Mendokumentasikan Kuasa Tarian: Satu Wawancara bersama Indrani Kopal

Pengarah filem Indrani Kopal membincangkan hasil karya dokumentari pemenang anugerahnya, The Game Changer, yang mempamerkan kisah seorang guru tari yang berjaya memulakan satu program pemulihan melalui seni tari di dalam sebuah penjara di New York.    

Wawancara ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

“Beliau hadir ke persekitaran penjara, satu persekitaran yang jujurnya menyedarkan anda bahawa anda sebenarnya serba kekurangan. Namun beliau menjawab tidak, saya berasa anda ialah dunia. Saya berasa anda ialah terbaik dan terpilih…dan saya mencabar anda supaya mula berfikir diri sendiri anda berada di keadaan sebegini, dan mari kita melihat apa yang akan berlaku. Oleh demikian saya menggelar beliau sebagai ‘Game Changer’.” – Ray Brito, komen seorang bekas banduan penjara terhadap seorang koreografer dan guru tari Susan Slotnick

Jarang kita mendengar mengenai program pemulihan banduan melalui seni tari di penjara, apatah lagi kursus tari moden disasarkan kepada banduan lelaki. Walau bagaimanapun, dokumentari mengenai topik ini sudah wujud, diterbit dan diarahkan oleh seorang warganegara Malaysia yang dipuji dengan penuh penghargaan di Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

Warga Malaysia yang diperbincangkan ialah Indrani Kopal, bekas wartawan Malaysiakini yang sedang mengikuti ijazah Sarjana dalam Pengajian Dokumentari dan Produksi (Documentary Studies and Production) di Hofstra University, New York. Dokumentari beliau, The Game Changer, menggariskan Susan Slotnick, seorang guru tari yang memulakan program pemulihan melalui tari di penjara negeri New York tujuh tahun dahulu. Filem ini mengikut Slotnick sebagai mentor yang terus melatih enam bekas banduan di dalam sebuah kumpulan tarian, Figures in Flight Released yang diasaskan khusus untuk mereka. Walaupun pada asalnya filem tersebut diterbit khas untuk produksi projek calon ijazah Sarjana beliau, filem ini telah menerima pelbagai anugerah, termasuk Dokumentari Pendek Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Harlem 2014.

Selain itu, beliau turut menerima biasiswa Fulbright yang berprestij untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah Sarjana. Baru-baru ini, beliau juga dipilih sebagai salah seorang dalam senarai Microsoft and Bustle’s 13 Young Millennials Making Waves. Saya berbual-bual dengan beliau, seorang berusia 35 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur, mengenai inspirasi dokumentari, cabaran yang dihadapi dan potensi bagi pembangunan program pemulihan melalui tari yang hampir sama di Malaysia.

 

Koh Aun Qi: Menggunakan perkataan anda sendiri – apakah yang diulaskan dengan filem The Game Changer?

Indrani Kopal: Filem ini berkaitan dengan harapan. Filem ini mempamerkan bahawa masih terdapat ruang untuk harapan di dunia ini, yang menawarkan peluang kedua kepada manusia, dan mengurung sesetengah individu ke tempat jauh bukan jawapannya. Tidak kira betapa mengerikan jenayah yang telah anda lakukan, selagi anda berubah, anda terserlah, maka selalu sahaja ada pintu di luar sana. Anda hanya perlu mengetuk pintu yang betul.

The Game Changer merupakan satu penghormatan kepada wanita yang menawarkan satu permulaan yang baru kepada para banduan. Ia berkaitan dengan harapan baru, permulaan dan kelahiran baru. Anda perlu lihat siapa sebenarnya para banduan itu, dan saya sengaja memilih menumpukan dokumentari ini kepada tari, seorang wanita yang percayai kepada kuasa tari, serta sekumpulan banduan lelaki yang menaruh harapan kepada wanita tersebut yang hadir ke penjara dan mengajar mereka.

Aun Qi: Kenapa anda pilih untuk memberi tumpuan kepada guru tari, Susan Slotnick, berbanding dengan penari-penari itu?

Koreografer dan guru tari Susan Slotnick [kiri] bersama dengan penari Figures in Flight Released, Jecoina “Casper” Vinson [kanan], di Marbletown Multi-Arts, Stone Ridge, New York, 12 Januari 2014. Foto © Indrani Kopal

Indrani: Saya memang telah mengenal pasti yang saya akan melakukan dokumentari mengenai pemulihan melalui seni. Setelah saya mengenali dan berjumpa Susan dan enam penari [daripada Figures in Flight Released], saya terus pasti mereka akan menjadi watak-watak saya, dan merekalah manusia yang saya ingin berkolaborasi.  

