Koreografer baharu Chai Vivan menceritakan pengembaraannya yang menarik di Angers, Perancis, di mana beliau berkarya dan mempersembahkan kreasi barunya, “LUST”, melalui program Choreolab sempena persidangan World Dance Alliance Summit 2014.

Karangan ini merupakan laporan daripada Vivan sebagai penerima program Geran Kecil MyDance Alliance. Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Macrecelly Michael.

 

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jeff Hsieh, kerana perkongsian maklumat beliau mengenai program Choreolab sempena persidangan World Dance Alliance Summit 2014 yang berlangsung di Anger, Perancis. Maklumat dan galakkan daripada beliau telah merealisasikan penyertaan saya ke program tersebut. Saya juga ingin berterima kasih kepada MyDance Alliance, My Performing Arts Agency dan Yayasan Sime Darby atas sokongan dan sumbangan kewangan mereka untuk penyertaan saya dalam program ini.

Apabila saya dimaklumkan bahawa saya terpilih sebagai salah seorang koreografer Choreolab, saya berasa takut dan teruja. Ini merupakan perjalanan solo pertama saya ke Eropah dan pasti akan menjadi satu pengembaraan yang sangat mencabar dan menarik.

Walau bagaimanapun, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku beberapa hari sebelum saya berlepas ke Perancis. Peristiwa di luar dugaan ini berkaitan dengan pasport saya yang bermasalah. Ringkasnya, segala masalah telah diselesaikan secara tungkus lumus oleh abang kesayangan saya dan saya berasa bertuah sekali.

Pada malam 5 Julai 2014, saya telah berlepas dari Kuala Lumpur International Airport dan tiba di Charles de Gaulle Airport, Paris dengan selamatnya. Sebelum ini, saya telah banyak diberitahu mengenai jenayah yang berlaku di Perancis, dan saya amat berhati-hati pada setiap masa. Saya bernasib baik kerana tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sehinggalah saya sampai di Angers di mana saya telah sesat selama sejam untuk mencari hotel yang terletak di kawasan perumahan. Saya berasa penat dan lapar. Sebaik sahaja sampai di hotel, kelihatan penyambut tetamu itu sedang bercakap di telefon dan ini adalah mencurigakan. Rupa-rupanya, beliau sedang bercakap dengan teman lelaki saya yang ingin mengenal pasti ketibaan dan keselamatan saya di sini!

Setelah kemas diri, saya pergi ke The Le Quai Theatre untuk upacara pembukaan di mana semua peserta berkumpul, mendaftarkan diri dan mengambil dokumen-dokumen penting serta menonton persembahan yang dipersembahkan oleh pelajar Centre National de Danse Contemporaine(CNDC) yang dikoreograf oleh Robert Swinston. Sepanjang persembahan tersebut, saya memerhati para penari kerana saya tahu di antara mereka merupakan penari terpilih bagi Choreolab.

7 Julai 2014

Ini merupakan hari pertama program Choreolab. Kami berkumpul di The Le Quai Theatre bersama empat koreografer (kebetulannya semua perempuan), tiga puluh lapan penari dari seluruh dunia serta dua orang mentor, Robert Swinston dan Germaine Acogny. Kedua-duanya memberi taklimat yang ringkas mengenai program tersebut, dan mengumumkan kumpulan penari mengikut koreografer masing-masing. Saya berasa teruja apabila berjumpa dengan sepuluh orang penari yang dipilih untuk saya.

Linnea (koreografer Choreolab dari Sweden) dan saya menggunakan studio lama yang terletak di kawasan bandar. Saya amat teruja dengan rekaan studio yang digunakan dan pasti studio tersebut dapat memberi saya inspirasi untuk menghasilkan koreografi.

3-2
Ruang latihan di Bodinier Studios, Angers, 7 Julai 2014. Foto @ Chai Vivan

Saya ingin menggunakan pendekatan ‘TACTICS’ yang diperkenalkan oleh Janis Claxton kepada saya semasa program Southeast Asian Chorelab (SEA Choreolab) di Rimbun Dahan yang dianjurkan oleh MyDance Alliance pada awal tahun 2014. Saya ingin menggunakan peluang ini untuk menerokai beberapa kemungkinan yang boleh dijana daripada TACTICS untuk koreografi saya, dan juga mengenali kebolehan penari pada masa sama. Saya mengendalikan beberapa latihan untuk mengolahkan idea yang terdapat di dalam minda saya. Kemudian, saya meminta mereka memilih pasangan sendiri untuk mencipta duet masing-masing berdasarkan arahan TACTICS. Pengalaman penerokaan TACTICS sebagai pendekatan koreografi semasa di SEA Chorelab telah melatih saya berkarya dalam masa yang singkat. Dengan adanya latihan ini, saya berasa cukup selesa kerana setiap koreografer hanya diberikan lima hari untuk mencipta kreasi masing-masing.

