Pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 di Malaysia, penari SueKi Yee menemui jalan yang menakjubkan untuk menghasilkan karya tari dalam talian.

Esei SueKi pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada masa yang sangat aneh bagi saya; ia menimbulkan perasaan kebiasaan yang membingungkan kerana saya baharu telah pulih daripada pembedahan rekonstruksi ACL (anterior cruciate ligament) sejak Julai lalu. Pemulihan itu adalah sukar. Saya tidak pernah mengambil masa yang begitu lama untuk berhenti daripada menari (atau bergerak secara umumnya), dan saya juga tidak pernah dipaksa supaya mempunyai ruang dan masa yang banyak untuk berfikir; ia telah mendorongkan saya untuk menilai diri saya semula dan hubungan saya dengan tari.

Walau bagaimanapun, setelah menjalani fisioterapi selama berbulan-bulan, saya teruja untuk kembali semula ke bidang persembahan, pengkaryaan dan pengajaran. Semuanya berjalan dengan lancar – namun, apabila PKP diumumkan bermula pada 18 Mac. Saya berasa tiba-tiba semuanya terhenti, seperti saat semasa saya mengoyakkan ACL saya, dengan masa depan yang ngeri seolah-olah bertanya, “Apa sekarangnya?”. Saya bergelut sekali lagi untuk berfikir bagaimana meneruskan perjalanan saya sebagai artis tari.

Saya menggunakan mekanisme penanganan yang sama, dengan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas pemulihan ACL saya. Pada ketika itu, saya telah dibenarkan untuk bergerak sepenuhnya (seperti melompat yang sebelumnya dilarangkan), tetapi masih susah untuk beralih daripada latihan fizikal yang teratur ke latihan tari, kerana ia melibatkan pengaktifan dan koordinasi otot-otot yang khusus daripada pelbagai sudut anatomi. Ia juga merupakan satu masa di mana tari telah berpindah ke dalam talian, sama ada kelas atau persembahan, maka saya tiba-tiba berpeluang untuk mempelajari banyak perkara. Setelah berehat sekian lama, saya berkeinginan untuk bergerak dan berjiwa. Namun, saya berasa amat bertuah kerana mempunyai ruang pergerakan di rumah. Dengan peluang yang tiba-tiba saya perolehi, saya mulai berlatih secara teratur di “ruang studio” saya, dengan menggabungkan kaedah pelaziman badan, teknik tari dan improvisasi. Amalan latihan ini, dengan dorongan daripada melihat seniman lain masih kekal melakukan kreasi dalam tempoh penyekatan, membawa kepada pelbagai siri projek yang tidak dijangkakan.

Salah satu perkara yang saya terokai adalah perbendaharaan pergerakan saya, yang “kembali” ke kebiasaan pergerakan tertentu, dan juga mencari cara baharu untuk bergerak. Saya banyak menari secara berseorangan dan begitulah lahirnya projek peribadi pertama saya, “Dancing for __”; saya meneliti perbezaan antara menari untuk orang lain berbanding hanya untuk diri sendiri. Saya menerangkan peraturan projek di Instagram; sesiapa sahaja boleh menghantar muzik kepada saya untuk improvisasi, dan saya akan memaparkan video klip pada Instagram Stories saya. Saya juga ingin mencabar diri saya dengan berinteraksi dengan sesuatu yang “tidak dikenali” – dalam kes ini, pelbagai jenis muzik, yang kebanyakannya saya tidak mungkin pilih! Daripada muzik tradisional Bali, ke dubstep, ke soundtrack permainan video, karya-karya muzik ini memberi inspirasi untuk menjanakan kemungkinan baharu dalam perbendaharaan pergerakan dan kualiti fizikal. Selama beberapa minggu, saya menyelesaikan sejumlah 63 permintaan.

