleh David Oliveira, telah digantung atau dipasang di tingkap kaca atau lengkung bangunan untuk membentukkan imej-imej haiwan atau makhluk. Terdapat satu terowong tangga yang curam, sempit dan tersembunyi di dalam bangunan yang boleh menghubungkan kami ke tingkat bumbung besar yang menghadap ke kota. Di sinilah semua penari melakukan improvisasi, dengan Yen dan alat muziknya di tengah-tengah ruang serta dikelilingi oleh penonton, sama ada duduk atau berdiri dekat tepi dinding. Dengan pandangan matahari terbenam yang berwarna merah jambu, ungu dan oren di latar belakang, bersertakan angin kencang dan dingin yang memukul wajah kami sehingga kulit kami terasa sedikit kebas, ia merupakan satu pengalaman yang menyegarkan.

Sepanjang tempoh residensi, kami juga bekerjasama dengan beberapa jurugambar. Jurugambar foto dan video utama kami ialah Johnatan Molina, yang mendokumentasikan keseluruhan proses dan mengarahkan sesi-sesi penggambaran. Pada hari Ahad pertama semasa residensi, beberapa daripada kami telah dipilih untuk mengadakan satu sesi penggambaran di GalanteVasques (yang terletak di bandar Carvoeiro), di mana kumpulan artis P.Art.S berpusat. Salah seorang pereka fesyennya, Fernanda Pereira dari ethiCollective, merupakan jurugaya kami, manakala para jurugambar kami ialah Fernanda, Johnatan, dan Igor. Bangunan yang aneh dan tidak konvensional itu memberi pelbagai inspirasi semasa kami bergerak dan menari di koridor yang sempit, tangga-tangga yang berputar dan bilik-bilik yang menarik. Kami juga mempunyai beberapa jurugambar jemputan seperti Ricardo Amaral dan Luis de Barros yang juga hadir untuk mengambil gambar sama ada semasa latihan atau pada hari cuti kami.

Salah satu pelajaran utama daripada residensi adalah latihan fizikal yang kami lakukan pada setiap awal pagi. Satu siri latihan dan peregangan telah ditetapkan supaya kami boleh menggerakkan setiap bahagian tubuh kita dengan teliti, bukan hanya untuk membangunkan otot sahaja, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran kita. Ia adalah sangat berbeza dengan latihan senaman dan peregangan yang biasa saya lakukan: 60 minit tanpa rehat, sambil berusaha menangani keletihan dan kesakitan. Setiap set latihan mempunyai satu sasaran yang spesifik; selain daripada menggerakkan otot kami, saya mendapati bahawa yang paling memanfaatkan adalah perincian yang terkandung di dalamnya.  Kekuatan atau kelenturan bukanlah untuk digunakan semata-mata, tetapi untuk memupukkan “tabiat sihat”. Sebagai contoh, kebanyakan penari tahu bahawa kita harus “tarik ke atas”, tetapi ia adalah sukar untuk dikekalkan secara aktif. Oleh itu, latihan-latihan yang tertentu boleh menyedarkan kami supaya berusaha “menarik ke atas” atau “melibatkan tenaga pusat” kami. Selepas seketika, saya mula lebih memahami badan saya dan saya dapat merasakan “tabiat sihat” di dalam badan saya, dan ini memudahkan saya untuk lebih memahami perasaan dan tabiat saya ketika menari. Malah peregangan yang kami lakukan adalah “peregangan aktif” atau “rehat aktif” yang membolehkan kami memanjang dan menguatkan otot kita, berbeza dengan peregangan secara santai yang biasa saya lakukan.

Kaedah latihan yang khusus dan terperinci ini melangkaui latihan fizikal. Setiap pergerakan yang kami belajar adalah sangat terperinci sehingga kami masih berusaha menanamkan konsepnya ke dalam fikiran dan badan kami walaupun setelah melatihkan urutan yang sama selama empat minggu. Namun, 1001 perincian inilah yang menyebabkan pergerakan menjadi logik, dan seterusnya membolehkan pelbagai kemungkinan. Ini dapat dikesani apabila pergerakan yang kelihatan mustahil tiba-tiba dapat saya lakukan setelah memahami perincian-perincian itu. “Apabila anda jelas di dalam minda anda, barulah anda boleh jelas dalam badan anda,” adalah sesuatu yang sering diingatkan oleh mereka. Saya masih ingat bahawa pada hari ketiga semasa minggu persediaan, kami diminta untuk menyelidiki pergerakan kami sendiri, dengan latihan urutan pergerakan yang telah kami belajar selama ini. Kami melakukan penelitian selama dua hingga tiga jam, dengan mengulangi urutan pergerakan ini tetapi kali pertama berbuat demikianlah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya kerana latihan ini adalah sangat mencabar, malah hampir menyeksakan, untuk melatih urutan yang sama secara berterusan selama lebih dari dua jam.

