Pakyung dan Saya: Percubaan Saya dalam Becoming King

Imran Syafiq, graduan daripada  Akademi  Seni  Budaya  dan  Warisan  Kebangasaan  Malaysia (ASWARA) mengisahkan  pengalamannya sebagai seorang pelajar yang terlibat dalam persembahan hasil karya Joseph Gonzales, Becoming King: Pak Yung Revisited, yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre pada 12-14 Disember 2014. Pengalaman yang menyusah dan menggembirakan  pada masa yang sama  ini merujuk kepada malam persembahan yang tertentu.

Esei ini telah diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris.

 

“Tuan-tuan dan puan-puan, persembahan dimulakan”.

Itu adalah tanda isyarat permulaan persembahan. Secara perlahan-lahan, enam daripada kami berjalan menuju ke pentas melalui koridor yang terletak di sisi kawasan penonton, dengan berlatarbelakangkan lampu merah. Saya sampai ke kedudukan saya, yang agak berada di belakang barisan penari, dan di tengah-tengah kedudukan Abang Naim dan Kak Ruby, saya berdiri tegak. Saya mengingatkan diri sendiri, “Naikkan dada, berdepankan pandangan mata, relakskan lengan dan paling penting, bernafas… Muzik akan dimulakan, dan kami mulakan persembahan.”

Pergerakan yang pantas dan tegar. Melompat naik dan mendarat berpusing-pusing di lantai. Memulaskan badan dari sisi ke sisi. Melompat dengan dua kaki yang lurus sambil melantunkan badan naik dan turun. Menepuk bahagian pergelangan kaki sehingga ke pinggang dengan kedua-dua tangan secara berulangan. Kemudian melihat secara mendadak ke arah kiri saya dan akhirnya menjatuhkan diri saya ke lantai. Panggung digelapkan.

Persembahan untuk Becoming King sebenarnya merupakan satu pengalaman yang baru. Saya kekal berbaring di lantai setelah segmen pertama, sambil mendengar lagu Mengadap Rebab (lagu pembuka tirai bagi persembahan Makyung) dan lagu Sedayung Pak Yung yang dinyanyikan oleh Zamzuriah Zahari (seorang pensyarah ASWARA, pemain persembahan Makyung yang aktif dan berbakat, serta pemenang Anugerah Bakat Muda dalam Anugerah Seni Kebangsaan). Dalam ketika itu, saya bernafas dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat sebanyak oksigen yang boleh. Saya mula menyedari apa yang sebenarnya dirasai oleh seseorang penari yang terlibat dalam produksi karya penuh (full-length). Itu hanya persembahan satu malam sahaja. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana penari lain boleh bertahan dalam persembahan produksi karya penuh beberapa malam secara berterusan.

Becoming King merupakan hasil karya penuh Joseph Gonzales (dekan Fakulti Tari ASWARA). Produksi ini merupakan karya penuh pertama beliau, setelah produksi kreasi beliau, AWAS, yang dipentaskan 11 tahun dahulu. Menurutnya, beliau adalah terlalu sibuk untuk menyelia golongan koreografer muda selama ini. Kini, beliau berasa ingin mengatakan sesuatu kepada masyarakat mengenai keadaan negara, dan produksi tersebut merupakan satu medium peluahannya. Walaupun latihan tari beliau berlatarbelakangkan tari moden, beliau juga seorang peminat teater tradisi Melayu, termasuklah Makyung. Justeru, Joseph mencetuskan idea untuk cuba mengalihkan persembahan Makyung ke dalam bentuk persembahan tari kontemporari.

Dalam persembahan Makyung, peran utama yang dikenali sebagai Pakyung, atau Raja. Watak peran biasanya dimainkan oleh pelakon wanita yang berbakat dalam lakonan, nyanyian dan tarian. Becoming King memaparkan proses pemilihan calon untuk Pakyung. Calon-calon yang terlatih menunjukkan bakat mereka melalui nyanyian dan tarian demi membuktikan mereka adalah layak menjadi Pakyung. Pada akhir persembahan, daripada enam calon, hanya seorang sahaja yang layak dinobatkan sebagai Raja, melalui undi penonton.

