Suhaili Micheline meninjau kembali pengalamannya dalam perekaan Pendatang Pampers.

Pendatang Pampers dihasilkan untuk menerokai interaksi dan kerentanan di antara badan-badan dan tenaga maskulin di dalam satu ruang. Senario-senario pengalaman kehidupan individu dalam menghadapi ego dan ketakutan mereka diluahkan dalam bentuk bertulis dan kemudian diterjemahkan ke dalam penerokaan pergerakan. Contoh-contoh pengungkapan yang diluahkan adalah seperti “saya tidak tahu”, “saya tidak mempunyai masa”, “saya memerlukan masa” dan “saya minta maaf”. Para penari berbincang secara mendalam mengenai reaksi semula jadi individu dalam menghadapi konfrontasi. Mereka kemudian melakukan improvisasi tindak balas badan kepada pertuturan pengungkapan atau manipulasi fizikal di dalam ruang. 

Hasil daripada proses ini membolehkan kami melihat kebenaran yang mentah dan reaksi “apakah-sekiranya” di kalangan penari apabila mereka terperangkap dalam jalan buntu kehidupan atau dalam sesuatu hubungan, yang akhirnya menyumbangkan kepada apa yang disaksikan oleh penonton semasa persembahan. Idea-idea yang dijanakan oleh setiap penari kemudiannya diubah menjadi solo, duet dan trio, satu keadaan di mana pencapaian penemuan diri yang intim tiba-tiba diganggu oleh orang lain dan tercetus tenaganya ke dalam ruang. 

Struktur persembahan ini mencerminkan naik turun satu perjalanan kehidupan, sama ada menghadapi perpisahan, kemurungan, atau konflik. Karya ini juga mempersoalkan bagaimana lelaki menangani harapan yang ditanamkan oleh masyarakat patriarki, yang berakar pada budaya dan tradisi. Ia juga melibatkan perbahasan yang kurang dikenali tentang maskuliniti: batasan lelaki, tekanan kewajipan dalam memainkan peranan sebagai penyelamat, dan bagaimana menunjukkan ciri-ciri kewanitaan tradisional seperti kepekaan dan emosi yang dianggap tidak diingini.

[Kiri ke kanan] Ng Yann Chwen, Tristen Zijuin, Lu Wit Chin, Joshua Gui, Pengiran Qayyum dan Steve Goh dalam Pendatang Pampers, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Januari 2020. © Ariff Aris

Permulaan karya ini menggunakan petikan muzik daripada repertoir balet klasik Swan Lake dan dipersembahkan dengan pembentukan formasi yang sangat tersusun. Para penari beralih dalam urutan seperti grid. Setiap penari mempunyai satu cara gaya jalan yang khusus dan ianya dikekalkan sehingga mereka sampai ke hujung lintasan dan jatuh menjadi timbunan, setiap satu ke atas yang lain.  Ini menyerupai perjalanan hidup di bumi yang satu dimensi, yang berakhir dengan kematian. Saya telah menggunakan muzik klasik Barat di dalam kebanyakan karya saya sebelum ini; kali ini, ia disampaikan dengan manipulasi lampin serta pameran tingkah laku dan keperibadian manusia yang menarik. Idea bagi persembahan segmen awal ini adalah untuk menyambut penonton, tetapi juga untuk menstereotaipkan golongan lelaki dan ego mereka melalui gerak isyarat yang aneh, dot bayi, stoking Uniqlo yang berwarna-warni, tali leher, tali leher kupu-kupu, dan tali bawat (suspenders). Para penari adalah seperti sekumpulan makhluk aneh yang berkumpul di atas pentas, seolah-olah mereka sedang melakukan satu upacara ritual rahsia, di mana mereka masing-masing berusaha untuk menunjuk-nunjukkan diri demi mengatasi yang lain.