Menari untuk orang lain adalah satu perkara, manakala menari dengan orang lain adalah perkara lain; saya terutamanya rindu bekerjasama dengan orang lain. “Multidancing” adalah satu percubaan untuk memecahkan tabiat koordinasi yang saya teringin mengkaji semula setelah mencuba bertahun-tahun yang lalu. Rakan-rakan penari dan saya berusaha melakukan “multitask” dengan urutan koreografi yang ditetapkan secara berasingan oleh individu yang berlainan untuk pelbagai bahagian badan. Kami bekerjasama dengan dua penari pada satu masa yang sama (walaupun eksperimen ini secara teorinya boleh dilakukan dengan banyak penari pada masa yang sama) dan kami akan memutuskan bagaimana kami akan “membelah” badan dan apakah struktur kombinasi itu. Kami kemudian saling mengajar urutan kami melalui Zoom atau bertukar-tukar video pengajaran, sebelum mencuba “multidancing”. Pada awal proses, kami berasa seperti ingin menggosok gigi dengan tangan kiri sambil menulis dengan tangan kanan. Cabaran seterusnya adalah untuk mewujudkan satu kebijaksanaan koordinasi yang baharu. Proses ini menimbulkan banyak pertanyaan dan pilihan tentang penempatan berat badan, arah, sudut, penyesuaian ruang antara bahagian-bahagian badan, atau penelitian nuansa dalam muzik atau pergerakan. Ia adalah satu perkara yang menarik untuk memerhatikan bagaimana kecenderungan atau keputusan badan yang berbeza menghasilkan gaya pergerakan peribadi yang berbeza.

Kolaborasi yang lebih komprehensif saya lakukan adalah “Soliloquy: A Dance Film” bersama komposer piano, Rachel Morais. Pada bulan Februari, saya teringin berkarya dengan salah satu hasil muzik Rachel Morais yang sangat mengharukan, “Soliloquy”, untuk satu pementasan yang akhirnya dibatalkan. Saya belum bermula koreografi tersebut, tetapi saya telah mempunyai imej dan konsep yang tertentu di dalam fikiran saya. Semasa PKP, kami berdua memutuskan untuk melakukan sesuatu bersama. Saya berasa sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Rachel, terutamanya disebabkan saya kurang berpengalaman dalam bidang produksi.

Semasa dalam tempoh kuarantin, kami hanya memiliki apa yang sedia ada di rumah, maka kami membeli lampu limpah melalui talian, menggunakan selimut sebagai penapis cahaya, dan mencuba pelbagai seting filem di rumah. Kami merakamkan babak-babak individu kami (Rachel berpusat di Australia) dan saling mengemaskini melalui perkongsian bahan kami dalam talian dan melalui perbincangan maya. Adik saya Heng Yeh, yang bertugas sebagai jurukamera dalam kebanyakan projek PKP saya, merakamkan babak-babak saya, sementara Beth Hughes, jurukamera Rachel di Brisbane merakam babak-babaknya dan menyunting produk video akhir. Kami juga bernasib baik kerana menerima bantuan dana daripada Create Now Fund yang dikelolai oleh CENDANA (Cultural Economy Development Agency).

Karya pendek lain yang dihasilkan semasa tempoh kuarantin adalah “ceXsored”, yang melihat kepada penapisan ke atas badan. Ini bermula daripada wawancara yang bertemakan “Batasan” bersama Shanita Lyn Kumar, editor Brazen Magazine. Saya pernah mengadakan eksperimen dengan idea yang berkaitan dengan had/batasan semasa pengkaryaan “BIND: A State of Mind” yang dipentaskan di KongsiKL pada bulan Mei 2019. Oleh disebabkan wawancara itu dilangsungkan melalui Zoom, Shanita tidak dapat menjalankan penggambaran foto seperti dirancangkan, maka beliau mencadangkan supaya saya melaksanakan projek ini di rumah dan berkongsi perkembangan yang terkini kepadanya. Kami juga bersetuju tidak mengabaikan kemungkinan bagi menghasilkan klip video pendek, kerana ia akhirnya akan diterbitkan di majalah dalam talian. Idea itu berkembang, dan sebelum kami sedar, kami telah memiliki sebuah video selama lima minit.

