Dalam Koreografi, Saya masih Muda!

Wawancara bersama Bilqis Hijjas.

Wong Jyh Shyong (JS), pengarah artistik dan koreografer residen Damansara Performing Arts Centre, membincangkan perubahan pembangunan kreativitinya dalam metodologi koreografinya yang semakin jauh daripada persembahan teater tari kepada hasil karya yang lebih bersifat terbuka, dan mementingkan penjanaan bahan material daripada barisan penari. Beliau menerangkan apa yang sebenarnya ingin dicari-carikan, dan kenapa sudah tiba masanya untuk beliau merenung kembali diri sendiri.     

Wawancara ini telah diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris.

 

Bolehkah anda menerangkan latihan kemahiran koreografi anda?

Peluang koreografi pertama saya perolehi semasa saya di Batu Dance Theatre yang diasaskan oleh [Vincent Tan] Lian Ho, sebelum saya meninggalkan Malaysia. Lian Ho memberi maklum balas ke atas hasil karya saya. Hasil karya pertama saya dipersembahkan dalam satu pementasan yang memaparkan karya-karya segolongan bekas penari kumpulan tari Kuang Xi, termasuklah Jack Kek. Semasa melanjutkan pelajaran seni tari di Hong Kong Academy for the Performing Arts [HKAPA], saya memilih koreografi sebagai pengajian minor, yang membolehkan saya menyertai kelas-kelas latihan komposisi asas yang mengenai ruang, masa dan struktur badan, serta dibenarkan untuk menghasilkan karya-karya pendek secara tahunan.

Saya melanjutkan pengajian seni tari dan memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang koreografi di Taipei National University of the Arts [TNUA], namun sebenarnya saya tidak dapat meluahkan apa yang telah saya pelajari di sana. Proses pembelajaran adalah sama seperti pengambilan kelas-kelas komposisi di HKAPA, tetapi dengan lebih mendalami idea-idea yang sama mengenai ruang dan masa, dan juga struktur, yang tidak dipelajari sebelum ini. Kami menghabiskan banyak masa dalam menganalisis hasil karya masing-masing, serta mengkaji sama ada sesuatu karya itu mendatangkan kesan-kesan yang diingini oleh koreografer.

Apakah metodologi penghasilan kreasi anda?

Saya selalu bermula dengan pendekatan “teater tari”. Saya memerlukan jalan cerita, watak, emosi, bersertakan dengan pergerakan yang tidak terlalu abstrak, supaya saya sebagai pencipta tari boleh lebih mendekati penonton. Karya pengijazahan akhir bagi Ijazah Sarjana saya dinamakan Folks. Karya tersebut mengenai seorang bapa, ibu, abang dan kakak, serta ketegangan yang wujud di dalam sesebuah keluarga, terutamanya berkaitan dengan kuasa patriarki.

Namun saya mula tertanya-tanya sama ada pendekatan ini terlampau bersifat terus. Apakah kepentingan tari jika hanya untuk menceritakan sesuatu? Mungkin lebih baik saya menceritakan sesuatu melalui penulisan atau perancangan televisyen. Salah seorang pensyarah bertanya kepada saya, “Kenapa menggunakan tari? Apakah yang boleh dilakukan melalui tari dan tidak boleh digantikan dengan bentuk-bentuk seni yang lain? ” Kini, saya memang berminat dengan penggunaan kemampuan fizikal seseorang individu yang unik untuk merakamkan ekspresi yang mendalam.

Oleh demikian, saya semakin tidak mementingkan penghubungkaitan terus yang dilakukan oleh para penonton ke atas karya koreografi saya. Malah saya ingin memulakan pengkaryaan dengan sesuatu idea, tetapi mewajibkan tari sebagai medium pengkaryaan hasil perkembangan daripada idea tersebut, dan bukan hanya merealisasikan apa yang saya ingin.

Bagaimana keadaan pengkaryaan anda baru-baru ini?

Merujuk kepada pengalaman bekerjasama dengan Ashley Dyer [produksi SK!N, yang dihasilkan oleh Terry & TheCuz sempena George Town Festival 2015], beliau sangat menekankan penelitian sesuatu gerak; bagaimana sesuatu gerak itu boleh menjanakan imej atau rasa, yang boleh menghasilkan gerakan seterusnya, yang boleh menjanakan imej atau rasa yang lain. Metodologi tersebut adalah berbeza dengan kaedah konvensional yang bermula dengan sesuatu idea yang spesifik dan menjanakan bahan material yang berkaitan dengan idea tersebut, dan kadang-kadang bahan yang dijanakan adalah terpaksa dan tidak dapat menyampaikan idea tersebut. Dalam kes seperti ini, saya selalu tertanya-tanya, kenapakah bahan-bahan material tersebut tidak efektif? Sebaliknya, kaedah pengkaryaan Dyer mengambil masa untuk memerhati dan merenung kembali, mencerminkan, dan meneliti seberapa banyak yang anda boleh lakukan dengan hanya satu gerakan tunggal, dan bukannya penciptaan satu juta pergerakan.