Saya perlu mempersembahkan sebuah projek lanjutan untuk membolehkan saya memulakan tesis. Proses pembinaan projek tersebut mengambil masa satu tahun, dan saya tidak sanggup menyalurkan segala tenaga hanya kepada satu-satu projek sahaja. Maka saya mencadangkan kepada profesor saya, berkata, “Saya ingin fokus kepada golongan ini selama setahun. Projek lanjutan saya untuk semester musim luruh 2013, saya ingin mengemukakan satu dokumentari pendek yang mengenai koreografer mereka, Susan, manakala tesis saya pula akan berkaitan dengan keenam-enam penarinya.” Saya membelahnya kepada dua bahagian kerana saya tidak mampu menerbitkan satu dokumentari yang panjang.

Maka The Game Changer adalah hanya berkaitan dengan Susan. Saya amat jelas tentang pemilihan topik tersebut pada awal lagi. Karya ini berlandaskan Susan. Beliau merupakan watak utama, “game changer” atau perubah permainan. Keenam-enam penarinya tidak akan dipamerkan jika bukan kerana Susan. Susan telah berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk memasuki penjara dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, “Percayalah, saya boleh mengubahkan orang-orang ini, benarkan saya mengajar mereka tari moden.” Pihak berkuasa tidak percaya kepada Susan, kenapa? Mereka berkata, “Anda tidak dapat menggerakkan orang-orang ini menari!” Namun Susan menjawab, “Saya boleh. Sila berikan peluang.” Wanita itu harus disanjungi.

Aun Qi: Apa yang mempengaruhi anda untuk memfokuskan program pemulihan banduan melalui seni tari?

Indrani: Pada Januari 2013, saya melawat Pusat Psikiatri Creedmoor di bahagian utara negeri New York. Saya cukup bertuah kerana dapat melawat satu ruang yang besar… makmal? Ya, boleh dikatakan ia sebuah makmal… di mana orang-orang yang terencat akal diberi ruang yang lapang seperti gudang, dan kelihatan seperti sebuah muzium seni. Semua orang mempunyai sudut mereka tersendiri yang penuh dengan lukisan dan lakaran yang besar. Ruang itu seperti satu makmal seni yang lapang! Saya tidak jangka dapat melihat semua ini dalam sebuah hospital mental.

Saya dimaklumkan mengenai pendekatan pengarah pusat itu yang menggunakan seni untuk mencipta ruang yang membolehkan orang-orang itu melepaskan intipati mereka, dan jujur kepada diri mereka. Dan karya-karya itu adalah luar biasa. Luar biasa! Pendekatan ini yang membolehkan mereka berbuat begitu telah menyembuhkan mereka. Terdapat juga sebilangan pesakit yang menjadi artis terkenal apabila kembali semula ke pangkuan masyarakat, dan telah mempamerkan hasil karya mereka di muzium atau galeri.

Saya sedar bahawa seni boleh dijadikan penawar, dan pemulihan merupakan sesuatu yang penting di Amerika Syarikat. Saya berfikir – apa terjadi terhadap tari sebagai seni? Ketika saya seorang wanita muda, saya pernah kehilangan rambut dan terus kehilangan yakin diri, oleh itu saya mula menari. Saya ialah seorang penari tari klasikal India. Pada dasarnya, guru tari saya yang membantu saya untuk mengatasi masalah rendah harga diri, lalu membina keyakinan saya. Saya menjadi siapa diri saya sekarang disebabkan asas kukuh yang ditawarkan olehnya kepada saya melalui seni. Saya dapat melepaskan segala kemarahan dan kekecewaan saya, dan mencapai ketenangan diri saya.

Jadi saya sedar bahawa tarian merupakan satu proses penyembuhan, tetapi saya tidak tahu bagaimana… Saya mencari-cari secara atas talian mengenai “seni sebagai tari”, “seni sebagai kaedah penyembuhan”, dan menelaah banyak kertas penyelidikan untuk mendapatkan maklumat berkaitan yang sedang berlaku di luar sana. Ini merupakan satu topik yang menarik, dan saya ingin memanifestasikannya ke dalam satu dokumentari.

Aun Qi: Bagaimana anda mengetahui mengenai program Susan Slotnick dan Figures in Flight Released?