Secara kebetulan, saya nampak satu panggilan terbuka untuk edisi musim panas SEASONING oleh United Cowboys’ Art House di Eindhoven, dengan tema “Skin”. Art House tersebut biasanya menganjurkan residensi seniman, namun disebabkan oleh pandemik, mereka telah memutuskan untuk mengadakan panggilan terbuka melalui hantaran video. Saya menghantar “CeXsored” dan ia telah dipilih untuk pameran, yang berlangsung tidak lama selepas karya ini pertama ditayangkan secara dalam talian di Brazen Magazine, berserta dengan wawancara mengenai perjalanan tarian saya dan kreasi saya terbaru. “CeXsored” kemudian juga dipilih untuk International Forum of Performance Art di Greece.

Kadang-kadang salah satu daripada projek-projek ini akan membawa kepada kewujudan projek lain. Salah satu karya tersebut adalah “Are we there yet?”. Titik permulaannya adalah daripada Selfie in 3 Minutes, satu kolaborasi seni video hasil daripada Tilik Sarira (Indonesia) dan Anomalist Production (Malaysia). Kolaborasi ini menjemput 32 artis daripada pelbagai disiplin, dan masing-masing merakamkan diri mereka dalam melaksanakan tugasan-tugasan pilihan mereka. Rakaman klip-klip video ini kemudian disunting menjadi tiga video yang setiapnya mengambil masa 10 minit. Projek ini fokus kepada aktiviti harian, dengan melihat kepada apa yang dianggap “sehari-hari”, dan mempersoalkan keadaan yang dianggap normal, kerana makna normal kini telah berubah ekoran daripada kuarantin. Salah satu tugas adalah untuk membayangkan semula sesuatu objek harian. Saya menyematkan stoking saya dari hujung ke hujung dan memakainya sebagai satu selendang panjang yang pelik. Saya kemudian terinspirasi untuk memakai satu atau dua stoking ini, dan mula menerokai jarak dan hubungan antara bahagian-bahagian badan yang memakai stoking. Manipulasi “ular stoking” ini menarik minat saya.

Kurang dari dua minggu kemudian, pengarah Festival Cuerpo al Descubierto, di mana saya pernah mempersembahkan solo di Mexico tahun lalu, telah menjemput saya sebagai peserta festival. Festival tersebut telah dipindahkan ke atas talian tahun ini. Dengan idea yang sudah wujud di fikiran saya, saya mencari-cari stoking lama dan kain-kain yang tidak digunakan lagi, untuk dijahitkan menjadi “ular” yang lebih bertahan dan sesuai dipakai di atas kaki atau tangan saya, yang membawa kepada penjanaan pergerakan ulangan ikat dan buka ikatan. Melakukan improvisasi dan penerokaan dengan cara ini adalah sangat menyeronokkan, tetapi ia amat sukar untuk mengingati kembali bagaimana sebenarnya urutan pergerakan yang telah dilakukan, bagi tujuan menetapkan koreografi, dan menelitikan semua perincian untuk mengulangi proses “ikatan” yang sama setiap kali. Karya ini dirakam dan ditayangkan di festival maya ini berserta dengan wawancara saya bersama Jaime Soriano daripada DanzaNet.

Satu lagi persembahan dalam talian yang saya sertai adalah “Artists in Solidarity”, yang menjemput beberapa artis untuk menghasilkan karya mengenai pelucutan senjata nuklear. Persembahan dalam talian tersebut adalah sebahagian daripada sebuah gerakan sosial yang besar, #DanceforNukeBan, yang dianjurkan oleh Tarinao (sebuah organisasi yang diasas dan diarahkan oleh artis tari Jia Xi Lee)) bersama Rakan TPNW (satu platform media sosial yang dilancarkan oleh Soka Gakkai Malaysia). #DanceforNukeBan berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pelucutan senjata nuklear, terutamanya dalam menyokong Malaysia untuk meratifikasikan Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons. Saya bekerjasama dengan pereka suara Chua Sek Khim dan hasil karyanya “White Light” untuk menghasilkan video tari yang bertajuk “Fragility”. Saya cuba menerokai fokus dan pergerakan rakaman kamera, pergerakan sumber cahaya dan bayang-bayang, serta imej yang bertindihan. Seperti proses pengkaryaan untuk “Soliloquy”, kesedaran ke atas kewujudan “mata” kamera adalah sesuatu perkara yang agak baharu bagi saya dan ini merupakan satu pertimbangan yang lain dalam proses penciptaan. 