Justeru dalam pengkaryaan saya terkini, After Dark [sempena KL International Performing Arts Festival pada bulan September 2015], saya telah hanya memilih satu subjek untuk dimanipulasikan, iaitu tikar – kami bermain-main, mewujudkan tugasan, dan menjana material berdasarkan tikar sehingga para penari tidak dapat tahan lagi! Kemudian saya merenung kembali kepada bahan material, untuk mengenal pasti apa atmosfera dan apa perhubungan yang telah dijanakan. Dalam pada itu, pasti ada perkaitan yang tertentu dengan mimpi, tetapi apa jenis mimpinya? Mimpi baik atau buruk?

Proses pengolahan tersebut adalah mencabar bagi para penari, kerana tugas-tugas yang saya berikan kepada mereka adalah sangat luas dan terbuka, dan kadang-kadang menyebabkan mereka berasa kosong, “tersesat” dan hilang hala tuju. Mereka kadang-kadang berkata, “Jika anda memberitahukan apa yang anda mahukan, saya boleh usahakan kemahuan anda.” Namun, pada saya, jika saya boleh memaklumkan anda apa yang saya inginkan, maka saya sudah kenal pasti kemahuan saya! Secara perlahan-lahan, penari semakin biasa dengan metodologi pengkaryaan ini: menghasilkan sebanyak bahan material yang boleh dan kemudian mengurangkan pilihan material.

Metodologi ini merupakan satu cara yang memutarbalikkan kaedah lama pengkaryaan saya yang bermula daripada menentukan sesuatu tema, membayangkan apa yang saya mahu daripada penari untuk mengekspresikan tema tersebut, dan kemudian menetapkan struktur pada badan-badan penari. Metodologi baru ini merupakan satu perjalanan alternatif untuk memikirkan tari. Metodologi baru ini tidak merangkumi satu pendekatan sahaja, iaitu pendekatan cara koreografer – tapi boleh membekalkan pelbagai cara!

Adakah anda sentiasa menggunakan penari untuk menjana bahan material anda?

Pada mulanya saya sendiri akan menjanakan bahan material dan memindah bahan material tersebut kepada penari secara perlahan-lahan, tetapi proses ini tidak berhasil. Saya memiliki cara bergerak yang tersendiri. Dengan membekalkan latihan pengukuhan teknik tari kepada mereka [para penari DPAC perlu menghadiri kelas teknik tari tiga hari seminggu], saya boleh menggunakan metodologi pengkaryaan yang lama. Tetapi saya mahu para penari mempunyai kebebasan untuk bergerak, dan bukan hanya melakukan imitasi sepenuhnya ke atas saya. Mereka perlu mencari nafas dan momentum yang tersendiri, melalui pergerakan.

Kini saya ingin kembali dan hanya menerokai pada badan saya sendiri. Pada tahun ini, saya telah berhenti pengkaryaan koreografi dan tidak menghasilkan sebarang kreasi, setelah beberapa tahun yang amat sibuk. Saya berasa bahawa saya telah melakukan banyak kerja, tetapi kenapa? Dan apa kesannya?  Kini, saya ingin menghasilkan satu karya solo untuk saya sendiri. Saya telah banyak menghabiskan masa pengkaryaan untuk orang lain, bukan untuk saya sendiri, dan saya berasa seolah-olahnya saya sedang mengalami kehilangan diri sendiri. Saya telah menjemput koreografer tetamu untuk menghasilkan karya bagi kumpulan penari saya tahun ini.

Saya masih tidak mempunyai idea yang ditetapkan untuk persembahan solo saya. Saya telah memberi tugasan-tugasan yang tertentu kepada diri saya, dan cuba meneliti perkara-perkara yang berkaitan. Saya sedar bahawa saya ialah individu yang sangat analitikal, dan analisis sebenarnya boleh menghalang daya kreasi! Lebih banyak anda menganalisis, lebih banyak anda merasa bahawa segala-galanya adalah tidak perlu, kerana ia tidak akan berhasil. Untuk memotivasikan daya kreasi sendiri, anda perlu mengetepikan analisis semasa latihan.

Adakah anda bergantung kepada mana-mana pihak untuk maklum balas? Pernahkah anda terfikir ingin bekerjasama dengan seorang dramaturg?

Masih tiada sesiapa yang membekalkan maklum balas untuk masa terkini. Memang sukar untuk mendapat maklum balas yang benar untuk karya saya. Semua orang hanya menyatakan, “Syabas!” dan terus bergerak. Baru-baru ini saya mendapat beberapa ulasan yang negatif daripada Richard Chua dan Lim Soon Heng, untuk hasil karya saya I See Skies of Blue tahun lepas, dan saya berfikir, “Akhirnya, saya boleh mendengar sesuatu!”

Saya bercadang untuk bekerjasama dengan seorang dramaturg untuk persembahan solo saya, kerana pandangan mata daripada pihak luar adalah sangat diperlukan dan penting apabila anda sedang melakukan sebuah kreasi solo. Mungkin seseorang seperti [Loh] Kok Man, boleh membawa perubahan yang tertentu dalam konteks persembahan teatrikal.

