Tari Melayu sebagai Sumber Inspirasi untuk Kreasi Tari Kontemporari

Leng Poh Gee menggambarkan bagaimana pergerakan tari rakyat Melayu dijadikan inspirasi untuk penciptaan tari beliau yang bertajuk Belonging pada tahun 2013. 

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Saya tertarik dengan tari Malayu sejak mula mempelajari tari rakyat Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai aktiviti riadah – satu latihan fizikal diri yang lebih awal sebelum masuk ke tari kontemporari. Lenggangan lengan dan tangan yang halus, liuk badan yang anggun, kesopanan menari berpasangan, serta improvisasi yang terkawal berdasarkan pergerakan generik telah melakarkan persekitaran kampung saya di Kelantan. Untuk menjalinkan kenangan-kenangan ini, unsur-unsur tari rakyat Melayu telah pun menjadi salah satu sumber inspirasi untuk menghasilkan kreasi baru.

Karya pertama yang saya cuba lakukan integrasi antara tari kontemporari dan tari rakyat Melayu adalah That Time…, yang telah dipersembahkan di UPM pada tahun 2002. Karya duet tersebut dimainkan oleh Mak Foong Ming dan Chen Kar Voon, yang kini merupakan penari utama dan bekas penari bagi Kwang Tung Dance Company masing-masing. Hasil karya ini cuba menggabungkan antara pergerakan lenggangan tangan tari Melayu serta regangan lengan yang memanjang, dengan liuk badan yang minimal. Frasa gerak eksperimental yang pendek ini hanya mengambil sebahagian kecil daripada karya kontemporari yang mengambil masa 4 minit 12 saat. Karya ini kemudiannya dihalusi, dikonsepsi semula dan diperkembangkan melalui beberapa persembahan ulangan seperti di TARI 2007, TanTiaoBan (2008), dan baru-baru ini di UMa Contemporary Dance Showcase 2014 yang dianjurkan Jabatan Tari Universiti Malaya. Pendekatan “copy and paste” yang telah digunapakai dalam koreografi ini di peringkat awal (iaitu sengaja menonjolkan motif-motif gerak tari Melayu dan tari kontemporari yang senang dikenalpasti) semakin menjadi ambivalen dari segi pengolahan dan perekaan gerak dalam koreografi saya selama ini.

Pada bulan Ogos 2013, dengan sokongan daripada Geran Pengurangan Kos Produksi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) – Kakiseni, LAPAR Lab (kumpulan tari yang saya asaskan) dapat menghasilkan Space Bar, satu persembahan tari kontemporari yang dilangsungkan di Damansara Performing Arts Center. Persembahan tersebut terdiri daripada dua repertoir, iaitu Safe Distance yang dikoreograf oleh Mak Foong Ming dan Belonging yang dikoreograf oleh saya sendiri.

Dalam babak terakhir Belonging, sekali lagi saya cuba menciptakan gerak kosa tari daripada pengolahan tari rakyat Melayu. Dalam sesi interaksi dalaman yang lazim dilakukan sepanjang proses koreografi, Kyo Hong, salah seorang daripada penari telah mengajar kami Zapin Kampung Manggis. Beliau merupakan graduan Diploma Seni Tari daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Situasi pembelajaran dan pengajaran zapin tersebut adalah dinamik dan penuh dengan gurauan. Penari yang pernah dilatih dalam genre zapin (terdiri daripada graduan Jabatan Tari, Universiti Malaya) mula melakukan perbandingan secara pergerakan fizikal di antara Zapin Kampung Manggis dengan zapin-zapin lain yang pernah dibelajar, manakala penari yang tidak pernah membelajari zapin menghadapi masalah koordinasi di antara penggayaan gerakan zapin dengan kiraan iringan lagu yang berdasarkan pantun. Suasana keseluruhan yang saling bersaingan dan riang ini mencetuskan keinginan saya untuk merakam dan mementaskan saat-saat ini tetapi tidak melalui lakonan pembelajaran dan persembahan zapin ini.

