Perjalanan saya dalam “Backbiting”

Graduan tari yang berkelulusan dari ASWARA, Douglas Labadin menikmati pengalaman mempersembahkan-semula sebuah karya tari pendek yang dihasilkan oleh Faillul Adam.

Saya pertama kali menonton “Backbiting”, sebuah karya Faillul Adam, pada tahun 2017. Sebagai seorang pelajar yang baru mula meneroka koreografi ketika itu, saya terpesona dengan persembahannya. Ia adalah salah satu daripada persembahan-persembahan yang menggabungkan unsur-unsur drama yang membuka minda saya. Ia adalah sangat mentah dan beremosi, bijak bercantum dengan elemen lawak jenaka dan kecerdasan; nisbah antara keseriusan dan keanehan adalah seimbang. Betapa saya berharap dapat mempersembahkan karya seperti itu! Doa saya terjawab pada bulan Mac 2020 ketika Faillul menjemput saya untuk menjadi sebahagian daripada persembahan-semula “Backbiting” di dalam produksinya In Transit. Saya teruja!

Saya menerima tawaran itu dengan cepat, kerana takut mungkin akan kehilangan peluang tersebut. Sebaik sahaja saya sampai di rumah, saya mencari video persembahan itu di YouTube, dan mula memainkan segmen akhir koreografi tersebut di dalam kepala saya secara berulangan dengan iringan muzik “Evil Woman” yang dipersembahkan oleh Lou Rawls. Saya sangat suka segmen koreografi itu; walaupun pergerakannya adalah mudah, namun makna yang dibawanya kepada seluruh koreografi adalah berimpak.

Kami mula latihan pada bulan Januari, setelah menonton video dan mempelajari pergerakan watak masing-masing yang diarahkan oleh Faillul. Semasa pembelajaran sendiri ini, saya sedar betapa kemasnya pelaksanaan pergerakan para penari asalan; ia menyebabkan saya bimbang terhadap tahap kerjasama kumpulan penari baharu ini. Sebagai seorang koreografer sendiri, saya tahu betapa pentingnya kami perlu mempunyai perasaan keserasian yang kuat. Tanpa itu, semua mungkin akan gagal.

Pada hari pertama latihan, semua tujuh penari telah hadir. Faillul tiada di sana, namun telah mengarahkan Jeremiah dan saya untuk mengendalikan sesi latihan tersebut. Saya berfikir, “Bagus! Ini adalah peluang untuk mencari-cari dan membentukkan keserasian!” Nasib baik, ketujuh-tujuh kami memiliki keserasian yang semula jadi. Niat dan kesungguhan setiap penari sememangnya membantu dalam proses itu, dan perasaan kegembiraan secara keseluruhan semasa latihan pertama itu merupakan satu galakan yang kami perlukan.

Kami mula melatih untuk segmen ensembel pertama, di mana para penari sepatutnya menari secara serentak dalam formasi segi tiga di tengah ruang pentas. Jeremiah mengendalikan segmen ini kerana dia merupakan salah seorang penari asal dari persembahan tahun 2017. Mempelajari pergerakan-pergerakan adalah agak sukar kerana kadang-kadang mereka tidak masuk akal, berpindah dari satu ke yang lain tanpa mempunyai pola atau sebab. Walau bagaimanapun, oleh kerana saya mengamalkan pembelajaran koreografi dengan menguasai pelancaran pergerakan terlebih dahulu dan mewajarkannya kemudian, saya berjaya mengatasi halangan ini.

Faillul mengendalikan latihan berikutnya. Kami mula menyemak semula pergerakan daripada latihan sebelumnya, walaupun entah bagaimana kami masing-masing mengingati variasi pergerakan yang berbeza! Setelah menyaksikan kami bertungkus lumus sebentar, Faillul mengumpulkan kami dan mula membincangkan mengenai asal pengkaryaan “Backbiting”. Mendengar ingatan tentang koreografinya adalah sesuatu yang seronok, seperti telah kembali ke tahun 2017 dengan menggunakan mesin masa. Setelah mendengarnya, saya dapat merasai api kecil menyala di dalam diri saya, dan terus menggalakkan saya untuk menyempurnakan koreografi tersebut. Saya rasa penari yang lain juga mempunyai perasaan yang sama.