Apakah pendekatan lain yang telah anda tahu, yang memberi inspirasi kepada anda?

Saya sangat diinspirasikan oleh buku The Empty Space, daripada Peter Brooke, mengenai konsep tanggapan sesuatu pentas yang terdedah. Apabila anda menambah satu elemen tunggal – satu badan atau satu kerusi di pentas – elemen itu menghasilkan penceritaan dengan ketegangan yang berbeza. Saya ingin mewujudkan ketegangan hanya dengan bermain dengan elemen ruang. Idea-idea ini tidak begitu bersifat “tarian”. Saya ingin memerhatikan bagaimana perubahan yang paling minimum boleh menjana kesan yang maksimum pada imaginasi. Sebagai contoh, dalam satu karya, pemain persembahan telah memanipulasikan batang kayu yang mudah, untuk mewujudkan keadaan hutan atau istana. Saya tertanya-tanya: Bolehkah kami menggunakan badan dengan cara begini untuk menghasilkan imej objek-objek yang berlainan?

Apakah jenis kualiti penari yang anda cari?

Saya menganggapkan diri sedang mencari badan-badan yang ‘organik’, tetapi ‘organik’ bukanlah satu istilah yang memuaskan. Dengan merujuk [Lee] Ren Xin sebagai contoh – apabila beliau beraksi terhadap tugasan, beliau menghasilkan pergerakan-pergerakan yang tidak dapat saya bayangkan, tetapi masih memenuhi keperluan tugasan. Saya tidak mahu penari saya bergerak dengan cara yang tertentu sahaja, tetapi kebanyakan penari memberikan jenis respon yang sama, jenis pergerakan yang sama. Mereka menganggap bahawa setiap tugasan yang melibatkan lompatan harus mendarat di lantai.

Kehadiran  (presence) adalah sangat penting. Tetapi bagaimana anda mengajar kehadiran? Ini adalah satu perkara yang sangat kompleks, tetapi masih dimiliki oleh beberapa penari – mereka hanya berdiri di hadapan penonton, dan anda boleh merasai sesuatu sedang berlaku di sana; anda boleh merasai dunia yang mendalam. Manakala sesetengah penari pula yang berdiri boleh menyebabkan anda menganggapkan mereka sedang berfikir, “Saya berdiri di sini kerana koreografer mengarahkan saya berdiri di sini.”

Ya, kualiti kehadiran adalah sangat sukar diajar, lebih susah daripada mengajar koreografi!

Kebolehan menganalisis kreasi-kreasi yang lain tidak bermakna anda berkebolehan menghasilkan kreasi sendiri. Pengkaryaan seharusnya kembali kepada cara bagaimana anda hidup dan berfikir, untuk bahan material. Maka, anda boleh mempelajari metodologi, tetapi metodologi bukan satu kemahiran koreografi sepenuhnya.

Semasa di TNUA, saya berpeluang menyertai makmal koreografi (choreographic laboratory) di Austria. Mereka mengamalkan praktikal improvisasi, dan sebahagian besarnya berdasarkan khusus tapak (site-specific). Mereka turut menawarkan kursus dalam bidang psikologi, muzik dan apa-apa sahaja yang kelihatan tidak berkaitan dengan tari, tetapi SEGALANYA adalah berkaitan dengan tari pada hakikatnya. Semua pengetahuan yang baru dijanakan daripada improvisasi.

Persoalan akhirnya adalah: menghasilkan koreografi atau tidak? Berapa banyak anda ingin terlibat dalam persembahkan koreografi? Bagaimana anda boleh mempersembahkan hasil karya kamu sebagai satu koreografi, dan bukan hanya melancarkan kemahiran koreografi anda untuk pengkaryaan?

Sekarang saya ingin bertenang dan mencari inspirasi daripada diri sendiri, daripada Malaysia, untuk menghasilkan kreasi saya. Saya tidak mahu idea “Ke-Malaysia-an” secara terpaksa, saya tidak mahu menggunakan unsur-unsur tradisional semata-mata untuk memaparkan tradisi. Saya mahu identiti yang tertentu hadir kepada saya secara semula jadi daripada diri saya, daripada sejarah saya, dan daripada kehidupan saya pada hari ini, dulu dan akan datang.

Orang lain mungkin berfikir bahawa saya ialah seorang artis yang matang, kerana saya telah menari selama bertahun-tahun. Namun dalam koreografi saya masih muda! Saya masih berubah. Saya menikmati fleksibiliti ini dalam metodologi koreografi saya, yang membenarkan saya menerokai pelbagai perspektif yang berbeza dan mencari kemungkinan melalui pengkaryaan saya.

JS Wong melakukan, mencipta dan berfikir tentang tarian. Lebih

Untuk menghubungi JS: jsjjsjjjs@gmail.com

Bilqis Hijjas menulis, menghasil, mempersembahkan dan mengajar tentang tari kontemporari di Malaysia. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
; kldancewatch.wordpress.com

Foto utama: Para penari DPAC Dance Company dalam I See Skies of Blue di DPAC Theatre, Petaling Jaya, 17 Disember 2014. ©  Shawn Ng

Skip to content