Penari Dua Space Dance Theatre, Lim Hong Jie, berkongsi pengalamannya dalam pengkaryaan Men and Women are Seeking for LOVE yang baru-baru ini dilangsungkan pada 28–31 Mei 2015 di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre.  

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Cina.

 

Men and Women are Seeking for LOVE, satu pementasan karya koreografi tari kontemporari baru-baru ini, telah pertama kali menjemput koreografer tempatan Suhaili Micheline untuk bekerjasama dengan pengarah artistik Aman Yap, demi menerokai tema “cinta” daripada pelbagai perspektif.

Perbahasan mengenai cinta tidak boleh lari daripada peranan golongan lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita dalam era terkini mempunyai cara yang tersendiri untuk memperolehi cinta. Sesetengah orang amat bahagia dan bertuah kerana dapat berjumpa dengan kekasih sejati, ada yang masih mencari-cari dengan seumur hidup, ada yang terjumpa tetapi mengambil keputusan untuk meninggalkannya, ada yang masih mencari-cari lagi walaupun telah memilikinya, ada pula yang ditakdirkan tidak akan dapat menjumpainya… Aman Yap menghasilkan karyanya bermula daripada idea “mencari cinta” sebagai asas, dan kemudiannya berkembang ke peringkat pertemuan, dating, perkahwinan dan seterusnya.

Ditakdirkan dapat bertemu dengan satu-satu kekasih sejati di kalangan ribuan manusia, kemudian berkahwin dan hidup dengan bahagianya – ini merupakan satu kisah dongeng! Dalam realiti, pertemuan, percintaan, dan perkahwinan yang kelihatan romantis tidak semestinya menjamin kehidupan berpasangan yang bahagia. Karya tari kontemporari kisah cinta ini bermula daripada pertemuan antara dua individu di LRT yang kemudiannya bercinta, berkahwin, tetapi masih menjalinkan hubungan sulit masing-masing. Naratif yang mementingkan kenikmatan nafsu peribadi pasangan suami/isteri yang tersembunyi itu dipersembahkan melalui taridra yang lucu. Penonton yang responsif berbalas dengan ketawa. Namun pada masa yang sama, perihal keraguan dan kesetiaan terhadap pasangan kekasih di kalangan penonton turut dibangkitkan.

Dalam era kontemporari ini, cinta tidak hanya berlaku di antara lelaki dan wanita yang binari sahaja. Suhaili membolehkan salah seorang penari lelakinya memakai gaun perkahwinan. Penari tersebut mengayun-ayunkan skirtnya sambil bermimpi bahawa dirinya ialah seorang pengantin yang berada di dalam majlis perkahwinan. Penari tersebut tetap kuat memegang jambak bunga di tangan seperti menaruhkan harapan yang terakhir walaupun gaun putihnya ditanggalkan secara beransur-ansur oleh barisan penari yang sengaja mengacaukan. Kemudian, dia bertindak liar dalam majlis perkahwinan itu, seperti telah berputus asa terhadap harapan terakhir dirinya yang selama ini dipegang teguh dan yakin. Akhirnya dia mengambil keputusan supaya tidak mencari-cari lagi. Dia menjatuhkan bunga, meninggalkan orang ramai, dan menyerlah kepada takdir yang menentukan ketibaan cintanya.

Produksi ini adalah istimewa disebabkan hasil kolaborasi di antara dua koreografer yang unik dan berbeza gaya. Dalam pada itu, barisan penari turut menghadapi cabaran yang besar dari segi gaya pergerakan dan kaedah koreografi yang berbeza, serta penghubungkaitan dan pewajaran emosi diri penari dengan karya tersebut.

Dari segi pergerakan fizikal, Aman Yap masih mengutamakan teknik pelancaran gerak yang mengalir secara konsisten. Beliau turut menjelaskan konsep kandungan yang diingini secara langsung dan ringkas. Barisan penari yang lama dilatih olehnya boleh memahami, menginterpretasi dan mempersembahkan material koreografinya dengan mudah. Barisan penari yang biasa dalam mempersembahkan taridra atau muzikal sering mempamerkan emosi melalui ekspresi muka. Namun, kali ini Aman Yap mahu penari mengurangkan ekspresi muka dan mendalami sesuatu emosi itu sehingga boleh dipersembahkan melalui badan fizikal. Pada mulanya, kami berasa tidak selesa kerana sentiasa mengingatkan diri supaya tidak melakonkan ekspresi muka – tumpuan untuk mengurangkan ekspresi muka yang keterlaluan juga menyebabkan kami kurang fokus terhadap tarian kami. Penari harus mencari-cari keseimbangan di antara paparan emosi dan pergerakan. Saya memilih untuk membiarkan emosi diri dipamerkan di muka secara semula jadi (tetapi tidak berlebihan), dan lebih mengutamakan keberlangsungan pergerakan fizikal saya. Keadaan tersebut membolehkan saya memperhatikan diri saya secara jelas dan sedar.