Zapin yang dinamik melibatkan gerakan kaki lokomotif dan membolehkan penari menerokai ruang dengan lancar melalui aksi gaya spesifik gerak berjalan, berlari dan melompat. Badan dan lengan mengayun seiring dengan keperluan pemindahan berat yang cepat demi mengekalkan keseimbangan. Apabila penari LAPAR Lab memperolehi teknik asas tari zapin tersebut, bermulalah proses koreografi sebuah karya yang ceria melalui pengolahan dan penciptaan gerak berdasarkan struktur bentuk zapin.

Apabila saya meminta para penari menggantikan gerak kaki zapin yang melibatkan pemindahan sokongan badan, dengan hanya menggunakan gerakan lengan dan tangan di keadaan berdiri statik – reaksi-reaksi yang lucu berlaku sepanjang sesi tersebut. Pada mulanya, para penari adalah konservatif dan hanya menirukan gerak tapak kaki zapin dengan tapak tangan. Namun pengolahan tersebut kemudian diperkembangkan menjadi variasi gerakan lengan yang rumit. Pola lantai yang sangat penting dalam persembahan zapin kontemporari turut diilustrasikan oleh bahagian-bahagian badan yang berbeza sehingga terbentuknya rangkaian ghaib yang berlapisan di sekeliling penari. Ejek-mengejak di antara penari yang pernah dan tidak pernah belajar zapin telah ditransformasikan menjadi perlumbaan lari. Saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang pergerakan rakyat Melayu yang tersurat dan mudah kenal pasti ke dalam kreasi baru ini. Pendekatan ulangan yang lazim digunapakai di dalam persembahan zapin turut diaplikasikan. Ciri-ciri kespontanan dalam konsep main zapin turut diambil kira dan dimasukkan ke dalam koreografi tersebut. Aksi-aksi salah langkah, melatah, tabiat gaya tingkah laku peribadi dan pergerakan utilitarian harian yang berlaku sepanjang proses koreografi diteliti, dikumpul, dimanipulasi dan digabungkan ke dalam komposisi karya tersebut. Koreografi ini diiringi dengan sebuah lagu pop Cina yang bertajuk “Qiong Kai Xin”, yang membawa makna “miskin dengan kebahagiaan”. Lagu rancak yang dipersembahkan oleh Hua Er Yue Tuan ini menggalakkan kita berusaha mengejar impian diri sendiri seolah-olah tiada sebarang kerugian akan berlaku pada kita. Secara amnya, barisan penari yang jelas mengenai material koreografi asalan hasil daripada perkembangan raptai telah memangkinkan proses rasionalisasi konsensus seni karya tersebut yang mengutarakan kemeriahan, kebersamaan dan dorongan untuk berbakti.

“Babak terakhir terdiri daripada sebuah lagu kepujian yang riuh meloncat dengan keriangan. Kumpulan itu bergerak bergegas-gegas, di sini mereka melompat-lompat dengan kepala bergolek-golek dari sisi ke sisi, manakala di sana mereka memberus gigi terburu-buru serta menghayun lengan seperti kincir angin. Muziknya, sebuah lagu Cina pop yang bersifat retro, membina dan terus membina, serta liriknya, walaupun untuk individu yang tidak fasih Bahasa Mandarin, adalah jelas: ‘Jiwa yang bebas dan tidak terhalang mesti ketawa setiap hari, walaupun kita miskin!’ Akhirnya, disebabkan keletihan menikmati keriangan, barisan penari jatuh dalam satu bulatan. Selepas seketika, dengan cara gerak kegemaran Poh Gee, secara senyap mereka membantu antara satu sama lain untuk bangun.” (Bilqis, 2013)

Klip video Zapin Kampung Manggis versi pembelajaran penari boleh ditonton di bawah, yang dirakamkan secara langsung sempena persembahan Main Zapin 2013, yang dianjurkan oleh ASWARA. Manakala petikan pendek daripada Belonging yang memaparkan koreografi tersebut boleh juga ditonton di bawah, yang dirakamkan secara langsung sempena MyDance Festival 2013, yang dianjurkan oleh MyDance Alliance.