Walaupun saya menikmati idea bermain dengan lampin, namun ia adalah sukar untuk membeli lampin baharu untuk hampir setiap latihan. Oleh kerana kami masih menerokai sebahagian besar pergerakan, kami menerokai idea pergerakan-pergerakan bayi seperti menggosokkan perut, sendawa, dan gerak-gerak isyarat “baby boss“, yang kemudiannya dilihat sebagai satu perakuan ke atas tingkah-tingkah laku lelaki yang terlalu biasa, yang sering digunakan sebagai cara-cara untuk menyembunyikan kelemahan atau untuk menunjukkan persetujuan mereka.

Penerokaan dan perekaan lanjutan difokuskan pada perasaan bangga dan ego, di mana kami berusaha untuk memastikan apa yang mendorongkan ego. Adakah ego sama sekali buruk atau hanya satu mekanisme bawah sedar yang cuba melindungi individu? Jika kebanggaan adalah satu pilihan yang sedar, yang manakah antara kebanggaan dan ego adalah kurang jahat? Seseorang yang ingin melindungi atau seseorang yang ingin menegakkan dominasi dan menyombongkan diri?

[Atas ke bawah] Steve Goh, Joshua Gui dan Ng Yann Chwen dalam Pendatang Pampers, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Januari 2020. © Ariff Aris.

Ini adalah satu perjalanan yang cukup panjang untuk membolehkan saya merenungkan proses kreatif Pendatang Pampers. Foto di bawah mencerminkan pemikiran saya ketika mendedahkan pengkaryaan saya – kesemberonoan, kegelisahan, dan tertanya-tanya adakah saya telah mengambil risiko yang tidak perlu. Mungkin ini adalah perasaan kebanyakan artis terhadap kehidupan. Ia menakutkan. Saya pernah menulis perkara-perkara sebegini ketika mendokumentasikan pengkaryaan saya sebelum ini. Terdapat banyak perkara yang anda boleh nyatakan dan telitikan tentang bagaimana anda boleh menjadikan karya itu dapat dipersembahkan. Namun, anda perlu mengambil langkah pertama tanpa mengetahui sebabnya. Segala-galanya hanya menjadi jelas selepas acara. Contohnya, setiap kali saya menonton persembahan Pendatang Pampers,saya mula menemui lebih banyak titik buta diri sendiri serta pola lama saya, dan mungkin juga yang baharu.

Joshua Gui [atas] dan Ng Yann Chwen dalam Pendatang Pampers, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Januari 2020. © Ariff Aris.

Tambahan lagi, dengan melihat melalui mata penari saya, saya mula menghubungkaitkan kisah mereka dengan saya dan seterusnya menemui diri saya yang baru. Menjelang akhir proses, karya ini membuat saya merasa lebih nyata – lebih manusiawi. Saya berasa bahawa karya yang disiapkan juga mencerminkan perasaan tersebut. Penerokaan yang lucu pada permulaan karya, iaitu pelaziman “penambahbaikan fantasi” saya, akhirnya diuraikan menjadi satu campuran emosi manusia yang tidak teratur.

Pengembaraan penciptaan Pendatang Pampers ini merupakan satu penjelajahan perasaan ingin tahu peribadi diri. Saya menyanjung para penari saya – perbincangan yang mendalam dengan mereka, sama ada melalui pengungkapan perkataan atau gerak badan, telah membuat saya lebih berpuas hati dan yakin dengan ketidakpastian dalam seni dan kehidupan.

[Belakang, kiri ke kanan] Steve Goh, Ng Yann Chwen, Tristen Zijuin, [depan, kiri ke kanan] Pengiran Qayyum, Joshua Gui, dan Lu Wit Chin dalam Pendatang Pampers, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Januari 2020. © Ariff Aris

Suhaili Micheline ialah seorang koreographer, penari dan pensyarah yang pernah memenangi Anugerah BOH Cameronian Arts .  Lebih

Anda boleh mengikutinya di Instagram di @suedanza.

Foto utama: [Atas ke bawah] Joshua Gui, Lu Wit Chin, Tristen Zijuin, Steve Goh, Pengiran Qayyum dan [kanan] Ng Yann Chwen dalam Pendatang Pampers, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Januari 2020. © Ariff Aris

Skip to content