Pengalaman Persembahan “Radio Tari” Saya

Apakah yang akan anda bincangkan jika anda mempunyai saluran radio anda sendiri mengenai tari? Tan I-Lyn mengungkapkan proses penyediaan persembahan karya yang unik ini, dan cabaran untuk bercakap sambil menari, pada Festival Tari 2014.

Esei ini pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

Pada 30 September 2014, saya menerima emel daripada Suhaili Micheline (Sue), memaklumkan saya tentang festival TARI, satu acara tahunan yang akan berlangsung pada 12-15 November di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau menjemput saya untuk mempersembahkan hasil karyanya dalam festival tersebut yang bertajuk “Radio Tari”, bersama Alisya Razman, Amellia Feroz and Summer Gan. Sudah tentu saya menjawab ya kepadanya. Saya tidak mahu melepaskan peluang membuat persembahan di festival tersebut, apatah lagi bekerjasama dengan Sue, penari dan koreografer yang terkenal dan baru sahaja menerima anugerah Koreografer Terbaik dalam Anugerah Seni BOH 2014. Saya pasti bahawa proses koreografi tersebut adalah mencabar namun ia dapat memenuhi kepuasan saya sebagai seorang penari dan penghibur.

Kira-kira dua minggu kemudian, sebulan menjelang festival tersebut, kami telah menjalankan raptai yang pertama. Saya jelas mengingati perkara-perkara yang telah berlaku. Kami tidak mempunyai ruang untuk menciptakan frasa-frasa gerak tari, maka kami menggunakan masa tersebut untuk menulis skrip kami (karya ini memerlukan kami berhujah semasa menari). Secara amnya, Sue meminta kami mengeluarkan pen dan buku nota, dan berfikir mengenai apa yang kita akan katakan jika kami memiliki saluran radio sendiri yang berkaitandengan tari. Terdapat banyak topik mengenai tari yang boleh dicakap oleh salah satu daripada kami, daripada perekaan kostum tari dan membuat keputusan mengenai apa yang harus dipakai, persediaan penari bagi sesuatu persembahan, sehingga ke pengurusan hal ehwal dengan pihak ibu bapa oleh seseorang guru tari. Senarai topik-topik yang berkaitan tiada kesudahannya. Walau bagaimanapun, kami memilih beberapa perkara yang terus berhubung dan melibatkan kami. Setelah skrip dan perkataan ayat kami diperindahkan, Sue melakukan eksperimen mengenai cara-cara yang berbeza bagi penghujahan, seperti bercakap mendahului satu sama lain mengikut kadar kelajuan yang berbeza dan menyebabkan kesusahan pendengaran, seperti pertembungan antara banyak stesen radio – satu representasi yang mungkin melambangkan hingar putih (white noise). Secara alternatifnya, kami turut memasukkan tempoh-tempoh yang senyap supaya topik-topik yang berlainan boleh didengar. Pada satu ketika, kami perlu menyanyikan ayat-ayat kami! Ini adalah susah dan mencabar sekali kerana kedengaran pengungkapan kami adalah amat lucu dan kami tidak henti-henti ketawa terhadap kami sendiri.

Latihan-latihan raptai seterusnya digunakan untuk mencipta frasa gerak untuk beberapa bahagian daripada teks kami. Sama seperti kebanyakkan proses koreografi, sesetengah frasa telah direkakan oleh penari dan sesetangah lagi dicipta oleh koreografer. Sue berusaha memaksimakan kekuatan kami dan sentiasa mencari jalan untuk menutup kelemahan kami. Beliau memerhati dan merekakan pautan antara beberapa frasa tari dan material gerak individu supaya dijadikan komposisi tari duet atau trio. Sue juga melibatkan penari Amandus Paul untuk melakonkan Raja Lineland, satu watak daripada hasil karya panjang beliau baru-baru ini, FLATLAND. Raja Lineland bertindak sebagai penampan untuk menghubungkaitkan pelbagai segmen daripada karyanya, dan juga menambahkan lapisan elemen komedi ke dalam karyanya.

