Biar Koreografi itu Sendiri Berbicara

Secara ringkas tetapi terperinci, Mohd Nur Faillul berkongsi usahanya untuk mengintergrasikan improvisasi sebagai sebahagian daripada proses koreografi yang kemudiannya dipentaskan di Jamu 2017.

 

“Backbiting” merupakan salah sebuah daripada lapan koreografi dalam produksi tahunan Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), JAMU 2017, yang telah dipersembahkan pada 24, 25, dan 26 Februari di Black Box, ASWARA. Sebagai koreografer Backbiting, saya ingin berkongsi beberapa bahagian proses kreatif yang meninggalkan kesan kepada saya.

Bagaimana Ia Bermula?

Saya mula memerhatikan para penari yang bakal mempersembahkan koreografi saya setahun dahulu dengan melihat personaliti serta gelagat pelajar-pelajar Fakulti Tari di dalam dan luar waktu kelas. Saya gemar melihat mereka yang mempunyai personaliti seperti berani, berkeyakinan tinggi, kelakar, hyper-active (yang bukan sengaja buat-buat), minda terbuka, serta mempunyai pemikiran yang unik. Saya percaya individu yang berfikiran di luar norma adalah kreatif untuk mengorek idea, mencari alternatif, serta melihat segala kemungkinan. Melalui pemerhatian, saya memilih pelajar tari Jeremiah Lim, Nelton Duasik, Emanual Adrian, Fendi Abu Bakar dan Azfar Shukri, bersama Yusof Hasim (seorang penari profesional), Mohd Zulfikar (pelajar muzik), dan Akid Jabran (pelajar teater). Walau bagaimanapun, Yusof terpaksa meninggalkan produksi ini kerana kekangan jadual waktu.

Sesi Suai Kenal

Dalam sesi perkenalan, setiap penari menceritakan kisah paling sedih dalam hidup mereka, dan kemudian menari secara solo demi ‘membuangkan’ perasaan sedih itu (seperti elemen trance dalam Main Puteri dan Makyung). Saya tertarik dengan kisah Zulfikar dan Emanual. Emanual berasa sedih kerana kehilangan datuk kesayangan yang menjaganya dari kecil. Zulfikar berasa sangat kecewa apabila biasiswanya untuk kursus juruterbang ditarik balik. Yusof tidak membuang masa memikirkan perkara yang sedih, tetapi lebih memikirkan tentang nasib kawan-kawan sebayanya yang masih menganggur dan tidak memiliki visi atau misi tentang kemajuan diri dan negara. Perbezaan pemikiran serta pengalaman mereka bertiga membuatkan setiap individu itu istimewa.

Jeremiah Lim, Emanual Adrian, Fendi Abu Bakar, Nelton Duasik, Azfar Shukri, Akid Jabran, Mohd Zulfikar dalam “Backbiting”, Black Box, ASWARA, Kuala Lumpur, Februari 2017. © Normalrizwan Kamaruddin

Masih Improvisasi

Regangan Badan

Saya mengadakan latihan regangan badan dengan iringan lagu secara rawak. Sesiapa sahaja boleh masuk ke ruang tengah studio, lalu menari dengan gaya dan rasa sendiri berdasarkan lagu. Apabila penari pertama masuk, saya akan memilih penari kedua untuk menari bersama penari pertama. Beberapa imej yang menarik telah dihasilkan. Nelton dan Akid membentuk imej ular yang berbelit-belit; Zulfikar dan Azfar beralih perlahan-lahan dari tengah studio ke arah jam dinding seperti ingin menyampaikan suatu mesej yang tersirat; Azfar dan Fendi memanipulasikan wayar seolah-olah ia adalah makanan atau satu penemuan yang bernilai. Dalam sesi ini, saya semakin mengenali kegemaran dan citarasa improvisasi mereka. Perbualan atau perkongsian cerita sebelum memulakan improvisasi membolehkan saya mengenali mereka dengan lebih mendalam, serta menjanakan satu suasana yang selesa, perasaan ingin tahu dan hubungan erat antara satu sama lain.

Tugasan (Tasks)

            Ludah  dikaitkan dengan jijik, kekotoran dan membuangkan ketidakselesaan di bahagian kerongkong. Tugasan pertama adalah melakukan eksplorasi dengan aksi meludah secara literal. Tugasan kedua adalah mengulangi tugasan pertama dengan menambahkan perasaan sedih dan marah. Saya tertarik dengan satu pembentangan di mana para penari beralih ke bawah jam dinding dan formasi dipecahkan oleh Emanual, dan dibuli oleh rakan-rakannya dengan aksi meludah kepadanya secara bertalu-talu. Pada mulanya, Emanual cuba melawan, tapi akhirnya dia berputus asa. Dalam pada itu, aksi Nelton dan Zulfikar meludah di tapak tangan, kaki, dan muka turut menarik perhatian.

