Pengajaran Tari Kreatif kepada Kanak-kanak Pelarian Myanmar

Penari dan pendidik bebas Lim Shin Hui mengimbas kembali suatu pengalaman mengajar pada tahun 2015.

Esei beliau pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

 

“Ya, ya!” kanak-kanak menjerit. Tidak kira apa yang saya tanya kepada mereka, saya tidak menerima respons yang lain. “Ya, ya!” adalah perkataan yang hanya boleh dijawab oleh mereka.

Mengajar tari kreatif kepada kanak-kanak pelarian Myanmar adalah satu cabaran yang besar. Bermula dari Mac 2015, saya mengajar di Pusat Kreatif Kanak-Kanak (PKK) Tuanku Bainun selama satu semester, di bawah penyeliaan Janet Pillai. Pada ketika itu, saya masih merupakan seorang pelajar program Sarjana Muda Seni Persembahan (Tari) di Universiti Malaya (UM), di mana saya memperolehi pelbagai latihan tarian selain daripada balet yang pernah saya pelajari sejak muda. Di UM, saya pernah menghadiri kursus elektif Pendidikan Tari dan Tari Untuk Kanak-kanak yang diajarkan oleh Dr Marcia L.Lloyd, dari Idaho State University, Amerika Syarikat. Dr. Lloyd telah memperkenalkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang meyakinkan saya bahawa kelas tari kreatif seharusnya menjadi sesuatu yang menyeronok dan menarik, tidak terhad kepada apa-apa peraturan, mementingkan kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar, serta berorientasikan kepada proses penghasilan dan bukan produksi. Pengalaman ini telah menginspirasikan saya mula menerokai pembelajaran melalui pendidikan tari, demi memperolehi lebih banyak pendedahan dan pengalaman di luar cara pembelajaran konvensional.

Saya mempunyai lapan sesi pengajaran di PKK, kepada empat belas kanak-kanak dari dua pusat penjagaan: Pusat Pendidikan Zomi dan Pusat Pembelajaran PJ. Pelajar adalah berusia di antara sembilan sehingga kelima belas tahun. Ini merupakan kali pertama saya mengajar kanak-kanak negara asing yang kebanyakannya mempunyai masalah pemahaman bahasa Inggeris. Kanak-kanak yang lebih matang mempunyai pemahaman bahasa Inggeris yang lebih baik; mereka boleh memahami dan memberi respons yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, majoriti pelajar hanya dapat memahami perbendaharaan kata yang mudah, serta tidak berhenti-henti dengan jeritan, “Ya, ya!”, yang menyebabkan saya berasa ragu-ragu terhadap pemahaman mereka.

Halangan bahasa menjadi salah satu cabaran yang terbesar dalam pengendalian kelas. Dalam sesi pengajaran pertama saya, Chris, seorang sukarelawan dari salah satu pusat yang disebut tadi, berperanan sebagai penterjemah saya. Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerjasama dengan seorang penterjemah. Beliau sangat aktif melakukan penterjemahan dan penjelasan, serta membimbing aktiviti-aktiviti kanak-kanak dengan baiknya. Walau bagaimanapun, penterjemah hanya dapat membantu menyelesaikan masalah halangan bahasa secara sementara, dan tiada pembantu penterjemah yang mahir dan konsisten untuk sepanjang semester. Terdapat beberapa sukarelawan yang berperanan sebagai penterjemah secara rawak, namun kebanyakan daripada mereka ialah penjaga atau pembantu dari pusat penjagaan pelarian, yang bekerja secara sukarela tanpa dilatih sebagai penterjemah. Oleh itu, kami terpaksa mencari jalan yang lebih berkesan untuk mengeratkan hubungan dan meningkatkan kemajuan pembelajaran kanak-kanak.

Saya mempercayai bahawa penggunaan bahasa isyarat badan bersama dengan ekspresi muka yang melampau boleh dijadikan satu penyelesaian. Walau bagaimanapun, saya berasa amat letih selepas tamat sesi pengajaran pertama kerana banyak bahasa isyarat badan dan ekspresi muka perlu saya lakukan. Kemudian kami mencetuskan satu idea untuk menghasilkan “Kamus Bahasa Inggeris-Burma”. Pada permulaan setiap sesi pengajaran, saya melekatkan sekeping kertas mahjung pada cermin, yang dipenuhi dengan kata-kata kunci yang berkaitan dengan pembelajaran pada hari itu. Kamus itu sangat informatif, dan meningkatkan keupayaan kanak-kanak menjawab soalan dengan lebih terperinci, dan bukan hanya satu perkataan “Ya”. Saya turut mempelajari beberapa patah perkataan bahasa Burma yang mudah daripada mereka. Melalui penggunaan bahasa mereka sendiri, saya memang berharap bahawa kanak-kanak ini boleh merasai keakraban dalam proses pembelajaran dan pemahaman.