Penari Figures in Flight Released [dari depan ke belakang] Ray Britto, Andre Noel, Felix Machado, David Montalvo, dan Jaren Wootan sedang mengadakan raptai karya koreografi yang bertajuk Welcome to the World di Dance Art New York, New York City, 9 Februari 2014. Foto © Natalie Ivis

Indrani: Saya terbaca sebuah artikel Susan Slotnick yang mengenai sebuah hasil karya yang terkenal, “Thriller” yang melibatkan beberapa penari banduan Filipino, dan bagaimana ia telah melanggar hak asasi manusia dengan memaksa banduan untuk menari. Selain daripada video yang luas tersebar itu, tidak ramai orang sedar bahawa terdapat program pemulihan melalui seni, lukisan, teater, puisi dan tari dijalankan secara besar-besaran di Amerika Syarikat. Mereka memperolehi bantuan dana persekutuan untuk melaksanakan program-program ini di penjara.

Susan mengulas secara teliti mengenai semua itu. Beliau turut menerangkan bahawa programnya di Woodbourne Correctional Facility merupakan satu program yang berjaya dan hanya satu-satu program tari yang terdapat di Amerika Utara. Pada kejutan orang ramai, programnya telah dilaksanakan dengan berjaya. Dari saat itu, saya sedar— beliau merupakan wanita target saya, saya perlu berhubung dengannya macam mana pun!

Maka saya mula mencarinya. Pada bulan Mei 2013, saya mula berhubung dengan organisasi yang menyelaraskan program sebegini di peringkat kebangsaan, Rehabilitation through the Arts (RTA). Terdapat sesetengah individu yang telah menghasilkan dokumentari tentang program teater di Penjara Sing Sing, dan mereka tidak terbuka terhadap keterlibatan saya. Tambahan pula, saya hanya seorang pelajar. Saya ditolak seperti itu saja [memetik jarinya].

Susan juga merupakan seseorang yang sangat bersifat peribadi, saya tidak memperolehi banyak dapatan daripadanya. Tetapi kemudian saya mengenalinya di Facebook! Saya mesejnya, dan dia berkata, “Anda ialah seorang warganegara Malaysia, anda ialah seorang pelajar, dan saya tidak tahu apa yang akan anda lakukan, saya tidak mahu penari saya dieksploitasikan… Bolehkah anda datang dan berbincang.” Saya terus bertolak ke New Paltz dengan bas yang mengambil tiga jam untuk bertemu dengannya.

Aun Qi: Adakah ia merupakan satu cabaran untuk memenangi kepercayaan Susan untuk perfileman mengenai beliau dan kumpulan bekas banduannya?

Indrani: Saya mengambil masa seketika untuk meyakinkan Susan untuk perfileman. Dia memiliki perwatakan yang kuat. Dengan pendek kata, saya memberitahunya, “Anda harus mempercayai saya, Susan, untuk membolehkan saya mempersembahkan kekuatan saya, iaitu mengisahkan satu cerita. Jika anda suka, anda boleh mendapatkan satu salinan; jika sebaliknya, ia hanya merupakan satu projek pelajar.

Apabila mendapat kebenaran daripada Susan, saya rasa bahawa beliau masih belum mempercayai saya sepenuhnya, tetapi hanya membenarkan perfileman saya mengenainya, kerana beliau mempercayai terhadap kuasa kebeliaan dan saya merupakan seorang pemuda wanita yang berusaha untuk menjalankan tugasan saya. Beliau ialah seorang pengasuh. Sebenarnya, beliau kini sedang menulis memoir sendirinya, dan pertemuan kami berdua telah dicatatkan dalam bukunya. Beliau berasa saya ingin mendesaknya pada mulanya, kerana kami tiada kawan yang sama di Facebook tetapi saya tetap meghubunginya!

Beliau tidak pasti jika saya akan memahami dirinya sebagai seorang wanita Yahudi yang berusia 68-tahun, dan telah berusaha untuk pekerjaan tersebut selama hidup ini. Bolehkah saya menangkap intipati usahanya? Beliau tidak dapat membayangkan bahawa seorang gadis India warga Malaysia yang muda berusia tiga puluhan dan baru tiba di Amerika Syarikat, mendekatinya dengan niat hanya ingin mengisahkan ceritanya dan memahami beliau.

Saya juga terpaksa berdiri tegas dengannya, kerana beliau mahu segala pelaksanaan di bawah kawalannya. Beliau sentiasa mengarahkan saya tentang apa yang perlu dilakukan semasa penggambaraan. Saya rasa ini berlaku disebabkan tabiatnya sebagai seorang warga emas dan guru… Maka saya terpaksa mengingatkannya supaya mempercayai saya dan bertenang.

Pada tempoh sekitar Krismas tahun lalu, saya menghantarkannya satu pautan yang menghubungkan produksi filem saya secara atas talian. Apabila beliau menonton video tersebut, hubungan kami berubah. Beliau tidak percaya bahawa saya telah merakamkannya sebagai diri beliau yang sebenar. Beliau asyik bertanya, “Bagaimana anda dapat melakukannya? Bagaimana anda dapat memahaminya?” Beliau bertanya-tanya setiap kali kami menyertai ke festival filem yang berbeza.

