Pengalaman saya sebagai Bonda

Kathryn Chew, pelajar Universiti Malaya bertanyakan diri sendiri, “Sebagai seorang remaja yang tidak mempunyai pengalaman dalam persembahan tari kontemporari, bagaimanakah saya memainkan watak wanita hamil yang mengalami keguguran?”

Esei Kathryn pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Para penari yang dipilih oleh Syaffiq terdiri daripada empat pelajar tahun 1 dan seorang pelajar tahun 2 program pengajian Seni Tari UM. Tiada seorang pun daripada kami yang berpengalaman dalam tari Melayu atau dalam tari hip hop, selain daripada Carmen Loh, pelajar tahun 2. Sebahagian besar daripada kami juga tidak pernah melibatkan diri dalam pengkaryaan dan persembahan tari kontemporari. Syaffiq ingin cuba menunjukkan bahawa pelajar baru yang tidak mempunyai pengalaman patut diberikan peluang untuk persembahan. Beliau mengambil risiko yang lebih besar dengan memilih satu tema koreografi yang memerlukan emosi yang sangat berat dan tidak dialami oleh empat remaja.

Pada mulanya, Syaffiq berniat untuk menghasilkan sesuatu karya tari yang berdasarkan tari randai. Namun, tidak banyak motif randai yang kami terokai akhirnya kerana kami kurang faham mengenai sifat ‘berat’ tari Melayu. Walau bagaimanapun, saya berasa Syaffiq adalah bijak untuk memecahkan hasil karyanya kepada tiga bahagian, yang masing-masing boleh memaparkan kekuatan dan keupayaan penari. Dengan menyedari bahawa Yi Juan tidak dapat mempelajari pergerakan dengan mudah, beliau memberikannya satu watak yang berdiri diam dan memukul sarungnya pada permulaan. Carmen adalah sangat sibuk pada masa itu, maka Syaffiq berkarya dengannya secara perseorangan dalam mengembangkan pergerakan locking daripada hip hop untuk melambangkan seorang wanita mengandung yang sedang melahirkan anak. Gwen, Chiw Yi dan saya mempersembahkan bahagian kedua, di mana perekaan pergerakan dihasilkan oleh Syaffiq. Dengan mengambil kira terhadap kekuatan saya dalam mengangkat orang, saya diberi banyak peluang untuk mengangkat Chiw Yi dan Gwen. Itu seolah-olah menjadi ‘kepakaran’ saya; saya juga telah mengangkat penari lain dalam karya Take Me Home, yang dihasilkan oleh Carmen pada awal tahun ini. Di kalangan kami penari yang baru, saya berasa Chiw Yi merupakan penari yang memperolehi rasa yang paling tepat untuk pergerakan kreasi ini. Kelebihan Chiw Yi ini bersama daya kelenturannya telah menyebabkannya memperolehi persembahan solo di hujung bahagian kedua ini.    

Salah satu perkara yang paling mencabar adalah cara pernafasan kami. Saya tahu pernafasan adalah sesuatu yang begitu mudah, tetapi adalah sukar untuk kami melancarkan pernafasan di dalam tarian ini. Dari pengalaman itu, saya belajar mengawal pernafasan saya; ia adalah sangat penting terutamanya dalam aspek keselamatan melaksanakan lompatan yang mendarat dengan sebelah sisi betis. Pengiraan rentak muzik juga amat penting, namun saya belajar untuk tidak terlalu kaku dan dibatasi oleh kiraan. Cabaran terbesar yang saya hadapi – dan kini masih saya hadapi! – adalah mengawal pergerakan saya sementara mengetahui bila masa yang sesuai untuk melepaskan diri dan menjadi santai. Saya berpegang kepada beberapa nasihat daripada Syaffiq: “Kunci untuk mengawal pergerakan adalah dengan mempelajari cara mengawal kekuatan pusat dan otot anda.”

Perkara yang paling mengecewakan dalam tarian ini adalah cuba untuk mengekspresikan perasaan seorang wanita yang telah mengalami keguguran. Ini merupakan satu kekecewaan yang kami kongsi bersama. Syaffiq berkongsi maklumat dan dapatan daripada temuduga yang telah dilakukannya dengan wanita yang berkaitan. Kami turut diberitahu supaya menonton video yang mengenai dengan keguguran serta memerhati wanita hamil. Kaedah ini seolah-olah berhasil bagi sesetengah penari. Pada mulanya, Yi Juan tidak dapat menyampaikan emosi yang kuat sebagai seorang ibu yang menyalahkan diri kerana kehilangan anak. Namun selepas seketika, dan selepas Syaffiq berkongsi dengan kami sebuah puisi yang dikaryakan oleh beliau tentang keibuan, Yi Juan seolah-olah dapat menyedari emosi yang berat.