Suhaili menggabungkan siri pergerakan yang rumit untuk dijadikan satu kombinasi yang pantas, dan membenarkan para penari mengalami pelaksanaan gaya pergerakan yang berbeza. Mengubahkan cara gaya kebiasaan penari yang berteraskan teknik pengaliran adalah cabaran yang paling besar di antara Suhaili dan penari (kepantasan gerak turut merupakan masalah yang besar!). Pada mulanya, beliau meminta pendapat daripada para penari mengenai “cinta” dan “perkahwinan”. Pendapat yang diungkapkan dalam bentuk tulisan kemudiannya dimasukkan dengan perekaan pergerakan untuk setiap karakter, huruf atau ton bunyi (kadang-kala termasuklah tanda-tanda baca). Motif gerak yang direka seterusnya digabungkan menjadi komposisi frasa gerak yang lebih panjang. Kaedah koreografi tersebut bukan sesuatu yang baru. Namun, permintaan Suhaili dalam perekaan motif gerak yang kelihatan pelik, serta masa pelaksanaan pergerakan yang sangat pantas adalah amat mencabarkan!  Selain itu, Suhaili mengamalkan kaedah koreografi yang bersifat pemecahan – serpihan-serpihan gambaran imej yang berkaitan dengan topik yang sama, dipaparkan secara serentak dan bertindih. Komposisi sebegini secara keseluruhan boleh menyebabkan penari berasa hilang dalam kesinambungan perkembangan di antara babak dengan babak. Justeru, penari harus memenuhi permintaan daripada koreografer, dan cuba terus memasuki ke satu alam yang baru daripada alam sebelumnya tanpa melalui peralihan emosi yang sengaja dibangunkan. Saya mempercayai bahawa pengkaryaan sebegini menyukarkan penghubungkaitan emosi dan interpretasi pengalaman peribadi penari dengan hasil karya – termasuk juga dengan penonton. Walau bagaimanapun, karya beliau memaparkan imej-imej daripada kehidupan sebenar, seperti kebosanan yang dialami pengantin perempuan sambil memakai gaun, perbualan bosan sepanjang majlis makan malam, semangat membara yang lusuh setelah bertahun-tahun menghabiskan masa bersama-sama – cerita-cerita yang membolehkan kami mempunyai  pemahaman yang lebih mendalam terhadap karya.

Bab terakhir dinamakan “Selama-lamanya”. Seperti namanya, matlamat ideal kesemua cinta adalah untuk memperolehi keindahan kepunyaan dan penuaan bersama-sama. Untuk memaparkan gambaran cinta yang kolot dan naif ini, Aman membiarkan penari memakai rambut palsu, lampin dan baju tidur longgar untuk menyamarkan segolongan orang tua, yang sedang meluangkan masa di taman. Ada orang tua yang melakukan senaman di taman, ada yang melatih tai chi, ada yang tidur di atas bangku, dan ada pula yang menarikan tarian hip-hop tetapi jatuh cedera. Suasana tersebut seolah-olah kelihatan tenang dan indah. Namun persoalannya adalah kenapa mereka merayau bersendirian? Bukankah mereka sepatutnya sedang menikmati kehidupan kekeluargaan? Akhir sekali, saya memegang bingkai foto besar dan duduk di atas bangku. Saya menyentuh muka kekasihku dengan tangan, dan mengeluh dengan penuh kenangan. Tiba-tiba, saya mengalami satu kesedihan yang tidak dapat diterangkan, mata saya mulai kabur …

 

hongjie-90Lim Hong Jie adalah seorang penari profesional di Dua Space Dance Theatre. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
hongjie86@gmail.com

 

Foto utama: Syafizal Syazlee [kiri] dan Christine Chew in Men and Women are Seeking for LOVE, Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Mei 2015. Foto © KK Wong