Karya pendek tersebut pernah dipersembahkan dalam tiga persembahan yang berbeza: MyDance Festival 2013 pada bulan Jun 2013, produksi pementasan Space Bar dan Pesta Tarian Cina Kebangsaan pada bulan Ogos 2013. Tiada sebarang maklum balas daripada penonton yang mengaitkan hubungan antara dua bentuk tarian itu (tari zapin dan tari kontemporari). Begitu juga pada penari baru yang ditambahkan untuk persembahan ketiga, mereka tidak sedar sehingga telah dimaklumkan.

Menggunakan tari tradisi sebagai asas untuk ciptaan tari kontemporari bukan sesuatu yang baru dalam dunia tari di Malaysia. Inspitari, festival tari tahunan yang dianjurkan oleh JKKN sejak tahun 2009 membekalkan satu platform untuk menggalakkan penerokaan dan pengayaan kosa gerak tari yang asli melalui pengkaryaan repertoir yang berdasarkan adat tempatan di setiap negeri masing-masing. Ciptaan kreasi-kreasi baru ini diharapkan dapat mewakili negeri masing-masing dan kemudiannya dijadikan sebahagian daripada budaya tari Malaysia. Karya-karya eksperimental telah dihasilkan sepanjang festival tersebut. Walau bagaimanapun, acara tersebut yang diraikan secara besar-besaran berkecenderungan ke arah kepenggunaan pelancongan, dan justeru koreografi yang direkakan sentiasa memenuhi citarasa estetika konvensional yang ditentukan norma-norma performativiti kerajaan.

Saya bertuah kerana masih mempunyai ruang yang kecil untuk berkarya, dan tidak keberatan jika tari kreasi ini tergolong dalam falsafah semasa yang cemerlang seperti interculturalism atau hibriditi. Saya hanya berasa riang dan bermakna kerana boleh berkarya bersumberkan inspirasi budaya tari Melayu yang kini amat berpengaruh di alam persekitaran saya. Betapa riang dan bermakna? Saya boleh menyedari kepentingan diri sendiri di antara nostalgia saya yang lepas dan wawasan saya yang akan datang.

“Belonging mengingatkan kita apa yang diperlukan untuk menjadi seorang belia ideologi — 文艺青年. Keempat-empat karekter perkataan ini telah membawa makna nostalgia dan politik.” (Chua 2013)

“Tetapi sifat olok-oloknya tidak hambar; ia telah dilembutkan oleh sejenis kesedaran akan sifat tidak masuk akal yang khas kepada Malaysia. Segala pengumuman daripada pakar-pakar politik negara kita hanya boleh difahami dengan sesuatu seperti ini, iaitu dengan melihat kesan segala pengumumam itu terhadap individu-individu dan hubungan harian kita sesama kita sendiri.” (Bilqis, 2013)

 

Poh-Gee-90Leng Poh Gee merupakan pensyarah di Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya. Lebih

Untuk menghubungi penulis:

 

 

Rujukan:
Chua, Richard (2013). Life is Simple, with LAPAR Lab Production. Dipetik daripada http://www.theatrex.asia/life-is-simple-with-lapar-lab-productions/

Bilqis Hijjas (2013). In Praise of Modesty: Ambition, world-class status and us: A review of LAPAR Lab’s Space Bar. Dipetik daripada http://contentviewer.adobe.com/s/The%20B-Side/dc43599887d043fd8cff1e51c0f2a5da/my.bfm.thebside.2013.september_V2/3404.html

 

Video:

 

Foto utama: Badan condong ke belakang, bertentangan dengan norma badan yang condong ke depan dalam persembahan zapin. [Dari kiri ke kanan] Matthew Tan Yong Kiean, Lim Hooi Meng, Chow Yong Shuang, Tan Shioa Por (tangan bersilang), Leo Yap Chee Yee (di belakang Tan Shioa Por), Lim Siew Ling dan Hong Xi Fan dalam Belonging, Black Box, Damansara Performing Arts Centre, Petaling Jaya, 3 Ogos 2013. Foto © James Quah

Skip to content