Aun Qi: Beritahu kami mengenai filem anda seterusnya, The Incarcerated Rhythm (Irama yang Dipenjarakan).

Indrani: The Game Changer telah memperkenalkan program Figures in Flight Released, serta para bekas banduan yang merupakan sebahagian daripada program itu.

Dalam The Incarcerated Rhythm, persoalan yang ditimbulkan adalah—apakah jenis gaya hidup dengan adanya tarian? Tari merupakan satu perkara yang penting. Tari telah membawa banduan-banduan ini lebih dekat ke masyarakat. Tari menawarkan tujuan, keyakinan dan sokongan kumpulan kepada mereka. Tari membantu mereka diterima oleh orang lain, kerana mereka bukan lagi “bekas banduan”; mereka merupakan penari.

Apabila lelaki-lelaki ini mengadakan persembahan, mereka menerima tepukan yang gemuruh setiap kali. Tari memberikan mereka identiti yang baru sebagai… artis. Tari memberikan satu konteks kepada masyarakat untuk menerima mereka. Namun, pelbagai persoalan timbul apabila anda tidak menari, siapakah anda di dunia ini? Bagaimana anda berkelakuan di dunia? Bagaimana anda berfungsi sebagai artis dan bekas banduan di dalam masyarakat?

The Incarcerated Rhythm fokus kepada kehidupan pasca penjara mereka. Pembukaan filem tersebut adalah sebuah karya tari, dan kemudian setiap bekas banduan akan ditanya, “Apakah cabaran anda?” Mereka semua kini berada di usia empat puluhan, dan sedang menjalani hidup yang sangat berbeza berbanding dengan waktu mereka mula-mula masuk ke dalam penjara. Bagaimana mereka menghadapi perubahan ini?

Saya merakamkan cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh individu-individu ini. Itulah yang berkaitan dengan The Incarcerated Rhythm. Ia berkaitan dengan irama yang telah dikurungkan terlalu lama, seperti burung di dalam sangkar, dan kini telah dibebaskan dan ingin berterbangan.

Aun Qi: Adakah anda melihat potensi bagi pelaksanaan program pemulihan melalui seni tari yang hampir sama di Malaysia?

Indrani: Saya melihat potensi di seluruh dunia! Bukan sahaja di Malaysia. Saya rasa seluruh dunia harus menerima programseperti ini.

Di Amerika Syarikat, kadar kemasukan semula ke penjara bagi bekas banduan yang telah menjalani program pemulihan yang baik adalah sangat rendah. Maka saya yakin bahawa di Malaysia sudah tiba masanya untuk kita merancangkan program pemulihan yang sesuai untuk banduan. Kita harus berhenti melayan banduan sebagai tahanan, dan melihat mereka sebagai seorang ahli masyarakat. Kita perlu memberi peluang kepada mereka untuk belajar, berkembang, dan [kita perlu] menawarkan kesenian penghormatan dan penekanan yang sewajarnya.

Di Malaysia, pengutamaan adalah kurang terhadap seni, alam sekitar, [dan] pembangunan masyarakat secara keseluruhan. Manakala di Amerika Syarikat, terdapat semangat pemilikan komuniti yang ketara. Mereka melihat banduan sebagai manusia yang bakal kembali dan menyertai [semula] ke masyarakat… Jika anda tidak memperbaiki keadaan dari dalaman, bekas banduan tetap akan menimbulkan ancaman dan kembali lagi ke penjara. Program pemulihan yang sesuai diperlukan untuk membantu mereka membangun, dan memangkinkan integrasi antara mereka dengan masyarakat.

Perubahan emosi dan psikologi yang signifikan akan berlaku apabila anda menari. Apabila anda membuat persembahan di hadapan ratusan manusia, mereka bertepuk tangan lalu memberitahu anda, “Wah, persembahan anda indah sekali!”. Anda sebenarnya telah mencipta sesuatu menggunakan tubuh badan anda, di samping melahirkan sesuatu yang tidak pernah anda mengalami kepuasannya.

Anda, tubuh anda dan ketidaksempurnaan diri anda telah menciptakan sesuatu yang sangat indah yang dapat dihargai oleh manusia. Itulah penyembuhan, yang mampu melakukan sesuatu terhadap jiwa anda. Percayalah.

 

Indrani Kopal penerima anugerah sebagai pengarah filem dokumentari independen warganegara Malaysia. Lebih

Untuk menghubungi Indrani Kopal:
www.indranikopal.com

 

Koh Aun Qi merupakan seorang graduan Kepujian dalam pengajian Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Sydney. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
politicalbeanie.tumblr.com