            Para penari kelihatan sukar untuk memanipulasi aksi ludah dengan perasaan marah atau sedih. Menurut mereka, eksplorasi ludah secara literal adalah mudah kerana boleh dipanjangkan atau ditokok tambah. Manakala perasaan pula adalah sesuatu yang subjektif. Saat-saat mereka menunggu siapa yang akan meludah dahulu adalah sangat menarik dan merangsangkan pelbagai persoalan di fikiran saya.

Apa Kata Mereka Tentang Improvisasi

Saya mengarahkan tugasan yang berkaitan dengan ‘menangis’. Arahan yang diberikan adalah terbuka. Saya memperingatkan diri sendiri berulang kali supaya bersabar, kerana proses improvisasi ini bergantung kepada pelbagai kemungkinan, dan perlu bersedia untuk gagal dalam satu-satu sesi improvisasi. Setelah beberapa jam improvisasi dijalankan, para penari menyedari bahawa sesuatu eksplorasi itu boleh bertukar-tukar dan keluar daripada tema asal. Penari mula ‘berani’ mencuba sesuatu yang lain. Saya berasa positif kerana mereka mula melepaskan diri daripada arahan. Para penari juga merasai hubung kaitan yang erat sesama mereka. Tanpa mereka sedari, latihan improvisasi yang dilakukan selama ini merapatkan keserasian mereka di samping mencari kemungkinan persembahan melalui paparan kekuatan dan kelemahan setiap penari. Antara penemuan yang menarik adalah seperti Malvin mengeluarkan bunyi yang kuat dengan menggunakan giginya; Asfar menampar Nelton berulang kali dengan konsisten; para penari jatuh ke lantai satu per satu dan mewujudkan imej tangkapan ikan-ikan yang diletakkan di atas jeti; dan Malvin melakukan pergerakan seolah-olah dia berasa sangat susah untuk berjalan ke hadapan.

Mohd Zulfikar dan Azfar Shukri dalam “Backbiting”, Black Box, ASWARA, Kuala Lumpur, Februari 2017. © Normalrizwan Kamaruddin

Saya Melihat Sisi Lain Mereka                             

Saya mengarahkan tugasan yang dipelajari daripada koreografer German, Arco Renz, iaitu mencari lima objek kegemaran anda dalam studio dan menghasilkan sebuah persembahan mengikut susunan objek yang kamu telah tentukan. Banyak perkara di luar jangkaan telah berlaku. Yusof mempersembahkan sesuatu yang menghiburkan melalui lip sync. Dia membalut badannya dengan kedudukan seperti sedang bersujud di atas bangku panjang dengan kain langsir. Saiz kain yang sangat besar telah mewujudkan suasana yang mendebarkan serta merangsangkan banyak persoalan. Yusof juga memanipulasikan telefon bimbit. Kami sebagai penonton sentiasa tertanya-tanya dan tidak hilang tumpuan mengikuti persembahan Yusof dari awal hingga tamat. Kombinasi persembahan Yusof antara personaliti, pilihan objek dan susunan adalah amat berkesan. Yusof ialah seorang pemain yang berbakat dan memiliki daya tarikan yang luar biasa.

Saya juga teruja dengan eksplorasi Jeremiah dan Azfar. Azfar merupakan seorang pemalu dan dia telah menghasilkan persembahan eksplorasi dengan berani dan yakin. Dia menggunakan bangku dan beberapa kerusi kecil sebagai props. Saya berasa gembira kerana dia tidak berasa sebarang ragu-ragu, malah berani memandang mata kami semua. Saya tidak tahu apa yang ‘merasuk’ Azfar ketika itu. Jeremiah pula bukan antara pelajar paling menyerlah di dalam kelas. Namun, saya terkejut melihat dia mampu membawa perjalanan emosi penonton dari awal sehingga ke akhir. Dia menutup kepala dengan baldi dan itu sudah cukup untuk mewujudkan beribu persoalan di kalangan kami. Tambahan pula, pembawaan badan Jeremiah yang ‘pelik’ tapi menarik itu menambah lagi keseronokan eksplorasi. Saya melihat eksplorasi Jeremiah seperti sebuah pertunjukan silap mata yang penuh dengan misteri.

Burung Kakaktua Bercakap

Jonathan Burrows pernah berkata dalam bukunya A Choreographer’s Handbook bahawa perasaan ragu-ragu dan terlalu banyak penilaian dalam proses penghasilan koreografi adalah seperti bisikan burung kakaktua yang sentiasa bertenggek di atas bahu. Adakala Burrows mendengar nasihatnya dan ada kala tidak. Saya suka akan metafora ini kerana semua koreografer menghadapi tekanan mengejar tarikh tutup (hari persembahan) dan mengambil kira pelbagai maklum balas daripada penonton.