Latihan raptai bermula pada Ogos 2014. Saya masih ingat hari pertama kita mempelajari susunan koreografi. “Muzik mula, lampu nyala… dan BOOM, kamu mula.” Susunan koreografi dimulakan dengan pergerakan yang cepat, menepuk bahagian pergelangan kaki sehingga ke pinggang sambil  berlompat-lompat dengan kaki yang lurus. Joseph mahu segmen ini dipersembahkan dengan tegar dan cepat, pergerakan seperti berpusing badan secara menegak, melompat ke posisi mendatar di udara, melakukan kontraksi abdomen di lantai, hinges, menyokong badan yang songsang dengan bahu dan tangan, dan banyak pergerakan lagi. Daripada penerokaan dari semasa ke semasa, barisan penari merangsangkan semakin banyak idea dan dimasukkan ke dalam susunan koreografi. Akhirnya, kami memiliki enam segmen untuk produksi persembahan tersebut.

Segmen pertama adalah semata-mata berkaitan dengan pergerakan. Joseph menerokai idea pusingan badan – bagaimana bahagian-bahagian tubuh badan yang berbeza (pergelangan tangan, siku, dan pinggul) akan bertindak balas dengan kuasa-kuasa (tolak dan tarik), dan apakah bentuk yang akan dihasilkan? Beliau mahu segmen yang memakan masa 10 minit itu adalah pantas dan penuh dengan tenaga. Kebanyakan dalam segmen tersebut dipersembahkan secara serentak (unison). Terdapat juga beberapa persembahan berpasangan (duet) yang menunjukkan hasil penerokaan ke atas latihan bertindak dan bertindak balas (action and reaction) dengan penari.

Segmen kedua dimulakan dengan perlahan-lahan, Zamzuriah muncul dan menyanyi satu frasa yang diterbalikkan daripada lagu Mengadap Rebab. Lagu Mengadap Rebab merupakan lagu pembukaan persembahan Makyung yang dipersembahkan oleh ensembel penari dan pemuzik, khas untuk memberi penghormatan kepada rebab, satu alat muzik yang suci. Kostum beliau adalah rumit, memaparkan kostum asli Pakyung yang terdiri daripada mahkota, lapik dada dan rotan berai. Idea segmen ini adalah untuk bermain-main dengan lirik lagu Mengadap Rebab. Daripada nyanyian yang linear mengikut susunan yang lazim, Zamzuriah menterbalikkan sesetengah frasa nyanyian lagu tersebut. Justeru, apabila anda mendengar lagu ini, anda tidak akan memahami lrikinya, tetapi jika anda mendengarnya dengan teliti, anda sebenarnya boleh mendengar suku kata dan lirik. Sementara kami dikagumi oleh nyanyian Zamzuriah, struktur tari lagu Mengadap Rebab turut mengalami dekonstruksi dilakukan oleh barisan penari. Sebuah persembahan tarian lagu Mengadap Rebab lazimnya terdiri daripada tiga bahagian: susunan daripada posisi duduk sepenuh, posisi duduk separuh atau melutut, dan seterusnya ke posisi berdiri pada aras rendah, tengah dan tinggi. Namun, kami menterbalikkan persembahan lagu ini – dari posisi berdiri ke posisi duduk. Dalam kebiasaan persembahan lagu Mengadap Rebab, Pakyung yang mula menyanyikan satu frasa lagu dan disahut oleh barian pelakon/penari dengan frasa-frasa tertentu dengan berulangan. Namun, apa yang kami sahutkan adalah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Makyung, sama ada lirik atau dialog yang dipetik daripada naratif penceritaan Makyung. Kami mengelilingi Zamzuriah seolah-olah kami sedang merayu dan meminta nasihat daripadanya bagaimana menjadi seorang raja yang baik, termasuklah soalan-soalan bagaimana menjadi seorang pelakon, penyanyi, dan penari yang cemerlang.