Kostum kami mengambil inspirasi daripada idea keterlaluan atau pemutarbalikan fesyen tari yang normal – kostum kami diherot-berotkan sekali sehingga pakaian itu kelihatan indah dan kemungkinan besar boleh menjadi satu trend. Tutu akan dihasilkan oleh Goh Siew Hiong, yang bukan sahaja seorang pengajar seni ballet, tetapi juga seorang pereka pakaian tutu dan alat hiasan kepala untuk para penari ballet. (Sila rujuk kepada halaman Facebook beliau, Tutulab!). Beliau menerapkan idea aneh Sue dan menciptakan pelbagai kostum tutu untuk karya tari tersebut: tutu berbentuk segitiga dan segi empat, riben tutu yang boleh diikat di bahagian lutut dan leher, serta tutu topi yang menakjubkan. Saya rasa rekaan-rekaan tersebut adalah sangat sesuai kerana bentuk-bentuknya turut merujuk kepada karya FLATLAND melalui cara-cara tertentu (FLATLAND, sebuah novel fiksyen yang mengisahkan dunia dua dimensi yang telah ditakluki oleh makhluk geometrik. Memandangkan Sue telah mewujudkan semula watak Raja Lineland di dalam kreasi tersebut, pakaian tutu-tutu yang berbentuk tidak normal ini telah menyokong idea aspek kemasukan unsur FLATLAND ke dalam “Radio Tari”).

[Ikut arah jam dari kiri atas] tutu segitiga kuning, tutu empat segi biru, tutu topi biru-hijau gelap , dan 2 tutu reben merah, 7 November 2014. Foto © Goh Siew Hiong

Selain daripada tutu, kami juga mempamerkan pakaian kami yang paling berwarna-warni: seluar ketat, celana ketat, baju, stoking, dan leotards. Warna-warni adalah kegemaran Sue!

Sesi ini digunakan untuk pilihan kostum dengan memaparkan pakaian yang berwarna-warni di The Space Dance, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, 11 November 2014. Foto © Tan I-Lyn

Kostum terakhir kami kelihatan seperti ini!

Tan I-Lyn, Amellia Feroz, Amandus Paul, Summer Gan dan Alisya Razman dalam pakaian kostum mereka untuk persembahan karya koreografi “Radio Tari” yang dijadikan sebahagian daripada acara TARI ’14 di ASWARA, Kuala Lumpur, 13 November 2014. Foto © Pengiran

Selain itu, hiasan kepala yang terdiri daripada bunga besar juga merupakan idea daripada Sue… Satu lagi rekaan yang keterlaluan daripada norma!!

Secara peribadi, sebahagian cabaran persembahan hasil karya tersebut adalah kemampuan bercakap sambil menari. Percampuran di antara tari dan dan suara/vokal dalam kreasi kontemporari bukanlah satu konsep baru, tetapi ia merupakan kali pertama saya mempersembahkannya. Saya belajar untuk melontarkan suara dan mengawal pernafasan saya demi mengelakkan masalah kesesakan nafas. Selain itu, kedua-dua proses kreatif penghasilan dan persembahan kreasi ini memerlukan saya untuk merendahkan kesedaran diri sendiri dan hanya mempersembahkan apa yang diminta, tanpa mengira betapa bodoh atau ketidakselesaan diri pada masa itu.

Secara keseluruhan, proses tersebut adalah satu keistimewaan bagi saya untuk bekerjasama dengan golongan ini yang amat berbakat. Suhaili, Amandus, Amellia, Summer dan Alisya merupakan individu-individu yang begitu istimewa dan unik dengan cara mereka yang tersendiri. Saya banyak belajar daripada mereka yang telah mewujudkan Radio Tari sebagai satu pengalaman yang sangat berharga. Saya amat berterima kasih ke atas peluang yang luar biasa ini!

costumes2

[Atas] Summer Gan, Alisya Razman, Suhaili Micheline, Amellia Feroz, Tan I-Lyn, dan [bawah] Amandus Paul di Black Box, ASWARA, Kuala Lumpur, 13 November 2014. Foto © Peter Gan

 

Tan I-Lyn kini sedang mengajar dan menari di Sri Wilayah Ballet Centre. Lebih

Untuk menghubungi penulis:

Skip to content