Sebelum tamat sesi latihan, saya cuba merangkakan satu struktur komposisi yang kasar berdasarkan material yang saya perolehi daripada para penari untuk mendapatkan gambaran visual yang menyeluruh.

Selepas makan malam bersama penari saya, kami kembali ke The Le Quai Theatre untuk menonton persembahan yang bertajuk Tragedy, yang dikoreograf oleh Olivier Dubois. Saya terkejut melihat persembahan bogel daripada lapan belas orang penari perempuan dan lelaki di atas pentas. Selain daripada itu, koreografi ini mempunyai pergerakan yang eksotik yang tidak dapat dipertontonkan di Malaysia. Secara keseluruhan, persembahan ini merupakan pengalaman yang menarik bagi saya.

8 Julai 2014

Matlamat hari ini adalah cuba merealisasikan beberapa idea saya dan mendapatkan rangka struktur yang lebih jelas:

  1. Saya meminta para penari melakukan ulang kaji latihan dari semalam iaitu ‘Contact Shift’ daripada TACTICS. Kemudian, saya menyusun semuanya ke dalam struktur yang lebih mengalir untuk melihat keberkesanannya.
  2. Selepas itu, saya mengajar mereka satu frasa pergerakan dan membenarkan mereka berlatih masing-masing dengan menggunakan muzik yang saya sediakan.
  3. Kemudian, kami menjalankan latihan ‘Global Contact Shift’, yang meminta penari menoraka ruang secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Latihan ini diulangi dengan pelbagai corak yang berbeza.
  4. ORKESTRA – saya mengarahkan mereka berada di dalam satu kumpulan yang rapat satu sama lain, kemudian mula melakukan explorasi fizikal melalui kaedah ‘Contact’ dengan syarat semua pergerakan harus mengikuti tempo lagu.
  5. Saya mengajar pergerakan tangan tari klasikal India, Pushpanjali kepada tiga penari lelaki itu. Kemudian, saya meminta penari tersebut menambahkan pergerakan badan dan kaki masing-masing untuk bergabung dengan pergerakan tangan yang telah saya ajar.
  6. Saya juga mencuba beberapa idea komposisi dan improvisasi yang berdasarkan rintangan dan imaginasi.

Nota-nota daripada raptai pada hari pertama dan kedua, Bodinier Studios, Angers, 8 Julai 2014. Foto © Chai Vivan

Saya merakamkan semua hasil yang saya perolehi pada hari ini dan membuat keputusan terhadap pilihan material yang bakal digunakan.

Setelah bersurai, saya meminta seorang penari perempuan yang bernama Seve untuk teruskan latihan kerana beliau dipilih sebagai penari solo dalam bahagian kedua karya koreografi saya.

Apabila saya sampai di hotel selepas makan malam, saya mula mengkaji semula idea koreografi berdasarkan video yang telah saya rakam.

9 Julai 2014

Saya berniat untuk melengkapkan struktur koreografi pada hari ini supaya dapat menghalusi pergerakan pada hari seterusnya.

Dengan adanya material yang terkumpul sebelumnya, saya meminta para penari menari dengan muzik terpilih. Kami mengambil masa yang agak lama untuk berlatih bahagian pertama koreografi saya. Selepas makan tengah hari, saya mula menyusun komposisi untuk bahagian kedua dengan idea baharu. Pada akhir sesi latihan, saya berasa gembira apabila melihat koreografi tersebut sudah dibangunkan seperti yang dirancangkan.

10 Julai 2014

Kumpulan saya mengikuti kelas Robert pada hari ini yang berlandaskan teknik Cunningham. Saya berasa gementar kerana sudah lama tidak mempraktikan teknik Cunningham.

Kami memulakan raptai selepas kelas tersebut. Setelah lima belas minit latihan, kedua-dua mentor saya (Robert dan Germaine), Jin Wen Yu (Professor Tari di University of Wisconsin-Madison) dan Nanette Hassall Am (Ketua Jabatan Tari di The Western Australian Academy of Performing Arts) hadir melihat previu kami. Saya berasa sangat gementar kerana ini seolah-olah sedang menjalani Penilaian Tahun Akhir Ijazah saya. Setelah mendapat maklum balas daripada Robert dan Germaine, saya melakukan beberapa perubahan dengan segera.

Saya bernasib baik kerana hanya saya yang dapat menunjukkan karya sebanyak dua kali kepada Robert dan Germaine. Mereka kembali untuk melihat karya saya selepas makan tengah hari dan mereka lega atas perubahan yang telah saya lakukan. Saya turut berasa yakin.

11 Julai 2014

Hari Persembahan!

Keempat-empat koreografer berjumpa dengan pereka lampu untuk mengkaji kapasiti keberkesanan lampu yang boleh digunakan. Saya merupakan koreografer pertama yang menyelaraskan ‘lighting cues’ kerana kedudukan persembahan karya saya yang terakhir. Pihak pengurusan teater telah memterbalikkan urutan persembahan untuk kesenangan pengendalian teknikal.