Selepas segmen kedua, kami duduk di atas pentas dan mengisi ruang persembahan dengan bisikan dan repek. Rotan berai kemudian diserahkan kepada kami oleh barisan pelakon yang tidak terlibat dalam persembahan malam tersebut. Rotan berai dimainkan apabila kami semua siap duduk bersila. Kami memanipulasikan rotan berai rotan dengan bebas. Manipulasi kami tidak perlu mengikuti Zamzuriah (yang memainkan watak Pakyung), malah berdasarkan pengalaman dan pembelajaran kami seolah-olah kami semua ialah Pakyung yang berdikari. Tujuh set susunan pergerakan telah diciptakan dan kami mempersembahkannya secara berulang-ulangan. Setiap ulangan ditambahkan dengan satu set yang baru, contoh: Mempersembahkan Ulangan I (Set A) > Ulangan II (Set A, Set B), Ulangan III (Set A, Set B, Set C) dan seterusnya. Ulangan-ulangan ini dilakukan tanpa iringan muzik, namun kami mengisi ruang audio dengan suara kami yang dilakukan secara improvisasi.

Sementara persembahan dilangsungkan oleh barisan penari di pentas, pemain-pemain utama memaparkan kebolehan bakat diri melalui persembahan solo masing-masing secara bergiliran. Anda sememangnya dibenarkan untuk mempersembahkan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan persembahan Makyung – seperti sedang berlatih untuk permainan sesetengah watak persembahan Makyung, berlatih nyanyian untuk watak Pakyung, atau kamu boleh meluahkan keraguan, kemarahan, ketakutan anda yang berlaku sepanjang proses latihan atau raptai. Pemain utama perlu berlakon, menyanyi, dan menari untuk menawan hati penonton. Saya mempunyai masalah dengan persembahan solo saya. Saya seorang penari, dan bukan seorang penyanyi (Saya boleh menyanyi lagu-lagu popular, tetapi Makyung – penggayaan muzik dan loghat bahasa Kelantan adalah terlalu susah kepada saya)! Setelah kami selesai persembahan solo masing-masing, kami berada di kedudukan kuda-kuda (seperti demi plié pada posisi kedua dalam ballet), dan menjerit “Acuh kile bohte!” – salah satu barisan dialog daripada permainan Pakyung yang “Betapa berani kamu!”. Jeritan ini mengakhiri segmen tersebut, panggung digelapkan.

Segmen seterusnya adalah yang terbaik. Setiap kami berdiri di kawasan-kawasan lampu yang berbentuk koridor yang panjang dari pentas atas (upstage) ke bawah (downstage). Kami melakukan improvisasi gerak tari yang kami inginkan dengan bebas. Hanya satu ‘koridor’ diterangkan pada sesuatu masa secara rawak. Dalam malam persembahan itu, saya berada di ‘koridor’ tengah daripada enam koridor. Berada di ‘koridor’ tengah membolehkan saya menarik perhatian penonton dengan lebih mudah, berbanding dengan pemain-pemain yang ditetapkan di ‘koridor-koridor’ tepi.  Segmen ini dan sebelumnya sebenarnya berkempen untuk menarik perhatian penonton. Kami enam calon yang berada di enam ‘koridor’ bergila-gila melakukan kempen untuk memancing undi. Terdapat sekumpulan ‘pengikut’ di belakang setiap calon masing-masing sebagai penyokong. Golongan ‘pengikut ini terdiri daripada barisan penari bukan pemegang watak calon). Saya masih ingat bahawa saya melakukan pergerakan waacking dan voguing (bentuk tari yang diasaskan daripada budaya kelab gay bandar warga Amerika keturunan Afrika, dan kini adalah sangat terkenal di dalam budaya popular). Kami kemudian mengadakan ‘pertempuran’ di antara dua kumpulan, yang menyebabkan saya ketawa tidak berhenti-henti setiap kali saya terfikirnya. Kami menjerit dan bersorak, dan cuba untuk menunjukkan bahawa kami adalah yang terbaik. Kami adalah bersaing dengan bersungguh-sungguh, sehingga kami terasa ia adalah satu medan perang pada sesetengah masa. Iringan muzik yang bertemakan pertandingan kempen (dengan instrumen brass) digunakan sepanjang persembahan segmen ini, untuk mewujudkan perasaan perarakan dan perayaan. Pada akhir segmen tersebut, kami mengembali ke tempat asal – ‘koridor’ kami masing-masing.

