Dengan penutupan kampus-kampus di seluruh negara, pensyarah tari Universiti Malaya Wong Jyh Shyong (JS) menerangkan peralihannya untuk mengendalikan kelas teknik secara dalam talian.

Esei JS pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Akibat daripada wabak coronavirus, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 16 Mac 2020. Sebagai reaksi lanjutan, Kementerian Pengajian Tinggi kemudiannya mengesyorkan supaya semua kaedah pengajaran dan pembelajaran beralih ke dalam talian. Ini telah membolehkan semua pendidik di universiti, termasuk saya, meneroka strategi, peralatan dan platform pengajaran dalam talian. Oleh itu, saya ingin berkongsi pendekatan saya dalam mengajar kursus praktikal (teknik tari kontemporari dan teknik balet) untuk pelajar sarjana muda tahun akhir di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM).

Secara umum, terdapat dua kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian – segerak dan tak segerak. Dalam pengajaran dan pembelajaran segerak, pensyarah dan pelajar bertemu dalam talian bersama-sama untuk sesi langsung (melalui Google Meet, Skype for Business, Zoom, atau Webex), pembentangan langsung, kerja kumpulan kolaboratif (melalui Dropbox Paper), pembelajaran berasaskan permainan (melalui Kahoot! dan Socrative), dan perbincangan/forum/sembang (melalui WhatsApp dan Telegram). Pengajaran dan pembelajaran tak segerak di sebaliknya dijalankan tanpa berada pada masa interaksi yang sama. Dalam kaedah ini, pensyarah menyediakan bahan pembelajaran yang boleh diakses oleh pelajar pada bila-bila masa. Strategi seperti kuliah/latihan pra-rakaman, screencasting (rakaman video dari skrin komputer), atau slidecasting (podcast audio digabungkan dengan tayangan slaid) biasanya digunakan, melalui Microsoft PowerPoint, Loom, Screencast-o-Matic, Adobe Captivate, Camtasia Studio, dan Jing.

Untuk mengelakkan masalah akses ke internet dan memastikan kepraktisan dalam menyampaikan kandungan pengajaran, apabila UM melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam talian sejak dari 27 April 2020 hingga akhir semester kedua, saya telah memutuskan untuk melakukan pengajaran tak segerak terlebih dahulu. Berikutnya adalah langkah-langkah saya dalam mengajar kursus-kursus tari kontemporari dan balet saya. Setiap kursus mempunyai dua kelas seminggu, dengan 1.5 jam setiap kelas.

  1. Mengendalikan tinjauan mengenai kesediaan teknikal pelajar untuk sesi dalam talian

Saya mengendalikan satu tinjauan secara santai melalui WhatsApp untuk mengetahui kecapaian rangkaian Internet pelajar saya (termasuk had data); serta sama ada mereka mempunyai ruang yang sesuai untuk melakukan latihan tariandan jenis lantai, alat rakaman, pembesar suara mudah alih, dan alat pemain muzik yang dimiliki. Maklumat ini membantu saya menstrukturkan aktiviti dan strategi pengajaran saya yang sesuai.

  • Menyusunkan semula latihan-latihan asal agar sesuai untuk ruang yang lebih kecil

Sebelum PKP, pelajar saya telah mempelajari beberapa latihan fizikal di dalam studio. Daripada melakukan latihan baharu, saya menyusunkan semula kebanyakan latihan yang sedia ada agar disesuaikan dengan ruang yang berluas satu meter kali satu meter. Dengan membayangkan pelajar hanya mempunyai ruang yang terhad di dalam rumah kediaman mereka, saya mengehadkan langkah-langkah perjalanan kepada hanya satu langkah (ke kiri, kanan, depan, atau belakang) di dalam ruang persegi ini. Saya juga menciptakan latihan-latihan melompat yang baharu memandangkan perjalanan dalam ruang tidak lagi praktikal.

  • Merakamkan video yang mengandungi tiga bahagian untuk setiap latihan

Untuk mempamerkan latihan secara keseluruhan, saya merakamkan tiga bahagian untuk setiap latihan: (1) demonstrasi pergerakan dengan penjelasan lisan yang terperinci mengenai bagaimana melaksanakan setiap gerak dan perihal muzikal yang diperlukannya, (2) persembahan latihan dengan kiraan secara lisan, dan (3) persembahan latihan dengan iringan muzik yang sebenar. Ketiga-tiga bahagian ini bertujuan untuk menolong para pelajar dalam mempelajari setiap latihan secara sistematik – daripada mengetahui keperluan pelaksanaan pergerakan sehingga ke perihal muzikal – dan kemudian memperolehi hasil pembelajaran yang diharapkan.