Walau bagaimanapun, saya berasa pendekatan individu ketiga ini adalah sangat sukar bagi kami untuk memahami watak yang kami cuba pamerkan. Saya tidak mempunyai pengalaman menghamil, lebih-lebih lagi keguguran. Saya tidak mempunyai pengalaman peribadi yang boleh dijadikan rujukan. Saya sering diberi maklum balas bahawa ekspresi dan cara gaya pembawaan saya semasa menari tidak menyerupai wanita hamil atau wanita yang mengalami keguguran. Dalam erti kata lain, ekspresi saya kelihatan palsu. Saya mendengar daripada beberapa senior bahawa terdapat beberapa koreografer pernah mengarahkan penari mereka menjalankan latihan fizikal yang amat menyeksakan untuk membolehkan para penari mencapai keadaan emosi dan ekspresi yang menyerupai dengan perasaan watak dalam persembahan. Kini, selepas setahun dan saya telah berpeluang mempersembahkan beberapa watak yang berlainan dalam produksi yang berbeza (seperti sebagai pengantin, ibu, nenek dan pelukis gila), saya mempercayai bahawa kami sebagai penari harus menghubungkaitkan watak pegangan dengan tahap peribadi kami. Mungkin saya belum menjalankan penyelidikan yang cukup atas watak yang saya mainkan.

Saya juga menyedari bahawa perangsangan emosi sepenuhnya semasa menari tidak boleh dipaksa-paksakan. Saya berasa saya sering berada di tahap emosi yang optimum semasa latihan. Namun, saya tidak dapat mencapai tahap emosi tersebut sebelum persembahan, dan tidak mencapai tahap persembahan yang terbaik. Saya menerima maklum balas seperti, “Emosi anda adalah lebih baik dan lebih ‘asli’ hari ini, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.” Kita tidak boleh memaksa diri berada di dalam zon.

Akibatnya, saya memutuskan untuk menjalani siasatan dan penyelidikan ke atas persembahan peranan watak yang saya pegang pada masa depan. Walaupun peranan saya tidak memiliki naratif perjalanan cerita, saya harus membuat rekaan sendiri. Menari dengan hanya menggunakan pergerakan dan tidak memiliki pemikiran atau emosi adalah sesuatu yang menyebabkan kami menjadi seorang penari yang senang dilupai, berbanding dengan artis yang menguasai aspek perasaan dalam tarian mereka. Saya sedar terhadap kekurangan saya dari pelbagai segi, namun ia tidak menyebabkan saya ditenggelami oleh masa silam dan putus asa, sebaliknya membenarkan pengalaman dan pengajaran ini dijadikan motivasi. Mengimbas kembali sekarang, saya berasa saya mempunyai pemahaman yang lebih mendalam untuk mempersembahkan peranan watak dalam “Bonda”. Sekiranya saya dapat mempersembahkannya semula, saya akan fokus kepada motif pembawaan berat bayi yang berada dalam rahim, walaupun berat (bayi) tersebut adalah bertentangan dengan badan muda saya. Saya mempercayai bahasa gerak-geri adalah apa yang penonton akan memerhati dan mengaitkan dengan penceritaan.

Selepas persembahan “Bonda”, saya menerima beberapa maklum balas bahawa seseorang individu mungkin sepatutnya tidak berhak untuk mengisahkan sesuatu jikalau beliau tidak pernah mengalaminya secara peribadi – dalam konteks tari ini, koreografer lelaki yang mengisahkan tentang kelahiran anak. Pada pandangan saya, saya rasa sesetengah koreografer boleh membangkitkan sesuatu perkara atau isu yang pernah mereka lihat, dan dijadikan inspirasi kepada pengkaryaan mereka. Siapa tahu, mungkin mereka ingin meluahkan satu perasaan yang masih belum berani diluahkan. Semasa mempersembahkan Bonda, saya hanya seorang penari yang mentah – satu kanvas yang kosong, yang anda mungkin berkata – yang masih belum mengalami pelbagai emosi kehidupan. Cara persembahan saya tidak berhasil berbanding dengan seseorang yang mengalami pengalaman sebenar – namun saya puas hati kerana diberi peluang untuk mencuba.

 

 

Kathryn Chew Yee Hsuen merupakan seorng guru tari, koreografer, penari, dan editor e-surat berita MyDance Alliance, sementara melanjutkan pelajarannya di peringkat Sarjana Seni Persembahan (Tari) di UM. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
kathrynchew95@gmail.com

 

 

Foto utama: [Kiri ke kanan] Chew Yee Hsuen, Yap Chiw Yi, Gwen Ng. Teater Experimental, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 26 Mei 2017. © James Quah

Skip to content