Dua kotak yang tidak dapat dilihat telus diletakkan di atas dua meja secara berasingan, dan dijaga oleh dua orang ‘pegawai’ di atas pentas. Para penonton diminta untuk beratur, maju ke pentas dan mengundi calon kegemaran mereka.  Enam calon memakai pakaian kostum yang berbeza. Saya ialah wakil warna merah jambu. Di atas borang undi, penonton mengundi calon kegemaran mereka dengan membubuh tanda rait pada warna yang berkenaan. Dalam segmen tersebut, saya berasa lega kerana persembahan yang sepatutnya telah pun dilakukan, dan kini hanya bergantung kepada keputusan penonton. Kedua-dua pegawai itu sebenarnya memainkan peranan yang penting kerana mereka boleh memilih sesiapa penonton yang layak menjadi pengundi dan tidak. Mereka bertanya soalan-soalan seperti: “Kamu berasal dari mana?”, “Berapa umur anda?”, “Boleh tunjukkan kad pengenalan anda?” dan lain-lain lagi.

Seterusnya, pengiraan undi bermula. Kami berjalan masuk ke kawasan pentas, berdiri secara berkumpulan dan menunggu keputusan dengan penuh harapan. Kedua-dua pegawai membuka peti undi dan mengumumkan setiap undi. Pada latar belakang pentas (cyclorama), satu carta dipancarkan untuk menunjukkan jumlah bilangan undi berdasarkan kategori warna. Jeritan dan sorakan dilakukan oleh para penonton apabila calon kegemaran mereka diumumkan. Saya turut menjerit untuk menunjukkan saya berkebolehan untuk memenangi kempen ini. Namun saya gagal. Pilihan raja untuk malam persembahan itu milik Murni Omar, calon daripada warna jingga. Beliau memenangi gelaran raja dengan jumlah sebanyak 40 undi, dan mengalahkan raja persembahan malam sebelumnya, Mohammad Azizi Mansor yang turut turun bertanding. Walau bagaimanapun, saya bangga dengan diri saya kerana memperolehi jumlah undi yang tertinggi untuk kumpulan warna merah jambu, berbanding dengan dua malam yang lepas.

Lagu pertabalan dimulakan, dan Murni telah dinobatkan oleh Zamzuriah. Para calon yang kalah dijadikan barisan penari lain sebagai rakyat naungannya. Kami (calon) kemudian diberi pilihan sama ada tinggal bersama raja baru, atau meninggalkannya. Saya memilih untuk tinggal dan menjadi salah seorang warga beliau. Kami duduk dalam kedudukan permulaan lagu Mengadap Rebab, dan sebagai raja, Murni mula menyanyi, diiringi dengan muzik megah yang digubah oleh komposer tempatan Ng Chor Guan. Sebagai rakyat, kami mengikut dan menyahut apa sahaja yang dilakukan atau diarahkan oleh Murni. Kami kemudian bersama-sama mempersembahkan Kirat (satu frasa pergerakan berpusing yang mengambil masa 8 kiraan) untuk menunjukkan pengakhiran persembahan tarian Makyung, dan seterusnya pengakhiran bagi produksi pementasan ini.

Dalam sesi soal jawab, saya telah diminta untuk menjelaskan perasaan semasa persembahan. Saya berjawab bahawa ia adalah susah – susah untuk menarik perhatian orang, susah untuk mencuba perkara-perkara yang anda tidak mahir, susah untuk menjadi sesuatu yang anda bukan dan yang paling penting, ia adalah susah untuk mememangi undi. Semasa dalam persembahan, saya berasa bahawa saya sentiasa berada di bawah penelitian yang berterusan – membenarkan kebolehan saya untuk dilihat sepenuhnya. Walaupun pembelajaran Makyung merupakan salah satu subjek yang wajib di ASWARA, saya tidak cukup mahir untuk memegang watak Pakyung. Memainkan watak Pakyung bukan sesuatu yang mudah. Anda harus menguasai kemahiran-kemahiran yang berkaitan – lakonan, nyanyian, tarian. Walau apa pun, saya banyak belajar daripada pengalaman baru ini. Hakikatnya, Becoming King adalah salah satu pengalaman yang paling menggembirakan dalam kehidupan saya.

 

Imran Syafiq bin Mohd Affandi merupakan seorang penari dan pemain solo di ASWARA Dance Company. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
mr.imran23@gmail.com

 


Foto Utama:
Becoming King: Pak Yung Revisited, Black Box, ASWARA, Kuala Lumpur, Disember 14, 2014. Foto © Jabar Laura

Skip to content