  • Menghasilkan satu folder di Google Drive yang mengumpulkan video dan muzik

Saya berkongsi bersama pelajar satu folder yang mengandungi semua klip video dan muzik di Google Drive . Untuk kursus balet, saya menambahkan satu senarai istilah untuk memudahkan pelajar mempelajari makna perkataan Perancis yang saya gunakan dalam demonstrasi. Pelajar boleh mengakses semua bahan ini mengikut masa mereka sendiri.

  • Memberi arahan melalui platform e-pembelajaran UM (SPeCTRUM) dan WhatsApp

Saya mengaturkan jadual sesi perjumpaan mingguan dan menghuraikan keperluan-keperluan bagi penyerahan tugasan. Maklumat ini dikongsi melalui SPeCTRUM dan WhatsApp, dengan senarai latihan yang perlu dilatih dan direkodkan setiap minggu. Untuk melatih kesinambungan dan stamina pelajar, saya meminta mereka merakamkan persembahan latihan-latihan yang khusus secara berterusan. Latihan di lantai atau latihan barre untuk balet digolongkan di bawah satu video, manakala latihan di tengah studio dan latihan melompat di video yang berlainan.

  • Menerima video pembelajaran melalui SPeCTRUM

Setelah menerima arahan dan mengakses folder di Google Drive, pelajar mempelajari latihan yang ditetapkan mengikut masa mereka sendiri dan melakukan rakaman mingguan untuk dihantar. Mereka memuat naik rakaman melalui perkhidmatan maya seperti Google Drive atau YouTube, atau melalui pautan langsung atau fail.

  • Memberi komen penyerahan video

Saya memberikan empat jenis komen: (1) komen bertulis, (2) komen lisan, (3) pembetulan melalui visual, dan (4) pembetulan melalui video. Komen bertulis dilakukan melalui WhatsApp berserta dengan masa rakaman dan pembetulan yang spesifik seperti, “Pada 1 minit dan 32 saat, anda perlu meregangkan lutut sepenuhnya semasa melakukan pemindahan berat badan.” Komen yang serupa boleh dilakukan melalui mesej suara, juga melalui WhatsApp. Namun, saya berasa penambahan sokongan visual diperlukan untuk memperjelaskan lagi komen saya. Oleh itu, saya menangkapkan foto-foto daripada video pelajar, dan menambahkan garisan dan bentuk pada foto-foto tersebut melalui Adobe Photoshop untuk menunjukkan penggunaan ruang yang betul serta membetulkan postur, penjajaran badan dan peralihan yang salah. Dalam beberapa kes, saya merakamkan komen saya melalui video berserta demonstrasi dan cara-cara penambahbaikan.

Dalam Urutan 1, saya menggunakan bulatan merah untuk menunjukkan peralihan yang tidak betul, serta menambahkan foto peralihan pergerakan yang diharapkan di atasnya.

Urutan 1. [Atas] Peralihan yang betul, [bawah] peralihan yang salah. © Wong Jyh Shyong

Setelah beberapa penghantaran video, saya menyedari bahawa sebilangan pelajar tidak dapat mengenal pasti pergerakan peralihan, terutamanya untuk bahagian yang kompleks dan cepat. 

Dalam Urutan 2, saya menggunakan garis dan bentuk untuk mengingatkan pelajar mengenai perincian pergerakan (lurus atau bengkok, di lantai atau di udara, kiri atau kanan), penjajaran (lurus atau bengkok, membentuk sama ada garisan pepenjuru atau garis lurus), dan peralihan (penyelarasan serentak pelbagai bahagian badan daripada satu pergerakan ke pergerakan yang lain).

Urutan 2. Peralihan pergerakan. © Wong Jyh Shyong

Dalam balet, saya menggunakan foto-foto gerak henti (stop motion) bersama dengan kiraan yang berkaitan untuk menunjukkan proses persiapan dalam melakukan latihan frappé (lihat Urutan 3). Garisan ditambahkan untuk menunjukkan laluan pergerakan.