Dalam beberapa sesi latihan seterusnya, kami bertujuh memperoleh penyelarasan segerak kami, yang juga membantu dalam meningkatkan keserasian antara kami. Kami tidak lama lagi dapat melakukan pergerakan dengan baik; walaupun tidak sempurna, tetapi kami berada di jalan yang betul. Fasa seterusnya adalah melaksanakan unsur-unsur teatrikal – satu lagi elemen yang saya gemari mengenai koreografi ini! Sebagai contoh, kami masing-masing mempunyai pasangan untuk beraksi bersama-sama dan saya berpasangan dengan Hilmi. Hilmi berpura-pura meludah di muka saya, dan saya bertindak balas secara dramatik dengan menggarangkan muka saya. Kami juga bertindak seperti zombi pada satu ketika. Wajah saya diherot-berotkan sambil berjalan-jalan dengan seretan kaki, untuk menggambarkan perasaan kemurungan setelah mengalami tikaman dari belakang. Nampaknya koreografi ini didorongkan dengan gerak-geri yang mengada-ngada. Saya terpaksa berlatih untuk mempersembahkan saya sebagai diri sendiri, dan pada masa yang sama bukan seperti diri sendiri. Ia mungkin mengelirukan, namun itulah yang saya rasakan sepanjang proses latihan – mencari keseimbangan di antara menjadi saya dan bukan saya.

Apabila semakin menghampiri hari persembahan, proses penghasilan “Backbiting” semakin terbentuk. Walau bagaimanapun, setelah pratonton produksi kedua, masalah timbul mengenai kostum. Dalam persembahan sebelumnya, para penari memakai kostum dengan nuansa warna kelabu dan biru yang berbeza. Dalam versi persembahan ini, Faillul merasai bahawa tarian ini memerlukan perombakan kostum yang besar, dan beliau meminta cadangan daripada para penari. Setelah pertimbangan selama dua hari, dia memutuskan untuk mencari-cari di sebuah pusat membeli-belah yang berhampiran, dan bertanya jika saya boleh ikut serta. Kami berhadapan dengan pelbagai pilihan di pusat membeli-belah; namun kami juga menghadapi satu masalah lain — bolehkah saya muat masuk ke dalam kostum itu? Sebagai seorang penari saiz tambah, saya selalu bimbang kerana takut menyusahkan koreografer untuk mencari kostum yang sesuai. Namun kata-kata Faillul pada hari itu mengurangkan kerisauan saya. Dia berkata, “Tidak apa, Douglas. Yang penting kostum tu selesa bagi kamu. Kita cari lagi sampai dapat.” Pada ketika itu, saya berasa amat syukur kerana menemui koreografer yang bertimbang rasa. Setelah hampir tiga jam mencari-cari, akhirnya kami menjumpai kostum yang sesuai untuk persembahan; saya juga dapat melakukan penyesuaian secara DIY!

Hari persembahan akhirnya tiba. Kami semua bimbang bahawa tiada ramai penonton akan hadir disebabkan wabak COVID-19. Kami bersyukur kerana mempunyai ramai penonton pada malam pembukaan, yang menyebabkan saya cemas, tetapi juga menggalakkan saya bertekad untuk melakukan yang terbaik. Kami bertujuh telah bersiap sedia, dengan pakaian kostum bernuansa warna merah jambu yang berbeza. “Backbiting” merupakan repertoir kedua pada malam persembahan, dan keterujaan saya sebelum memasuki ke pentas menyebabkan jantung saya berdegup dengan laju.