            Pada awalnya, saya sangat risau koreografi ini tidak dapat disiapkan kerana kekangan jadual waktu penari yang sibuk. Tapi akhirnya saya menghadapi masalah terlebih had masa yang ditetapkan (10 hingga 12 minit). Saya harus melakukan pemilihan walaupun berasa tidak sanggup untuk mengorbankan sesetengah bahagian dalam koreografi. Saya juga risau jika saya salah memilih muzik atau terlalu banyak muzik. Akhirnya saya tegas menggunakan empat petikan muzik yang pendek.

            Penari saya tidak memiliki teknik fizikal yang sempurna kerana pemilihan saya adalah berdasarkan personaliti mereka. Sebagai koreografer, saya ingin menonjolkan kekuatan mereka dan mencari cara pergerakan yang seragam dan sesuai dengan kemampuan mereka. Seperti yang dijangkakan, saya paling banyak meluangkan masa untuk latihan bagi bahagian kedua, yang terdiri daripada ‘pure movement’. Bahagian empat minit ini tidak mempunyai pola lantai atau olahan yang kompleks, namum mereka perlu menari dengan yakin dan seragam. Usaha dan kesabaran yang berlipat ganda amat diperlukan supaya mereka melaksanakan pergerakan dengan tenaga dan fokus yang sama.

Apabila Koreografi Bermula

Koreografi hanya dimulakan kira-kira tiga minggu sebelum persembahan. Sekali lagi, saya mula tertekan dalam menyusun rangka koreografi berdasarkan tema melalui pemilihan bahan-bahan hasil daripada improvisasi sebelum ini.

            Saya menghadapi kesukaran untuk merangka duet Fendi dan Azfar. Pada mulanya, saya ingin melakukan pergerakan satu per satu mengikut lirik yang saya rekakan, namun ia tidak berhasil. Setelah mendapat nasihat daripada rakan sekerja Fakulti Tari, Datin Marion D’Cruz, saya bersyukur kerana mendapat idea berdasarkan pengungkapan teks (suara rakaman daripada Marie Dubuque). Saya siapkan duet itu dalam masa dua jam.

Pada mulanya, saya membahagikan koreografi ini kepada empat bahagian. Namun, saya mengubah struktur komposisi dengan mengambil kira maklum balas yang diberi oleh Datin Marion D’Cruz semasa sesi preview. Duet yang mengandungi pengungkapan teks telah dijadikan pembukaan supaya audiens terus memahami tema karya ini. Bahagian kedua adalah tari pure movement yang seragam. Bahagian selanjutnya ialah bahagian senyap yang menunjukkan aksi meludah sebagai lambang kekotoran, dengan memaparkan Azfar sebagai watak utama yang menyampaikan perasaan tertekan. Akhir sekali semua penari berdiri sebaris dan bergerak dengan pergerakan minimal dengan iringan lagu “Evil Woman”.

Akid Jabran, Fendi Abu Bakar, Jeremiah Lim, Azfar Shukri Mohd Zulfikar, Emanual Adrian, Nelton Duasik dalam “Backbiting”, Black Box, ASWARA, Kuala Lumpur, Februari 2017. © Normalrizwan Kamaruddin

Melihat semula pementasan koreografi “Backbiting”, saya gembira kerana setiap penari mula intim antara satu sama lain melalui kaedah koreografi yang saya belajar daripada Michael Keegan-Dolan sewaktu saya berada di Ireland. Impak positif boleh dilihat daripada keserasian yang dihasilkan oleh para penari. Mereka berasa sangat selesa di atas pentas, walaupun bukan daripada tahun dan jurusan pengajian yang sama. Saya bersyukur kerana koreografi ini berhasil dan mendapat maklum balas yang positif. Namun, saya lebih menikmati saat-saat, memori atau penemuan yang diperolehi semasa proses. Saya sebagai koreografer bukan saja boleh belajar sesuatu tentang koreografi, malah saya lebih mengenali para penari, serta menghargai ilmu tentang hubungan manusia melalui proses yang saya amalkan.

 

faillul-90Mohd Nur Faillul merupakan pensyarah tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Lebih

Untuk menghubungi penulis:
failluladam@gmail.com

 

Foto utama: Mohd Zulfikar, Nelton Duasik, Emanual Adrian, Azfar Shukri,
Jeremiah Lim, Fendi Abu Bakar, Akid Jabran di dalam Studio Tari 4, ASWARA, Kuala Lumpur, 2017.

Skip to content