Sesi-sesi pembelajaran yang berlangsung di PKK mungkin merupakan pengalaman pertama mereka memasuki studio tari yang lengkap dengan cermin dan lantai tari. Mereka agak malu dan pasif, terutamanya golongan perempuan. Berdasarkan pemerhatian saya pada sesi pertama, saya menyedari bahawa mereka lebih selesa dan yakin dalam meniru pergerakan berbanding dengan menerokai pergerakan badan mereka sendiri. Kejadian ini sebenarnya bertentangan dengan falsafah program tersebut yang bertujuan untuk menggalakkan kreativiti, iaitu, “keupayaan memproses maklumat untuk melakukan pembaharuan pada perkara yang ketinggalan zaman, menyelesaikan masalah yang tidak dapat diramalkan atau mewujudkan hasilan baru “, seperti yang dinyatakan dalam risalah panduan PKK, Introduction to Alam Kreatif.

Untuk menangani masalah ini, saya telah memasukkan pelbagai permainan ke dalam rancangan pengajaran saya, demi beralih daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional. Seperti yang dinyatakan dalam Introduction to Alam Kreatif, “Permainan dan latihan yang baik boleh menyebabkan orang merenung kembali, merasa emosi, mengangkat perasaan kehairanan atau ingin tahu, mewujudkan tanggapan yang berkesan, menjanakan tenaga, menghasilkan lawak jenaka, merelakskan dan menenangkan.” Pembelajaran melalui kegiatan permainan boleh membantu kanak-kanak memanas dan mencergaskan badan, bergerak secara bebas, dan mempelajari konsep-konsep tari, seperti penggolongan, masa, ritma, canon, dan aras.  Mereka berasa lebih bertenaga dan gembira, kerana boleh bergerak di sekeliling serta melakukan sesuatu yang baru dan menarik.

Kanak-kanak ini juga didedahkan kepada aktiviti-aktiviti luar untuk merasai alam sekitar. Mereka berjalan-jalan tanpa berkasut, dengan mata ditutup, dan meletakkan tangan mereka di bahu kawan-kawan, demi membentuk satu garis lurus yang dinamakan “tutu train”, yang membolehkan mereka menerokai pelbagai laluan di sekitar Alam Kreatif (kawasan PKK). Dalam aktiviti ini, mereka digalakkan untuk menyedari keberadaan persekitaran mereka dengan deria yang berbeza, termasuk bunyi, sentuhan dan bau. Mereka melangkah di atas batu-batu kecil di lantai yang kasar, mengalami kepanasan lantai, merasai cuaca berangin dan mendengar daun menari dengan irama angina.

Salah satu kaedah yang pernah saya pelajari daripada Dr. Lloyd adalah mewujudkan pelan pola lantai. Kaedah ini telah saya masukkan ke dalam pengajaran PKK dan ia membenarkan saya mengintegrasikan elemen-elemen tari, seni dan kraf. Kanak-kanak menghasilkan pelan pola lantai mereka sendiri yang boleh menunjukkan hasil pembelajaran mereka. Pertama, mereka diminta untuk mencipta dan melakarkan laluan mereka sendiri di atas sehelai kertas saiz A3. Kemudian, mereka mengambil keputusan tentang apa pergerakan yang ingin dilakukan di sepanjang laluan itu, dan setiap jenis pergerakan diwakili dengan objek-objek kitar semula yang berbeza, seperti reben, kacang merah, kacang hijau, kertas warna-warni dan sebagainya. Kaedah menghasilkan kraf seperti lukisan, guntingan dan tampalan membolehkan proses pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan.

Pada akhir semester, kanak-kanak mempersembahkan tari-mainan kreatif yang telah dipelajari oleh mereka, berdasarkan pelan pola lantai ciptaan mereka. Pelan-pelan pola lantai merangkumi elemen-elemen tari seperti laluan, aras, pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor, kelajuan dan penggolongan. Mereka melakukan persembahan dalam bentuk solo, duet, trio dan kuartet, bermula dengan posisi yang berbeza aras. Persembahan yang berlandaskan pelan pola lantai rekaan mereka sendiri turut melibatkan pelbagai pergerakan yang tangkas, dan kemudiannya diakhiri dengan posisi yang berlainan. Penggunaan pelan pola lantai yang berakhir dengan persembahan merupakan satu kejayaan, dan menyebabkan saya ingin menjerit, “Ya, ya!”

Lim Shin Hui merupakan seorang penari dan pendidik bebas di dalam bidang seni persembahan. Lebih

Untuk menghubungi penulis:
limshinhui@hotmail.my

Foto utama: Kamus Bahasa Inggeris-Burma, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Kuala Lumpur, 3 Julai 2015. © Shin Hui

Skip to content