Urutan 3. Persiapan untuk Frappé. © Wong Jyh Shyong

Setelah menjalankan sesi pembelajaran tak segerak selama beberapa minggu, walaupun kaedah pengajaran ini adalah fleksibel dan berpatutan dari segi kos, saya menemui satu kelemahan yang besar. Kemajuan pembelajaran adalah sangat perlahan sehingga membimbangkan saya; pelajar menunjukkan kesukaran dalam pengertian ketelitian pergerakan atau membuat pembetulan berdasarkan komen mingguan saya. Penambahbaikan adalah jauh lebih perlahan berbanding dengan pengajaran bersemuka. Saya menyedari bahawa penganalisisan komen-komen saya sama ada bertulis atau visual adalah mencabar dan memakan banyak masa. Penterjemahan dan penyerapan cara-cara baru untuk latihan koordinasi dan kawalan badan, tanpa menyampaikan pengetahuan mekanisme praktikal, adalah halangan seterusnya yang amat mencabarkan. Dalam kelas bersemuka, seorang pensyarah boleh segera mengenal pasti kesalahan dan memberikan pembetulan secara langsung melalui cadangan penyelesaian, pengulangan latihan pemecahan, malah menggunakan sentuhan fizikal untuk membimbing pergerakan. Apa yang hilang dalam pengajaran tak segerak adalah interaksi secara langsung, terutamanya bagi pelajar yang lemah dalam persepsi visual dan teknik tari.

Untuk meningkatkan hasil pembelajaran para pelajar ini, saya turut menambahkan sesi segerak untuk melengkapkan sesi tak segerak mingguan. Ini dilakukan melalui Google Meet. Dalam setiap sesi masa nyata, saya menumpukan perhatian untuk menghalusi perincian pergerakan pelajar dengan meminta mereka mengukuhkan teknik yang diperlukan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengadakan latihan pemecahan pergerakan dan meminta maklum balas daripada pemerhatian mereka ke atas rakan-rakan sekelas mereka. Pengajaran segerak mempunyai kelebihan dalam merangsang keterlibatan kelas, pembelajaran dinamik, dan pengajaran yang mendalam. Namun, masalah teknikal sering menjadi isu, dan lebih banyak masa diperlukan untuk menyelia pembetulan. Penerimaan Internet yang lemah, kerosakan peranti, dan isu lengah masa (lag) juga sering berlaku. Kepada pelajar yang tidak atau sementara tidak mempunyai akses ke Internet semasa sesi segerak, video rakaman sesuatu sesi langsung membolehkan pelajar untuk mengejar kemajuan. Untuk memastikan tiada pelajar ketinggalan disebabkan masalah teknikal, saya memutuskan untuk mencapai kompromi dengan menggabungkan sesi segerak dengan sesi tak segerak.

Mengajar teknik tari dalam talian untuk kursus-kursus pengajian tinggi membolehkan saya menerokai pelbagai kemungkinan strategi, peralatan dan platform pengajaran dalam talian, dan juga mengetahui batasannya. Setelah pelaksanaan gabungan sesi segerak dengan sesi tak segerak, saya melihat kemajuan keupayaan pelajar dalam pembelajaran teknik tari. Mereka menunjukkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai ketelitian pergerakan yang diperlukan seperti kesedaran ruang, koordinasi, pemindahan berat badan dan perihal muzikal. Peringatan yang serta-merta atau latihan pemecahan dalam setiap sesi segerak sememangnya membantu para pelajar, dan mereka lebih menggemarnya.

Seting bagi studio dan kaedah pengajaran yang tradisional masih penting dalam mempelajari kemahiran praktikal. Lebih-lebih lagi, ujian pergerakan dalam talian secara segerak adalah tidak mungkin berlaku kerana setiap pelajar mempunyai masalah teknikal yang berbeza. Isu-isu ini memberikan cabaran kepada para pensyarah dalam menilai persembahan pelajar dengan serta-merta dan melalui skrin yang kecil, lengah dan kabur.  Pada dasarnya, pengajaran dalam talian telah merangsangkan saya untuk memikirkan semula konsep-konsep yang penting mengenai ruang, masa, dan berat di dalam tari. Apakah teknik tari yang boleh atau harus diajarkan di dalam ruang yang terbatas, lantai yang keras dan ada ketidakhadiran pensyarah yang boleh memastikan keselamatan persekitaran latihan? Apakah yang boleh dicapai secara realistik melalui sesi tak segerak? Bagaimanakah seseorang itu mengatasi masalah teknikal dalam sesi segerak? Soalan-soalan ini adalah cabaran yang berterusan dalam persediaan dan penyampaian pembelajaran tari dan interaksi dengan pelajar dalam talian.

Wong Jyh Shyong merupakan pensyarah di Jabatan Tari di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya.   Lebih

Untuk menghubungi penulis:
jsjjsjjjs@gmail.com

Skip to content