Setelah beberapa hari membiasakan diri dengan latihan-latihan khusus, arahan untuk berlatih sendiri menyebabkan saya berasa tersesat, kerana selain daripada urutan dan teknik pergerakan yang ditetapkan, apakah lagi yang saya seharusnya lakukan? Adakah saya melakukannya dengan betul? Apa yang perlu saya usahakan? Namun saya terus berlatih dan cuba mengingatkan semua perincian serta memahami pergerakan dalam badan saya. Yang peliknya, pada 100 kali pertama (atau sekurang-kurang rasanya), saya berasa amat tidak sabar dan bosan untuk mengulangi latihan pergerakan; selepas tempoh ini barulah saya mula benar-benar mempersoalkan pergerakan saya – “Apa sebenarnya yang dilakukan oleh bahu kiri saya pada ketika ini?… Bilakah masa yang tepat untuk memindahkan berat badan saya?… Dari manakah penjanaan permulaan dan momentum pergerakan itu?… Adakah kepala saya atau pergelangan tangan saya yang membawa aksi pusingan itu?” Ini adalah satu pencapaian kerana saya dipaksa memasuki ke dalam satu “ruang” di mana saya harus meneliti dan menyoal kesemuanya.

Memahami melalui penelitian perincian mengubah cara saya merekakan pergerakan. Apabila saya diminta untuk menghasilkan solo, saya tidak lagi hanya menggabungkan pergerakan sahaja, tetapi saya ingin tahu apakah penghubungkaitan pergerakan itu dari satu ke satu yang lain; saya terkejut apabila menyedari betapa banyaknya pilihan yang ada dalam setiap gerakan. Kaedah perekaan pergerakan ini mengambil masa yang lebih lama daripada biasa, tetapi ia menyebabkan saya benar-benar jelas mengenai apa yang sedang lakukan. Igor pernah berkata, “Semuanya adalah satu PILIHAN. Terdapat begitu banyak pilihan: A, B, C, D, E dalam melakukan perkara yang sama. Tiada yang betul atau salah, tetapi ia adalah tanggungjawab anda sebagai seorang artis untuk membuat keputusan dengan kesedaran. Anda melakukan sesuatu kerana anda MEMILIH untuk melakukannya, bukan kerana anda ‘tidak memikirkannya’ atau ‘membiarkannya’.”

Satu lagi kesedaran yang mendalam adalah apabila Iratxe memaklumkan bahawa “cara pergerakan” saya adalah berbeza. Ini mengejutkan saya kerana semua orang melakukan urutan pergerakan yang sama. Hanya apabila saya mula menghasilkan solo, semasa beberapa penari lain bertanya adakah saya menggunakan teknik tari tradisional (yang saya tidak sedari) – mereka berpendapat bahawa pergerakan saya adalah “tidak dijangka” dan bertanya-tanya bagaimana saya boleh pergi dari “sana” ke “sana” secara tiba-tiba, atau salah seorang daripada mereka cuba mempelajari beberapa pergerakan saya dan kemudian mengatakan, “Ini adalah sangat sukar, koordinasi ini adalah sangat rumit” – barulah saya mula sedar bahawa “logik badan” saya memang berbeza. Saya tidak pasti sama ada kejadian ini dipengaruhi oleh latar belakang latihan saya yang merangkumi pelbagai genre tari tradisional, atau itu adalah cara semula jadi pergerakan saya. Saya kemudian tertarik dengan idea “logik badan” ini, di mana setiap badan mempunyai gaya pergerakan dan semula jadi yang logik, mungkin ia adalah satu gabungan antara keperibadian (rasa pergerakan semula jadi) dan pembelajaran (latihan dan pengalaman tarian). Idea ini menyebabkan saya lebih peka terhadap keputusan saya dan membantu saya lebih memahami pergerakan saya.

Metamorphosis International Residency 2018 merupakan satu pengalaman yang mengubah hidup saya. Ia mengubah cara saya berfikir dan bergerak dengan memaksa saya keluar daripada zon keselesaan saya, untuk menyedari bahawa tidak kira betapa banyak yang saya lakukan, saya boleh lakukan dengan lebih banyak lagi. “Tiada jauh yang terlalu jauh, tiada rendah yang terlalu rendah,” seperti yang sering dikatakan oleh mereka. Semua berpemungkinan; selagi anda berusaha mengatasinya, dan seperti yang dikatakan oleh Igor, “Anggaplah ia seperti masalah saintifik. Apa atau manakah masalahnya? Bagaimana anda boleh memperbaikinya? Apa pilihan anda yang lain?” Proses ini adalah tidak mudah, namun ia mendorong saya bertanya kepada diri berulang kali dan mengingatkan tujuan kenapa saya menari.

Barisan peserta-pemain Metamorphosis International Residency, Lisbon, Ogos 2018. © Johnatan Molina

SueKi Yee merupakan seorang penari, koreografer dan pengajar.  Lebih

Anda boleh mengikutinya di Instagram di @suekinotsukie.

Foto utama: SueKi Yee, Museu Berardo, Carvoeiro, August 2020. © Johnatan Molina

Skip to content