Kesemua koreografer telah berada di dalam dewan pada pukul 8.30 malam. Saya berfikir persembahan ini mungkin hanya ditonton oleh bilangan penonton yang sedikit, tetapi ternyata jangkaan saya telah salah kerana dewan telah dipenuhi dengan penonton.

Karya pertama dikoreograf oleh Andrea Beckham dari Amerika Syarikat. Saya dapat merasai ketenangan melalui kreasinya. Dia menggunakan beberapa tali yang berwarna emas untuk melakarkan laluan dan menggunakan ruang di antara tali. Pergerakan para penari adalah sangat lembut dan halus. Kreasi tari tersebut adalah lancar, namun saya tidak suka bahagian akhirnya yang mungkin membawa maksud yang tersendiri, tetapi saya gagal memahaminya.

Karya kedua pula dikoreograf oleh Foo Yun Ying dari Singapura. Karyanya bermula dengan keadaan yang serius dan banyak melibatkan formasi yang menarik. Saya terhibur dengan bahagian di mana penari bermain dengan pelbagai reaksi muka yang lucu bersama-sama pergerakan kehidupan harian. Ini telah membangunkan kontras yang berperingkat berbanding dengan bahagian pertama.

Karya ketiga adalah hasil koreografi Linnea Lindh dari Sweden yang mengenai perhimpunan bantahan atau protes. Sebelum ini, beliau pernah menunjukkan kepada saya beberapa gambar yang berkaitan dengan perhimpunan sebegini. Dengan adanya informasi kontekstual ini, saya faham karyanya dengan jelas dan juga boleh melihat imej-imej yang tertentu melalui para penari. Karya koreografi tersebut adalah sangat baik, lancar, mempunyai elemen yang mengejutkan dan menarik untuk ditonton. Terdapat satu frasa gerak yang masih bermain di dalam minda saya, di mana para penari memanjat sesama sendiri dan duduk di bahu. Ini mewujudkan imej yang berimpak kepada saya. Kesudahan karya ini adalah agak luar biasa. Para penari bertepuk tangan dan bahagian-bahagian badan mereka sambil menghentak lantai secara berulangan. Dengan secara tiba-tiba, tanpa sebarang isyarat bunyi, mereka berhenti. Itu merupakan saat yang ajaib.

Persembahan yang terakhir merupakan hasil karya saya. Saya tidak boleh memberi komen terhadap karya saya sendiri tetapi saya menyedari bahawa terdapat banyak lagi yang boleh diperbaiki. Saya percaya koreografer yang lain juga berpendapat demikian. Walau bagaimanapun, saya berasa gembira dengan pilihan muzik kerana ia telah membina suasana yang amat kontras dengan ketiga-tiga karya.

Semasa menonton karya sendiri, saya berasa gembira bukan kerana hasil pementasan, tetapi telah mengalami satu proses yang bermakna bersama sepuluh orang penari yang hebat. Saya kagum dengan komitmen, tanggungjawab dan disiplin mereka semasa menjalankan latihan. Kenangan ini pasti sentiasa bersama saya selamanya.

Persembahan program Choreo tersebut telah tamat. Para penari CNDC telah pun menyediakan parti di dalam studio latihan. Sungguh tidak percaya! Pihak pengurus CNDC membenarkan mereka mengadakan parti di dalam studio tersebut. Mereka menghiasi studio dengan lilin, serta menyediakan makanan dan minuman (sudah pastinya termasuk alkohol). Kami menari, bergelak dan minum dengan riang. Perjalanan saya di Angers tamat dengan puas sekali.

Chai Vivan dan barisan penarinya di pentas belakang Le Quai Main Theatre, 11 Julai 2014 – [barisan atas, dari kiri ke kanan] Capucine Waiss, Karine Dahouindji, Lucy-Margaux Marinkovich, Charity Ng Jen Yi, Stephanie Maughan, Seve Bernard, [barisan tengah, dari kiri ke kanan] Flora Kim, Fuxi Li, Chai Vivan, Nicolas Fernando Mayorga Ramirez, [bawah] Wei-An Hwa.

 

Chai Vivan kini sedang mengikuti ijazah sarjana dalam Choreographing Live Art di Universiti Lincoln, United Kingdom. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
vce

Macrecelly Michael, berbangsa Bisaya dari Limbang, Sarawak, merupakan graduan Diploma Seni Tari ASWARA dan masih menuntut di institusi tersebut untuk Ijazah Sarjana Muda (Kepujian).

Untuk hubungi penterjemah:
chrislius1206@gmail.com

 

*TACTICS merupakan satu bentuk improvisasi berpasangan yang boleh digunakan sebagai alat untuk menjana pergerakan tari untuk pasangan atau kumpulan. Ia telah diasaskan oleh koreografer New Zealand, Michael Parmenter.

Skip to content