Persembahan kami dimulakan dengan duet yang dimainkan oleh Iqram dan Jeremiah, yang walaupun dipersembahkan secara serius, turut mempamerkan banyak unsur lawak jenaka. Duet ini merupakan satu pembukaan yang menarik perhatian, dan membekalkan satu pengenalan ringkas untuk apa yang akan datang. Setelah duet berakhir, Akid dan Hilmi muncul di pentas. Kemudian giliran saya. Saya bersedia melakonkan watak pilihan saya sendiri, iaitu seorang budak lelaki gemuk yang terlepas sarapan paginya secara tidak sengaja, dan melihat bufet makan tengah hari yang disajikan di hadapannya. Saya bergerak ke kedudukan saya dan jatuh di atas pentas[1] . Saya mendengar bunyi ketawa kecil daripada penonton. Pada ketika itu, aksi berbaring di atas pentas adalah sukar dipercayai; saya tidak percaya bahawa hari persembahan akhirnya tiba.

Semasa muzik kedua mula dimainkan, kami bertujuh mula bergerak bersama. Semasa saya mengambil kedudukan saya di depan ensembel, api kecil di dalam saya menyala lagi. Apa yang dapat saya ingat untuk saat itu adalah kepuasan dan kegembiraan dalam melancarkan pergerakan. Saya dapat merasai perhatian daripada penonton, dan saya ingin memastikan bahawa mereka boleh merasai perasaan watak saya, iaitu menyedari bahawa seseorang yang anda sayangi mungkin menikam anda di belakang tanpa pemberitahuan. Ini seperti satu peringatan kepada penonton – supaya menyediakan diri daripada kesakitan yang akhirnya akan ditimpa.

Persembahan koreografi diteruskan, dan saya dapat merasai tenaga kumpulan yang semakin kukuh. Ketika Ramdani jatuh ke lantai, yang menandakan keakhiran babak pertama, kami yang lain memainkan watak zombi dan keluar dari pentas. Pada segmen seterusnya, kami memanfaatkan pelakon dalaman masing-masing untuk memainkan watak yang berbeza. Kami adalah berseronok kerana dibenarkan untuk bergila-gila dalam segmen ini. Persembahan kemudian diteruskan dengan satu duet oleh Aiman dan Jeremiah, dan seterusnya beralih ke segmen finale, salah satu bahagian kegemaran saya. Apabila lagu “Evil Woman” mula dimainkan, saya dapat merasai kesungguhan kami. Kami bergerak serentak. Pelaksanaan pergerakan yang minimum tetapi terkawal, paparan pelbagai ekspresi muka, saat-saat yang kami kongsi bersama dan hubungan istimewa yang kami jalinkan sememangnya menjayakan segmen itu. Segmen itu merupakan satu cara yang sempurna untuk mengakhiri koreografi kami. Saya berasa sangat gembira dalam persembahan ini. Kebebasan untuk menjadi diri sendiri, dan pada masa yang sama menggambarkan pelbagai watak, merupakan pengalaman yang sangat luar biasa bagi saya. Perasaan kepuasan dan kegembiraan yang saya rasai di atas pentas itu tidak dapat dibandingkan dengan perkara lain di dunia ini. Pengalaman ini mengingatkan saya mengapa saya memilih untuk menari dan melakukan persembahan. Ini sememangnya satu pengalaman yang hanya diperolehi sekali seumur hidup bagi saya, dan saya sangat diberkati kerana pernah menjadi sebahagian daripada produksi ini. Sehingga lain kali, jumpa lagi, “Backbiting”!

Douglas Labadin merupakan seorang pelajar ijazah sarjana di Universiti Chulalongkorn, Thailand. Lebih

Anda boleh mengikutinya di Instagram di @dancedougie.

Foto utama: [Kiri ke kanan] Akid Jabran, Muhammad Aiman Yusuf Roslan, Mohd Iqram Azhar, Jeremiah Richard Lim, Khairul Ramdani Suparman, Muhammad Nur Hilmi Rosli and Douglas Labadin in “Backbiting” at the Experimental Theatre of the National Academy of Arts, Culture and Heritage (ASWARA), Kuala Lumpur, 7 Mac, 2020.

Skip to content