Kogeomefi merupakan satu lagi projek kolaborasi yang dianjurkan oleh pengarah-koreografer Ferry Cayho Nugroho dari Indonesia. Beliau menjemput orang ramai untuk menghantar foto badan-penuh diri mereka atau orang lain yang sedang menari atau bergaya. Untuk setiap video (pada saat penulisan, terdapat 22 video), beliau akan menerima sepuluh penghantaran foto dan meminta seorang pemuzik untuk menggubah sebuah lagu yang asli dan seorang penari untuk menghubungkan sepuluh gaya di dalam foto-foto tersebut demi menjadi satu koreografi pendek. Dalam pada itu, peraturan-peraturan tambahan dikenakan; sebagai contoh, warna baju di dalam foto menentukan pergerakan peralihan. Saya terlibat dalam edisi kelima, dan bekerjasama dengan pemuzik Etza Meisyara, editor Zulfikar, dan sepuluh koreografer-kolaborator yang telah menghantar foto. Mengambil kira begitu banyak peraturan pra-syarat koreografi, ia adalah satu cara yang sangat “mudah” untuk melepaskan diri saya daripada corak pergerakan biasa, di samping masih mengekalkan kebebasan dalam pengkaryaan.

Satu kolaborasi video tari yang saya terlibat dalam ialah “ChOReO-iNstAnt”, satu platform improvisasi yang dianjurkan oleh Rithaudin bin Abdul Kadir, Galih Mahara dan Gatot Gunawan. Kolaborasi ini dipersembahkan sempena World Dance Day Parade, dan menampilkan 39 seniman tari, seorang narator-penyair, dan lima pemuzik. Terdapat juga satu video deklamasi puisi oleh Aiman Aliff iaitu “Dancing on a slow-moving train,” yang menampilkan lima penari dan seorang pemuzik. Projek ini dihasilkan sebagai reaksi terhadap kuarantin dan keadaan dunia kita pada masa itu.

Menghasilkan karya secara dalam talian masih merupakan satu penjelajahan yang penuh dengan perasaan ingin tahu, sama ada di dalam proses/kaedah kolaborasi, bahantara, atau platform persembahan. Terdapat banyak potensi dalam arah hala tuju ini, dan ia memberi inspirasi kepada saya apabila melihat begitu ramai seniman melakukan eksperimen di merata-rata. Ini mengingatkan saya bahawa kita sering berkarya untuk meluahkan pelbagai ekspresi, dan, walaupun ianya sangat rumit, kita semua sedang berupaya dalam situasi ini bersama-sama. Kini, banyak perdebatan telah berlaku mengenai kejadian peralihan tarian ke dunia digital, mengenai berapa lamanya peralihan ini mungkin terjadi, dan apakah implikasinya. Secara peribadi, saya masih lebih suka berinteraksi secara nyata untuk kolaborasi, kelas dan persembahan. Tiada yang sama seperti pertukaran tenaga di kalangan individu, sama ada rakan penari atau penonton. Terdapat limitasi yang menghalangkan penyampaian mesej kami melalui layar. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat menahan diri daripada membayangkan bagaimana penghasilan sebilangan besar projek saya semasa PKP adalah disebabkan peralihan kita semua kepada kaedah-kaedah atau platform-platform alternatif ini. Golongan artis yang lain mungkin mempunyai batasan mereka sendiri, tetapi mereka juga memperolehi lebih banyak peluang untuk kolaborasi kerana jarak geografi kini bukan lagi satu faktor penghalang. Saya turut dicabar untuk mempertimbangkan aspek-aspek lain dalam pengkaryaan tari, selain daripada hanya perekaan pergerakan. Ini menyebabkan saya mempercayai bahawa penerokaan ke atas alternatif-alternatif seperti ini boleh mempelbagaikan lagi pilihan dan kemungkinan untuk kita.

SueKi Yee merupakan seorang penari, koreografer dan pengajar.  Lebih

Anda boleh mengikutinya di Instagram di @suekinotsukie.

Foto utama: “Soliloquy” (2020). © Yee Heng Yeh

Skip to content